Monday, August 31, 2015

Semangat Patriotisme Dan Kebersamaan Rakyat Pada Sambutan Hari Kebangsaan

KUALA LUMPUR : Semangat cintakan negara terpancar di setiap wajah ribuan insan daripada segenap lapisan dan kaum yang membanjiri Dataran Merdeka di sini hari ini untuk meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2015.

Lautan manusia termasuk pelancong asing mengambil peluang menghayati tema sambutan ‘Sehati Sejiwa’ dengan menampilkan semangat patriotisme dan kebersamaan pada acara sambutan peringkat kebangsaan penuh warna-warni dan meriah itu.
Semangat kesatuan itu ditunjukkan melalui persembahan bertenaga dan perbarisan oleh hampir 13,000 peserta pelbagai kontinjen termasuk daripada sektor awam dan swasta, pelajar serta anggota pasukan keselamatan.

Berangkat pada acara perbarisan dan perarakan sambutan di dataran penuh bersejarah itu ialah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.
Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis dan barisan menteri Kabinet serta perwakilan asing.
Sejurus berangkat tiba, Tuanku Abdul Halim menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan pasukan Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Sungai Besi diketuai Mejar Mohd Herdi Ismail.
Ia diikuti acara menaikkan Jalur Gemilang oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), diiringi nyanyian lagu kebangsaan Negaraku.
Serentak dengan itu, kedengaran 14 das tembakan meriam oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja.
Acara sambutan dimulakan dengan acara ‘Derap Seragam’, iaitu persembahan terbaharu oleh 900 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disusuli persembahan serentak bersama-sama pelajar dengan melakukan kawad berirama.
Acara sambutan turut disiarkan secara langsung menerusi televisyen tempatan.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment