Saturday, August 29, 2015

Saman Ke Atas Presiden UMNO: Peluang Dan Kemungkinan

Tindakan seorang ahli Umno menyaman Presidennya Datuk Seri Najib Razak, atas dakwaan telah melakukan penipuan ke atas ahli-ahli parti berkenaan dengan menerima derma sebanyak RM2.6 bilion di dalam akaun peribadi pada Mac 2013 dan menggunakan dana itu tanpa pengetahuan parti, mungkin membawa UMNO ke satu tahap krisis baharu seperti mana berlaku pada 1988.
Dalam Writ saman difailkan oleh firma guaman Haniff Khatri, Haniff mengesahkan perkara ini dan pihaknya akan membuat kenyataan pada sidang media jam 3 petang ini di Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Pada 1987, 11 orang ahli UMNO mengemukakan saman ke atas Presiden dan Setiausaha Agung UMNO kerana didakwa membenarkan beberapa orang perwakilan yang muflis dan perwakilan-perwakilan haram dari cawangan-cawangan haram mengundi dalam Pemilihan UMNO tahun tersebut.
Akibatnya pada 1988 UMNO telah diharamkan. Tun Dr Mahathir telah menubuhkan UMNO (baru) sebagai jawapan kepada pengharaman tersebut. Pengharaman tersebut juga membolehkan Mahathir melantik jawatankuasa penaja UMNO Bahagian di seluruh negara.
Namun selepas peristiwa tersebut, UMNO telah meluluskan satu peraturan yang melarang ahli membawa isu parti ke mahkamah. Fasal 20.7 Perlembagaan Umno menyatakan
Seseorang ahli yang membawa apa-apa jua perkara parti atau hak keahliannya ke mahkamah sebelum mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan parti maka keahliannya di dalam parti gugur dengan sendirinya.
Saman ini secara langsung akan terbatal apabila fasal 20.7 ini dikuatkuasakan kerana untuk menyaman sesebuah parti ia memerlukan locus standi sebagai pihak yang mempunyai kepentingan iaitu dalam konteks ini keperluannya ialah sebagai ahli parti.
Bagaimanapun Mohd Najib dan Setiausaha Agung boleh membenarkan perkara ini berlaku dan mengulangi sejarah 1988.
Jika UMNO diputuskan haram, ialah adalah peluang Mohd Najib menubuhkan parti UMNO (baru) kedua dan membentuk jawatankuasa penaja yang terdiri daripada mereka yang beliau percayai dan bersedia membantu mengukuhkan UMNO menjelang pilihan raya 2018.
Sebenarnya saman ini tidak masuk akal kerana Mohd Najib tidak pernah menyatakan sumbangan politik tersebut adalah untuk UMNO. Apa yang beliau nyatakan, ia adalah sumbangan untuk kempen pilihan raya 2013.
Malah sumbangan yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi tersebut sama ada bertaraf peribadi atau pemegang amanah tidak perlu dilaporkan dalam penyata kewangan UMNO. Penyata kewangan UMNO hanya melaporkan perbelanjaan yang berpunca dari akaun rasmi UMNO atau mana-mana pertubuhan sahaja.
Saman ini tidak mempunyai apa-apa matlamat kecuali untuk memalukan Mohd Najib sahaja.
Saman tersebut mendakwa Najib Razak melanggar Perlembagaan Umno, peruntukan-peruntukan Akta Pertubuhan 1966 dan tanggungjawabnya sebagai seorang pemegang amanah berdasarkan Common Law, dan menuntut pembayaran balik sejumlah AS$650 juta yang didakwa telah dikirim keluar oleh beliau ke satu akaun di bank Singapura yang bukan milik Umno pada 30 Ogos 2013.
Najib juga dikehendaki membutirkan semua dana yang diterima beliau dalam bentuk derma dan juga penggunaan semua dana yang telah atau pada bila-bila masa tersimpan di dalam akaun AmBank Private Banking milik beliau di mana dana RM2.6 bilion itu diterima.
Saman juga menuntut ganti rugi untuk ditaksir, kos dan relif-relif lanjut atau relif-relif lain yang akan ditetapkan oleh mahkamah.
Saman yang difailkan bagi pihak Umno turut mendakwa bahawa kedudukan Najib sebagai ‘pesalah memegang kuasa’ dan kawalan beliau ke atas Umno telah menyebabkan Umno tidak mampu mempertahankan atau membuat tuntutan bagi kepentingan parti terhadap Najib.
“Plaintif menyatakan bahawa Majlis Tertinggi Umno tidak berupaya dan/atau tidak berdaya untuk bertindak terhadap Najib Razak kerana kuasa dan pengaruh yang dimilikinya terhadap Majlis Tertinggi Umno, Badan Perhubungan Negeri, Bahagian dan Cawangan yang merosakkan kepentingan ahli Umno,” begitu bunyi Pernyataan Tuntutan itu.
Plaintif juga memohon untuk mendapatkan relif injunksi untuk menghalang Ab Rauf Yusof, yang turut disaman di dalam kapasitinya sebagai pegawai am Umno, sama ada secara sendirinya dan/atau melalui Jawatankuasa Disiplin Umno, Majlis Tertinggi Umno, Badan Perhubungan Negeri, Bahagian dan Cawangan daripada mengambil sebarang tindakan untuk membuang beliau sebagai ahli Umno sementara kes ini diadili, semata-mata demi mengelakkan liabiliti ke atas kes ini.
Sememangnya Pernyataan Tuntutan kes ini bersandarkan perkara-perkara yang sudahpun diketahui umum kerana telah menjadi berita sensasi sejak The Wall Street Journal (WSJ) mendedahkannya pada 2 Julai 2015 lalu.
WSJ telah mendakwa bahawa dana AS$681 juta telah dikirim ke akaun peribadi Najib di AmBank Private Banking pada 21 dan 25 Mac 2013 dari Falcon Private Bank di Singapura.
Pernyataan Tuntutan itu turut mengatakan bahawa Najib telah membuat pengakuan secara terbuka bahawa beliau menerima RM2.6 bilion di dalam akaun peribadinya dan juga bahawa beliau bukan merupakan benefisiari peribadi kepada wang tersebut.
Najib juga dikatakan telah mengakui secara terbuka bahawa dana itu adalah suatu derma daripada seorang dermawan Timur Tengah yang tidak dinamakan.
Pernyataan Tuntutan itu juga mendakwa bahawa ahli-ahli Majlis Tertinggi Umno menyatakan Najib telah dilantik sebagai pemegang amanah Umno, bahawa wang tersebut adalah dana politik dan bahawa mereka telah menerima wang dari akaun peribadi beliau untuk membiayai operasi politik mereka.
“Oleh itu, Plaintif menyatakan bahawa Najib Razak adalah memegang dan/atau telah memegang RM2.6 bilion tersebut sebagai amanah bagi kepentingan dan kegunaan Umno. Selanjutnya dan/atau sebagai alternative Plaintif menyatakan bahawa Najib Razak adalah memegang dan/atau telah memegang RM2.6 bilion tersebut sebagai amanah konstruktif bagi kepentingan dan kegunaan Umno,” Pernyataan Tuntutan tersebut menyimpulkan.
Pernyataan Tuntutan itu selanjutnya mendakwa bahawa Najib Razak telah melanggar Perlembagaan Umno, peruntukan-peruntukan Akta Pertubuhan 1966 dan tanggungjawabnya sebagai pemegang amanah dengan cara:
1. Tidak memaklumkan atau mengisytiharkan bahawa beliau telah menerima sejumlah RM2.6 bilion tersebut kepada Majlis Tertinggi Umno;
2. Menolak atau gagal memberi penjelasan kepada Umno tentang kegunaan RM2.6 bilion tersebut;
3. Tidak membenarkan Umno untuk memberi penjelasan tentang jumlah RM2.6 bilion bagi tahun kewangan 2013 dan 2014;
4. Gagal menyebabkan jumlah RM2.6 bilion tersebut dinyatakan dalam akaun Umno yang telah diaudit bagi tahun kewangan 2013 dan 2014;
5. Memindahkan wang berjumlah US$650 juta kepada sebuah akan bank di Singapura yang tidak dimiliki oleh Umno pada atau kira-kira 30 Mac 2013;
6. Telah membayar dan/atau memindah USD650 juta secara bertentangan dengan Perlembagaan Umno;
7. Telah menggunakan dan/atau menyimpan sebahagian dari jumlah RM2.6 bilion untuk kepentingan dirinya sendiri secara menjejaskan kepentingan Umno; dan
8. Pada setiap masa sebelum menerima jumlah RM2.6 bilion tersebut, Majlis Tertinggi Umno tidak pernah melantik beliau menjadi pemegang amanah bagi tujuan menerima wang tersebut.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN 

No comments:

Post a Comment