Wednesday, June 08, 2016

Saya Harap Nizar Bertaubat – Zahid

KUALA KANGSAR : Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bertaubat apabila menggunakan nama ‘Allah’ dalam membuat pelbagai dakwaan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Perdana Menteri dan Naib Presiden UMNO itu berkata Mohammad Nizar sepatutnya berubah dan bermuhasabah diri kepada Allah apabila tidak lagi menjadi menteri besar.
Kuala Kangsar, 7 Mei--Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada majlis Ramah Mesra Bersama Pengundi dan Masyarakat di Dewan Orang Ramai, Kg Ulu Kenas di sini petang ini. Turut bersama Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. - Foto : MediaUMNO
“Saya tidak terkejut dengan perkataan (yang keluar) dari mulut beliau kerana rupanya beliau belum pernah berubah dan belum bertaubat dengan apa yang beliau alami sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mohammad Nizar yang dipetik dalam media sosial yang berkata “Allah mahu orang Kuala Kangsar ‘mengajar’ (memberikan kekalahan kepada) BN menerusi PRK Kuala Kangsar”.

“Saya harap mudah-mudahan taubat beliau diterima Allah,” kata Ahmad Zahid bagi mengulas kenyataan Mohammad Nizar, Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak  yang diungkapkan semasa berceramah di Kampung Sayong Lembah, di sini semalam.

Ketika berucap pada ceramah itu, Mohammad Nizar berkata dirinya tertanya-tanya mengapa daripada 222 kerusi Parlimen di negara ini, Allah memilih supaya pilihan raya kecil diadakan di Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar.

“Bila saya fikir-fikir dengan mendalam, di sinilah buminya semasa saya diberikan amanah untuk menjadi menteri besar Perak, daripada Mac 2008 hingga Februari 2009.

“Di sinilah buminya yang mana kedua-dua makhluk ini datang merampas kerajaan Pakatan yang saya pimpin ketika itu. Siapa makhluk itu? Tak lain tak bukan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) dan (Datuk Seri Ahmad) Zahid (Hamidi),” katanya dipetik berkata menerusi laporan sebuah media sosial.

Ahmad Zahid yang juga anggota Parlimen Bagan Datoh berkata  beliau tidak akan melatah terhadap setiap perkataan yang dikeluarkan Mohammad Nizar itu.

PRK Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara BN, PAS, Amanah dan Bebas. Pengundian pada 18 Jun.

Seramai 32,949 orang layak mengundi pada PRK Kuala Kangsar mengikut daftar pemilih SPR sehingga 7 Mei lepas.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment