Wednesday, June 08, 2016

PRK Sungai Besar: Lim Kit Siang Tidak Yakin Dengan PAN, Jika Kalah Baik Bersara Sahaja

http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2015/07/lim-kit-siang_harapan_pkr_600.jpg
Supremo Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Kit Siang, tampak tidak yakin dengan Parti Amanah Rakyat (PAN) di Sungai Besar apabila menyatakan ia memerlukan keajaiban untuk mereka memenangi kerusi tersebut.

“… it will be very very difficult – as good as a political “miracle” – for Azhar Shukor, the Amanah and Harapan candidate, to win in Sungai Besar. But it is not impossible, and miracles do happen, although few and far between,” tulis Kit Siang dalam Malaysiakini.com.

Tulisan Kit Siang ini kelihatan sekadar mahu menyediakan alasan sekiranya Pakatan Harapan (pakatan baru yang dibentuk menggantikan Pakatan Rakyat, selepas Pas menjadi “pemberontak”) kalah dalam pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar nanti.

Di atas kertas, PAN sepatutnya menjadi pilihan bersama Barisan Nasional (BN) untuk keluar sebagai pemenang dalam PRK Sungai Besar ini. Malah PAN sepatutnya menjadi pilihan utama dalam PRK kali ini. 

Secara matematik, dalam persaingan tiga penjuru kali ini dengan jumlah pengundi sebanyak 42 ribu, parti yang mendapat sekitar 16 ribu undi sudah boleh memenangi kerusi ini. 

PAN akan mempunyai 13,000 undi kaum Cina yang hampir pasti menolak Barisan Nasional kali ini. Jika DAP berjaya mendapatkan jumlah undi sebesar ini dari kaum Cina, PAN dan PKR hanya perlu mendapatkan sekitar 3,000 undi Melayu dan India untuk keluar sebagai pemenang.

Atas sebab itu PAN memilih meletakkan calon tempatan Azhar Datuk Shukor sebagai wakil mereka. Berdasarkan latar belakang agama dan anak bekas wakil rakyat BN selama beberapa penggal, Azhar diharap menarik sokongan sebahagian orang Melayu “atas pagar” untuk menyokong beliau.

UMNO yang mewakili BN seperti juga PAN mempunyai undi selamat sekitar 13,000 orang dari kalangan ahli UMNO dan Melayu yang masih setia kepada parti tersebut. BN juga perlu mendapatkan sekitar 3 ribu pengundi atas pagar untuk memenangi kerusi ini.

Berdasarkan isu-isu nasional yang melingkungi parti, isu GST dan kenaikan kos sara hidup yang masih menjadi perbincangan di kalangan pengundi di sini, adalah cabaran yang sangat besar untuk mendapatkan undi sebanyak 3,000 ini.

Kesukaran UMNO bertambah apabila kejayaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, membentangkan Rang Undang-Undang pindaan Akta Mahkamah Syariah bukan sahaja telah mengurangkan undi orang bukan Islam kepada BN, tetapi juga mengukuhkan imej Pas di kalangan orang Melayu.

Dalam keadaan ini, faktor calon merupakan agen penting menarik pengundi atas pagar. ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi, yang menjadi calon BN kali ini mempunyai tanggungjawab berat tetapi bukan mustahil memandangkan beliau telah dikenali sebagai wakil rakyat dan aktivis masyarakat di peringkat kawasan dan nasional.

BN masuk PRK ini dalam keadaan kehilangan sebahagian kecil undi kaum Cina yang masih bersamanya pada 2013. Manakala tradisi Melayu Jawa dan Banjar di Sungai Besar yang berorientasikan konservatif Islam mungkin memberi sokongan moral kepada Pas sebagai parti sedang “memprojekkan diri” lebih mementingkan perjuangan Islam berbanding kuasa.

Pas mempunyai lebih kurang 7,000 orang pengundi tegar mereka di Sungai Besar. Mereka tidak mungkin mempunyai peluang memenangi PRK ini. Namun sekiranya mereka berjaya mendapat 11 ribu undi kali ini, ia memberi satu makna yang signifikan kepada parti tersebut dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Pas meletakkan Dr Abd Rani Osman sebagai calon bagi menarik sokongan bukan Melayu kepada parti tersebut. Dr Rani diketahui mempunyai hubungan baik dengan PKR dan DAP Selangor mungkin boleh menarik sebahagian kecil kaum Cina dan India yang bersikap terbuka. Namun ia tidak mungkin dapat menerik ratusan undi kaum bukan Melayu pun kepada parti tersebut.

Justeru kepada Kit Siang, jika Pakatan Harapan kalah dalam PRK Sungai Besar ini, eloklah bersara sahaja. 

Pakatan Harapan tidak akan punya apa-apa harapan lagi jika kalah dalam PRK Sungai Besar yang dilihat peluang terbaik mereka untuk merampas kawasan tersebut sejak berdekad lamanya. Jika mereka gagal meyakinkan sekitar 4-5 ribu pengundi Melayu dan 13, 000 pengundi cina dan India bagi memberi sokongan kepada mereka, eloklah bubar sahaja Pakatan Harapan.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment