Monday, July 12, 2010

Adun BN Kuang Diarah Keluar DUN Selangor

SHAH ALAM, 12 Julai 2010 — Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuang (BN) Abdul Shukor Idrus hari ini diarah keluar dari ketika persidangan dewan selepas bertikam lidah dengan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Teng Chang Kim.

Tindakan itu dilakukan Teng mengikut peraturan mesyuarat 44 (2) selepas bertikam lidah dengan Abdul Shukor.

“Saya perintahkan di bawah peraturan mesyuarat 44 (2) disebabkan YB degil, saya arahkan yang berhormat keluar daripada dewan selama satu hari,” kata Teng.

Abdul Shukor ketika itu ingin mengemukakan soalan berkaitan aktiviti kecurian pasir di negeri itu, namun disekat Teng.

Ketika ditemui di luar dewan Abdul Shukor mempersoalkan keputusan speaker kerana menolak untuk membahaskan isu kecurian pasir di Selangor.

“Saya mahu membahaskan isu kecurian pasir di negeri ini kerana mendapati terlalu banyak perkara yang tidak dimaklumkan terutamanya soal keuntungan dan kerugian.

“Rakyat hendak tahu kerana Menteri Besar (Tan Sri Khalid Ibrahim) kata banyak keuntungan tetapi tidak dimaklumkan secara lebih terperinci. Malah Menteri Besar seolah-olah tidak konsisten, kejap cakap untung banyak itu, kejap cakap untuk banyak itu, sebenarnya mana satu keuntungannya?

“Ini merupakan satu penipuan yang dilakukan kerajaan negeri,” katanya kepada wartawan di sini.Beliau berkata usul yang ingin dikemukakan itu adalah untuk kepentingan rakyat tetapi ditolak daripada dibahaskan.”Sebelum ini saya telah menyerahkan usul untuk membahaskan perkara ini dalam dewan tetapi ditolak kemudian saya serahkan lagi usul yang sama tetapi tiada jawapan diterima.

“Adakah usul ini tidak boleh dibincangkan dalam dewan? Adakah rakyat tidak berhak tahu apa yang berlaku sebenarnya? Usul yang ingin saya bahaskan ini adalah demi kepentingan rakyat negerin ini,” katanya.

Terlebih dahulu ketika membahaskan isu tersebut Khalid berkata, kerajaan negeri akan mengambil beberapa tindakan baru untuk mencari penyelesaian kecurian pasir di negeri Selangor.

Menurutnya, kecurian pasir yang berlaku di Selangor semakin berleluasa sehingga menyebabkan kerajaan Nnegeri mengalami kerugian hampir RM30 juta.

“Kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa tindakan bersama pegawai daerah seluruh Selangor untuk memantau dan mengawal kecurian pasir.

“Setiausaha kerajaan negeri juga mengadakan mesyuarat secara berterusan setiap minggu bersama pegawai daerah yang berkaitan untuk menangani kecurian pasir.

“Saya percaya kerajaan negeri dapat mengembalikan royalti keuntungan pasir dengan segera supaya tidak merugikan dan semua pihak termasuk rakyat,” katanya ketika sidang DUN tengah hari tadi

.Khalid berkata, Kerajaan Negeri mengeluarkan lesen untuk industri pasir sebanyak 800 tan hingga 1 juta tan setahun dimana keuntungan sepenuhnya melalui pengeluaran tersebut adalah 36 juta setahun.

“Namun pihak tidak bertanggungjawab yang diberi kelulusan melakukan perlombongan pasir tidak memberi pembayaran kepada kerajaan negeri menyebabkan kerajaan negeri mengalami kerugian.”Pada 2006, Kerajaan Negeri hanya berjaya mendapat kutipan royalti pasir sebanyak RM 4.7 juta setahun manakala tahun 2007 sebanyak RM 4.2 juta sahaja.

“Jumlah kutipan yang sedikit ini terjadi kerana terdapat banyak kawasan perlombongan pasir berlaku kecurian tetapi gagal untuk kesan.

“Apabila berlakunya penglibatan dari pegawai kerajaan dan juga kumpulan samseng yang menguasai kecurian pasir di selangor, ia menyebabkan perancangan kerajaan negeri untuk menangani kecurian pasir terbatas.

Beliau berkata kerajaan negeri memerlukan keuntungan royalti 70 hingga 80 peratus untuk kembali pulih dalam mengambil keuntungan dari industri pasir di Selangor.

Beliau berkata sedemikian ketika menjawab pertanyaan Adun Sungai Burung (BN) Datuk Mohd Shamsudin Lias mengenai tindakan kerajaan negeri menangai isu kecurian pasir di Selangor.

Oleh : MyKMU.net

No comments:

Post a Comment