Wednesday, July 21, 2010

Melayu Kekal Kuasa Jika Kembali Perjuangan Asal - KJ

KUALA LUMPUR 18 Julai – Orang Melayu masih mempunyai masa depan dalam mengekalkan kuasa sekiranya mereka kembali kepada prinsip perjuangan asal iaitu untuk bangsa, agama dan negara.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, orang Melayu tidak akan kehilangan kuasa selagi UMNO berperanan memperjuangkan ketuanan Melayu.

Katanya, perpaduan dan perjuangan di kalangan orang Melayu mesti dengan prinsip perjuangan asal pemimpin terdahulu.

“Perpaduan tanpa perjuangan yang mulia oleh orang Melayu tidak akan mendatangkan hasil yang baik.

“Malah perpaduan orang Melayu sejak akhir-akhir ini membuktikan kita akan terus berkuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan buku The Red Warriors Menuju Puncak di sini hari ini.

Buku bercorak kesukanan itu memaparkan beberapa catatan mengenai pemain serta aktiviti pasukan bola sepak Kelantan selain lebih 300 gambar menarik perlawanan yang disertai pasukan itu.

Hadir sama, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa.

Semalam, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan kebimbangan mengenai orang Melayu akan hilang kuasa pada PRU-13 jika UMNO dan Pas terus berdegil untuk tidak bersatu.

Harussani berkata, kedegilan kedua-dua parti Melayu terbabit untuk meletakkan keutamaan agama di tempat sepatutnya hanya akan memberi kesan buruk kepada masa depan orang Melayu sendiri.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau menegaskan, orang Melayu mesti mengamalkan sikap bersatu-padu tanpa melihat kepentingan mana-mana parti untuk mengekalkan kuasa.

“Kalau hendak terus berkuasa dan mengangkat bangsa, isu perpaduan antara UMNO atau Pas bukan merupakan isu pokok tetapi melihat keikhlasan perjuangan orang Melayu itu sendiri untuk terus berkuasa di negara ini.

“Isu perpaduan antara UMNO dan Pas dialu-alukan tetapi ia mesti mengambil kira mengenai isu yang memberi kesan kepada orang Melayu untuk terus berkuasa di negara ini,” katanya.

Oleh : MyKMU.net

No comments:

Post a Comment