KUALA LUMPUR 24 Jun 2010 – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Program Amanah Saham Wawasan 2020-Bandar (ASW-2020-Bandar) dengan peruntukan RM100 juta untuk membantu menjana pendapatan tambahan kepada keluarga miskin tegar dan miskin bandar.
Sempena pelancarannya, 4,976 daripada 8,439 ketua keluarga dari golongan miskin tegar dan miskin bandar menerima bantuan melalui pelaksanaan daftar e-Kasih fasa pertama dan kedua yang dikelolakan Jabatan Perdana Menteri.
Menerusi ASW-2020-Bandar, pendapatan golongan tersebut akan ditambah menerusi pemberian dividen tahunan dan faedah lain hasil pelaburan berkenaan.
Program itu juga akan menyaksikan setiap ketua isi rumah – tanpa mengira kaum – yang layak serta berdaftar dengan program e-Kasih, akan diberikan wang prinsipal pelaburan RM10,000 yang akan tetap menjadi hak milik kerajaan.
Dalam ucapan perasmiannya, Najib berkata, pemberian pelaburan sumbangan Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu diharap dapat menambah pendapatan golongan berkenaan yang memerlukan bantuan kerajaan.
“Skim saham ini berbeza dengan skim lain yang mana mereka menerima dividen dan lain-lain pulangan pada tiap-tiap tahun sepanjang hayat mereka.
“Bagaimanapun sekiranya pemegang amanah itu meninggal dunia, maka unit itu akan disampaikan kepada orang lain yang memerlukan,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan di Taman Tasik Titiwangsa di sini.
Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
Pada majlis itu, 196 ketua keluarga di Wilayah Persekutuan menerima Buku Pelaburan ASW 2020-Bandar masing-masing.
Menerusi daftar e-Kasih, garis pendapatan miskin tegar ditetapkan buat mereka yang mempunyai pendapatan bulanan kurang RM430 di Semenanjung Malaysia; Sabah (RM540); Sarawak (RM520).
Golongan miskin pula adalah mereka yang mempunyai pendapatan tidak melebihi RM720 di Semenanjung Malaysia; Sabah (RM960) dan Sarawak (RM830).
Menurut Najib, para pemegang saham itu akan mula menikmati dividen tahunan serta pulangan sepanjang hayat mulai September ini berdasarkan kadar ditetapkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) kelak.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pemberian saham itu adalah seiring dengan hasrat kerajaan dalam mengurangkan jumlah golongan miskin tegar dan miskin bandar di kalangan masyarakat.
Melalui program sebegitu, katanya, kerajaan dijangka berupaya mengurangkan jumlah isi rumah miskin di seluruh negara daripada 5.7 peratus, kepada 2.8 peratus pada akhir 2010.
Jelasnya, pendaftaran e-Kasih kini menunjukkan golongan miskin tegar dalam negara menurun kepada 33,417 orang berbanding 50,931 sebelumnya.
Beliau menegaskan, kerajaan tidak mahu mengambil konsep negara kebajikan dalam usaha membantu golongan miskin kerana ingin melihat semua rakyat yang berkemampuan bekerja bagi menyara diri dan keluarga masing-masing.
Oleh : MyKMU.net
No comments:
Post a Comment