Monday, July 12, 2010

Ahli UMNO Disaran Berani Lakukan Serang Balas

BAGAN DATOH 20 Jun 2010 – Ahli-ahli UMNO diminta supaya berani melakukan serangan balas untuk memperbetulkan persepsi salah yang yang dilemparkan pihak pembangkang terhadap parti itu dan kerajaan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, ahli-ahli UMNO tidak boleh hanya dalam posisi mempertahankan sebaliknya perlu melakukan serangan balik untuk mengembalikan keyakinan rakyat.

“Macam kita tengok Piala Dunia sekarang ini. Boleh tengok, tapi bukan hanya untuk keseronokan semata-mata. Tengok dan cuba jadikannya dalam konteks politik.

“Jangan asyik mempertahankan benteng sahaja kerana kadang kala boleh bolos. Perlu ada pertahanan dan serangan balik untuk menang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datoh 2010 di sini hari ini.

Menurut beliau, adalah menjadi tanggungjawab semua ahli UMNO untuk memperbetulkan segala persepsi salah yang dibuat oleh pembangkang dan tidak tunduk dengan sebarang ancaman.

Tegas Perdana Menteri, perlu ada barisan yang ampuh untuk mempertahankan perjuangan UMNO dan mengembalikan kejayaan parti itu seperti pada Pilihan Raya Umum Ke-11 pada 2004.

“Bukan Barisan Nasional (BN) atau UMNO tidak baik, tetapi mainan persepsi pembangkang menyebabkan rakyat menjauhkan diri.

“Berbanding suasana politik pada tahun-tahun 70-an dan 80-an, bila kita bagi peruntukan sahaja, rakyat sudah boleh menerimanya. Tetapi sekarang lain, mereka masih ada rasa tidak puas hati. Jadi ini yang perlu kita perbetulkan” katanya.

Tambah beliau, prestasi merosot UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) lalu pula bukan kerana rakyat tidak berpihak pada parti itu tetapi kerana mereka menolak pemimpin yang tidak dekat di hati rakyat, tidak menunaikan janji serta bongkak.

Bagi mengembalikan kepercayaan rakyat katanya, UMNO tidak boleh ketinggalan dengan metodologi lama sebaliknya perlu menggunakan metodologi terkini supaya dilihat sebagai parti yang dinamik dan berkesan.

“UMNO adalah parti yang terlalu lama, jadi saya nampak pembaharuan adalah sangat perlu.

“Kita perlu cari jalan untuk menjadikan ‘barang’ yang lama itu lebih baik untuk dipandang dan kembali disukai,” katanya.

Oleh : MyKMU.net

No comments:

Post a Comment