Wednesday, May 04, 2011

Beng Hock orang perantara: Saksi

KUALA LUMPUR: 21 April – Seorang saksi mengakui beliau, isterinya dan anak saudaranya yang mempunyai kaitan dengan pemimpin DAP, berperanan dalam pemilihan kontraktor dan mendapatkan kontrak bagi projek daripada kerajaan negeri Selangor.


Ahli perniagaan, Lee Wye Wing, 52, memberitahu demikian kepada Suruhanjaya Siasatan Kematian Teoh Beng Hock, semalam, ketika disoal peguam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah.


Anak saudara Wye Wing, Lee Kee Heng adalah bekas setiausaha Penasihat DAP, Lim Kit Siang.


Disoal Muhammad Shafee, Wye Wing mengakui semua syarikatnya didaftar atas nama isterinya, tetapi dia tidak terbabit secara langsung dan hanya menandatangani cek.


Beliau mengakui menggunakan syarikat Bumiputera mendapatkan projek kecil juga setuju menerima banyak projek daripada ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, majikan Beng Hock.


Wye Wing turut setuju memberikan lima hingga 10 peratus komisyen hasil projek kepada syarikat Bumiputera yang namanya digunakan untuk mendapatkan projek itu. Antara syarikat Bumiputera itu ialah MKMN Enterprise, MA Bina Melur Enterprise, Fizami Construction dan Aris Enterprise.


Wye Wing mengakui syarikat itu turut menerima wang pendahuluan daripada DAP dan membayarnya kembali sebaik mendapat bayaran untuk kerja dilaksanakan.
Beliau bagaimanapun menafikan memberikan wang untuk dana DAP.


Menjawab soalan Muhammad Shafee, Wye Wing berkata, Beng Hock adalah perantara dan terbabit menentukan sebut harga bagi projek yang diluluskan Hian Wah.


Katanya, Beng Hock mengetahui jumlah sebut harga bagi sesuatu projek dan akan menyampaikan maklumat itu kepada Hian Wah.


“Sebelum jumlah itu dipersetujui, saya akan menghantar e-mel kepada Beng Hock dan pindaan akan dibuat pada sebut harga jika Hian Wah tidak setuju dengan harga ditetapkan,” katanya.


Sementara itu, Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Shah Alam, Deputi Superintendan (DSP) Kamaruddin Ismail yang juga saksi ke-37 memberitahu suruhanjaya, 20 kertas siasatan dibuka terhadap pegawai SPRM Selangor kerana menggunakan kekerasan ketika menyoal siasat, antara 25 Mac 2005 dan 18 Julai 2009.


Katanya, semua laporan dibuat orang awam dan terakhir oleh Tan Boon Wah (Ahli majlis Majlis Perbandaran Kajang (MPK) yang disoal siasat SPRM pada malam sama dengan Beng Hock).


Kamaruddin berkata, daripada 20 aduan itu, 13 kes masih dalam siasatan, manakala bakinya sudah ditarik balik pengadu.


“Ada kes dikelaskan sebagai ‘NFA’ (tiada tindakan lanjut) disebabkan saksi atau pengadu tidak hadir untuk membuat pengecaman dalam kawad cam dan kami menganggap mereka tidak berminat,” katanya.


Kamaruddin berkata, daripada 20 aduan itu, 13 membabitkan pegawai penyiasat SPRM, Mohd Ashraf Mohd Yunus.


Disoal pengerusi Suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen sama ada SPRM bekerjasama dengan polis dalam siasatan itu, Kamaruddin berkata SPRM tidak memberikan kerjasama sehingga selepas kematian Beng Hock.


“Kita menerima surat daripada Timbalan Pengarah SPRM Selangor, Hishamuddin Hashim pada 2008, memaklumkan SPRM perlu mendapatkan pandangan Pejabat Peguam Negara untuk memberi kerjasama berhubung semua laporan polis itu,” katanya.


Sementara itu, Cheng Yuen mengumumkan tempoh siasatan suruhanjaya dilanjutkan dua bulan sehingga 25 Jun ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.


Perlanjutan tempoh itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, melalui sepucuk surat. Prosiding bersambung hari ini.


Dipetik daripada : mykmu.net

No comments:

Post a Comment