Tuesday, June 07, 2011

Antara “bahan bukti” dan “saksi” pun Hadi tak boleh beza?


Hadi memberitahu para perwakilan bahawa video seks yang dikaitkan dengan Anwar hanyalah “besi” dan tidak boleh dijadikan saksi bagi memberi keterangan untuk menuduh Anwar berzina. Benar. Saya setuju dengan Hadi. Memang video tersebut hanyalah “besi” dan tidak boleh dijadikan saksi untuk pertuduhan zina.


Bagaimanapun, siapa pula yang menyatakan video seks itu boleh dijadikan “saksi” pertuduhan kes? Siapa pula yang menuduh Anwar berzina? Hadi faham atau tidak tentang pertuduhan dan akuan sumpah laknat yang dilakukan Eskay?


Saya ingin jelaskan kepada Hadi yang keliru itu bahawa rakaman video seks yang dikaitkan dengan Anwar itu adalah “bahan bukti”, dan bukannya “saksi” sebagaimana yang dinyatakan pada pak-pak lebai Pas pada Muktamar Pas baru-baru ini.


Dalam konteks ini, Hadi gagal untuk membezakan antara bahan bukti dan saksi. Bahan bukti adalah “sesuatu” yang menerangkan kesahihan sesuatu kes, manakala saksi pula adalah “seseorang” yang boleh memberikan keterangan melalui pengalamannya. Adalah sangat berbeza untuk dibandingkan antara “bahan bukti” dan “saksi”.


Justeru itu, suka saya jelaskan pada Hadi bahawa video seks tersebut adalah “bahan bukti” dan bukan “saksi” sebagaimana yang dia gunakan dalam ucapan penggulungannya selaku Presiden dua hari lepas. Harap Hadi jelas.


Seperkara lagi, ingin juga dijelaskan pada Hadi bahawa tidak ada sesiapa pun yang menuduh Anwar sebagai berzina, sebagaimana yang dikatakannya. Oleh itu, tidak perlulah Eskay membawa empat orang saksi yang adil, lagi tidak fasik untuk menjadi saksi pertuduhannya itu.


Hadi harus jelas dalam perkara ini bahawa Eskay hanya menuduh Anwar wujud di dalam rakaman tersebut, termasuk dirinya sendiri. Itu pengisian sumpah laknat Eskay tempohari. Tidak pun Eskay bersumpah bahawa “dia bersaksi bahawa dia melihat Anwar berzina”.


Justeru itu, memandangkan ini adalah bukan pertuduhan zina, maka Eskay secara jelas tidak boleh dikaitkan dengan sebarang hukum hudud, termasuk qazaf. Meskipun secara visualnya menunjukkan lelaki yang mirip Anwar itu sebagai melakukan zina, namun tidak semestinya dia berzina.


Ini adalah kerana menurut hukum pertuduhan zina, saksi yang menuduh perlakuan itu mestilah melihat perlakuan zina itu secara jelas dan terang, bahawa perlakuan pelakunya adalah seperti “jari yang dimasukkan cincin”. Malah saksi itu juga mesti terdiri dari empat orang yang adil dan tidak fasiq.


Memandangkan syarat-syarat yang ketat itu, maka berkemungkinan itulah Eskay hanya menuduh Anwar sebagai wujud dalam video seks tersebut, dan tidak menuduhnya berzina. Eskay mungkin sedar bahawa dia tidak punya empat saksi yang adil dan tidak fasiq untuk menuduh Anwar berzina. Menuduh Anwar sebagai wujud dalam video tersebut adalah memadai.


Justeru Eskay sudah bersumpah laknat, dan Anwar enggan membalas, Hadi sebagai Presiden sebuah parti yang kononnya terlalu Islam melebihi orang lain, maka sewajarnya Hadi menasihatkan Anwar supaya membersihkan namanya mengikut cara Islam yang lebih dipercayai keadilannya.


Sepatutnya Hadi bukannya terus membela Anwar, kerana Hadi sendiri tidak tahu sama ada Anwar atau Eskay yang benar. Hadi tidak ada bersama Eskay mahupun Anwar ketika masa rakaman video tersebut. Oleh itu, Hadi sebagai seorang yang menggambarkan dirinya adil, tidak wajar untuk terus membuat keputusan sendiri dengan menyalahkan Eskay dan membela Anwar.


Pada hemat saya, inilah jadinya apabila sesuatu perkara itu dicampur adukkan dengan pandangan politik mendahului segalanya sebelum dirujuk dengan kaedah Islam. Benarkah Hadi mendahulukan Islam sebagai rujukannya dalam semua perkara, atau dia mendahului fikrah politik untuk setiap maslahah dan muamalahnya? Atau ini juga salah satu “tahalluf siyasi” dari Hadi? Kalian fikirkanlah sendiri.


Dipetik daripada : mykmu.net

No comments:

Post a Comment