Wednesday, June 01, 2011

PM akui kuasa media pengaruh rakyat

paper-malaysia



PUTERAJAYA: 20 April – “Pena, papan kekunci dan tetikus adalah lebih berkuasa daripada pedang.” Begitulah kata Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika berucap pada Taklimat Media Inisiatif Penjanaan Kekayaan Baru dan Pembangunan Eko-Sistem Negara Melangkaui 2021 – Unit Inovasi Khas (UNIK) di Putrajaya, Selasa.

“Pihak media, bantulah saya untuk membuat rakyat melihat visi Malaysia yang inovatif dengan jelas sebagaimana saya melihatnya. Andalah duta yang boleh mempengaruhi rakyat melalui penulisan anda. “Pena, papan kekunci dan tetikus adalah lebih berkuasa daripada pedang. Gerakkan rakyat menerusi kewartawanan anda, supaya kita bersama-sama mengatasi cabaran, berada pada landasan yang betul dan membina Malaysia ke arah cemerlangan.” katanya.


Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan 23 inisiatif ekosistem dan penjanaan kekayaan yang akan menarik pelaburan berbilion Ringgit serta melahirkan lebih banyak penjanaan kekayaan negara.


Najib menegaskan, untuk melahirkan nilai yang baru menerusi inovasi, rakyat perlu mengubah sikap. “Sekiranya pada peringkat awal cabaran kita ialah untuk mengubah sikap “tidak apa”, sekarang kita perlu mengubah sikap “lebih kurang”.


“Kita mesti bertindak tepat dalam apa jua yang kita lakukan. “Lebih kurang” tidak mencukupi. Kita perlu berubah supaya kita boleh keluar dari zon selesa. Kita tidak boleh berpuashati dengan kejayaan yang sedia ada.


“Kita mempunyai tanggungjawab meninggalkan kepada keturunan kita satu platform untuk mereka menjadi rakyat yang terbilang di peringkat global,” kata Najib yang turut menyaksikan majlis perjanjian kerjasama strategik antara beberapa rakan kongsi dengan Unit Inovasi Khas (UNIK), yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).


Menurutnya, bukan mudah untuk melakukan transformasi minda. Tetapi untuk menjadi negara yang inovatif, transformasi minda perlu dilakukan di sektor kerajaan, industri dan pendidikan.


Najib berkata dia memberi penekanan khusus kepada penjanaan kekayaan kerana ia adalah matlamat pertama Model Ekonomi Baru. Katanya dalam persekitaran global hari ini, pelaburan sahaja tidak mencukupi dan kerajaan harus melihat cara lain bagi menjana kekayaan,


“Untuk menjadi negara yang membangun, usaha menjana kekayaan harus dibuat menerusi inovasi.Kita harus ingat bahawa inovasi bukan satu destinasi tetapi satu perjalanan. Ini adalah permulaan perjalanan yang panjang dan kita baru memulakan pelayaran. Kita mungkin akan melakukan beberapa kesilapan dalam perjalanan kerana kita belayar di atas lautan yang tidak pernah diduga.”


Daripada : mykpmu.net

No comments:

Post a Comment