Monday, April 07, 2014
Demo Derita Rakyat Baling ... PAS Masih Hidup Dalam Kepompong Besi
Pada zaman di mana kebanyakan anak-anak muda enggan lagi bekerja di kebun getah, menoreh, menebang tebas atau mengambil upah meracun kebun getah, rupa-rupanya masih ada lagi kelompok yang hidup dengan kenangan silam. Masih ada lagi yang hidup dengan jalan kaki masuk ke kampung yang hanya berlaluan tanah merah dan tidak boleh dilalui pada musim tengkujuh. Masih ada lagi yang melihat getah sebagai komoditi utama dan menoreh getah merupakan pekerjaan utama di negara ini.
Tidak dinafikan masih ada lagi penoreh getah di kebun-kebun kecil yang bertaburan di seluruh negara. Namun jumlah mereka berbanding pada tahun-tahun 70-an sehingga penghujung 80-an semakin mengecil dan sekarang ini jumlah mereka dianggap sebagai RARE!
Mencari penoreh-penoreh getah dari kalangan anak-anak muda seperti mencari jarum di dalam hutan. Mencari mereka yang bergantung hidup sepenuhnya kepada kebun getah dan susu getah, sama seperti mencari Puteri Bunian yang tinggal di atas gunung.
Kebanyakan anak muda enggan lagi berkerjaya sebagai penoreh getah. Kebanyakan kebun getah kecil bahkan estet termasuklah tanah rancangan FELDA, menggunakan tenaga kerja luar untuk menoreh. Walaupun pelbagai teknologi mengeluarkan susu getah telah dimajukan oleh MARDI, ternyata daya tarikan sebagai penoreh getah hanya bermusim iaitu pada ketika harganya melambung tinggi. Apabila harga komoditi dunia itu merudum, kebanyakan anak muda yang menjadi penoreh getah sambilan, kembali kepada kerja sebelum ini, terutama sekali dalam sektor perkilangan dan pembuatan.
PAS cuba menjadi juara untuk memperjuangkan kenaikan harga getah. Namun PAS sebenarnya sudah ketinggalan jauh. Zaman di mana komoditi seperti getah dan bijih timah merupakan denyut nadi kehidupan rakyat negara ini, sudah lama ditinggalkan. Kerja menoreh getah hanyalah kerja sambilan yang dilakukan pada ketika harganya tinggi dan kebun getah biasanya akan ditinggalkan begitu sahaja sehinggalah berita kenaikan harganya bergema semula.
Permintaan domestik terutama dari sektor perkilangan dan industri bagi tenaga buruh, begitu tinggi. Permintaan tinggi itulah juga yang membuatkan kebanyakan kebun getah ditinggalkan.
Baling juga berhadapan dengan masalah yang sama. Walaupun Daerah Baling bukanlah daerah perindustrian namun beberapa kawasan seperti Padang Sera, ada kawasan industrinya yang iklan untuk mendapatkan pekerja lelaki dan wanita sentiasa wujud. Begitu juga Kulim Hi-Tech Park yang sentiasa memerlukan sejumlah besar pekerja, menjadikan bidang menoreh getah bukanlah bidang pilihan.
Nasib pekebun kecil getah sentiasa terbela menerusi kewujudan pelbagai agensi kerajaan. Berbeza dengan negara-negara pengeluar getah yang lain, Malaysia menyediakan pelbagai platform dan inisiatif bagi membantu para pekebun kecil getah. Apatah lagi pelbagai perkara yang boleh dilakukan di atas tanah kebun getah bagi mendatangkan pendapatan sampingan tanpa perlu mengeluh atau meminta-minta seperti peminta sedekah.
Harga getah tidak dikawal oleh negara. Ia bukanlah komoditi kawalan, sebaliknya harga getah ditentukan oleh pasaran dunia. Seharusnya dalam keadaan ini, PAS mengajar para pengikutnya yang masih menoreh getah untuk mencari inisiatif dan alternatif bagi menambah sumber pendapatan bukannya berteriak, berdemonstrasi dan menyalak-nyalak meminta agar kerajaan menaikkan harga getah.
Gelagat yang diusahakan oleh PAS adalah GELAGAT ORANG PEMALAS dan berat tulang. Dalam keadaan terlalu banyak peluang pekerjaan tersedia untuk rakyat negara ini, PAS masih hidup dalam kepompong besi. Masih melihat rakyat tidak perlu bekerja dan sentiasa memerlukan tongkat dari kerajaan.
Budaya yang disemai oleh PAS sebenarnya bukanlah budaya dan amalan Islam. PAS barangkali terlalu bimbang sekiranya rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu memberikan tumpuan kepada sektor ekonomi, maka mereka tiadalah lagi penyokong dan pendengar tegar akan ceramah-ceramah dan kempen mereka. Barangkali kerana itulah, PAS cuba berlagak seolah-olah mereka memperjuangkan nasib penoreh getah walaupun UMNO dan Barisan Nasional telah terlebih lama membela nasib golongan yang pernah menduduki carta kelompok termiskin negara ini suatu masa dahulu.
Agak aneh, dalam Islam ada KONSEP HIJRAH apabila keadaan memerlukan. Nabi s.a.w dan para Sahabat r.a sendiri melakukan HIJRAH, tapi PAS… mereka tetap mahu duduk di bawah kepompong besi dan cuba memaparkan kononnya mereka adalah golongan yang tertindas dan teraniaya.
Disediakan oleh : EDITOR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment