Keinginannya untuk mendalami masyarakat Asia
Tenggara mendorong gadis kelahiran Moscow, Rusia, Polina Matveycheva,
23, mengikuti kelas pengajian bahasa Melayu sewaktu menuntut di
Universiti Pengajian Timur Terraban, Moscow kira-kira tiga tahun lalu.
Bertitik tolak dari situ, bekas naib johan kategori antarabangsa
Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana
Menteri 2012 tidak menyangka dia mula mencintai keindahan bahasa Melayu
sehingga mengubah destinasi kehidupannya pada hari ini dan terus tinggal
di Malaysia.
“Saya masih ingat lagi pada hari pertama, mula-mula mempelajari
bahasa Melayu di universiti ketika usia 20 tahun ketika itu, saya
seperti sudah jatuh dan tertarik dengan keindahan bahasa itu, ia juga
sangat mudah difahami.
“Saya amat sukakan masyarakat Asia Tenggara, persekitaran dan
cuacanya amat sesuai dengan saya dan dengan kemahiran menguasai bahasa
Melayu memudahkan saya untuk terus tinggal di Malaysia dan mungkin suatu
hari nanti, bertemu jodoh juga dengan orang Malaysia,’’ katanya ketika
ditemui Helo Kampus di pejabat Utusan Malaysia baru-baru ini.
Polina tidak mengambil masa lama untuk mengambil keputusan menetap di
Malaysia kerana sebaik sahaja selesai menyertai pertandingan PABM,
gadis itu menerima tawaran kerja sebagai pegawai akhbar di Kedutaan
Rusia di Malaysia dan kini menetap di Ampang, Selangor selama dua tahun
setengah.
“Setelah jatuh cinta dengan bahasa Melayu, minat yang mendalam dalam
bahasa ini saya praktikkan dengan menyertai PABM dan nampaknya selepas
menyertai pertandingan itu, saya menerima banyak tawaran pekerjaan di
Malaysia, seperti Malaysia menyambut kembali pelawaan cinta saya dan
akhirnya saya terus berada di negara ini,’’ katanya.
Katanya, pada pertandingan PABM 2012, dia memilih tajuk Malaysia
sebagai destinasi impian pelancong asing kerana ia bertepatan dengan
keinginan yang mengunung dirinya untuk tinggal di Malaysia terutama di
Kuala Lumpur selepas tertarik dengan kehidupan masyarakat berbilang kaum
negara ini selain keunikan budaya masyarakatnya.
Polina juga akan kembali semula pada PABM 2015 tetapi bukan sebagai
peserta sebaliknya sebagai salah seorang juri pertandingan itu dan dia
menasihatkan para peserta agar tidak terlalu bimbang dengan cabaran yang
bakal dihadapi sepanjang pertandingan itu serta berfikiran kreatif.
“Jangan terlalu serius untuk menang pertandingan ini kerana melalui
pertandingan, sewajarnya peserta lebih seronok dan banyaklah membuat
kawan kerana pelbagai manfaat boleh diperolehi melaluinya jika kita
lebih seronok,’’ katanya.
Turut berkongsi pengalaman PABM lalu, finalis kategori antarabangsa 2013
dari Afghanistan, Abdul Matin Mohammad Azeem, 23, yang juga baharu
mendirikan rumah tangga dengan wania tempatan dari Pulau Pinang dan kini
dalam pengajian akhir Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat Universiti
Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
“Selepas berakhir PABM dan saya juga tidak menang pertandingan itu
namun saya tidak terus kembali ke Herat, kampung halaman saya di
Afghanistan, saya merisik-risik peluang belajar di Malaysia kerana saya
agar tertarik dengan cerita pak cik yang juga pernah tinggal di Malaysia
selama lima tahun.
“Bagi mencapai hasrat itu, saya perlu mendalami bahasa Melayu dan ia
langsung tidak menghalang saya untuk menimba pengalaman berada di
Malaysia kerana mempelajari bahasa Melayu amat mudah berbanding bahasa
antarabangsa lain,’’ ujarnya.
Katanya, bagi meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam bahasa
Melayu, dia turut mengadakan kelas tambahan kepada pelajar antarabangsa
lain di UIAM selain mendapat tunjuk ajar daripada isteri tersayang.
Sementara itu, peserta wanita negara yang memenangi kategori alam
Melayu PABM 2012, Fathiah Ibrahim, 26, pula melihat pendedahan yang
diterima daripada PABM lalu telah membawanya selangkah ke hadapan
apabila dijadikan rujukan peserta antarabangsa termasuk dari peringkat
sekolah.
“Saya turut dihubungi beberapa peserta peringkat antarabangsa yang
ingin mendengar pengalaman dan mendapatkan tunjuk ajar mengenai teks
perbahasan sebelum mereka menyertai pertandingan tersebut,’’ katanya.
Dipetik daripada sumber : Utusan
No comments:
Post a Comment