Monday, August 03, 2015
Jaga-jaga... UMNO Lebih Mudah Berpecah Dari Dalam
Ahli-ahli UMNO diperingatkan bahawa perpecahan di dalam parti itu lebih mudah dilakukan dari dalam berbanding dari luar.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha
memecahbelahkan parti itu seolah-olah sedang berlaku ketika ini.
“Permasalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sukar dipecahkan dari luar, tetapi mudah dipecahkan dari dalam.
“Apa yang berlaku dalam kalangan kita (ketika ini) adalah usaha untuk
memecahbelahkan (parti) dari dalam,” katanya ketika berucap merasmikan
Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bayan Baru pada Ahad.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO meraikan
perbezaan pendapat dalam kalangan ahli-ahlinya, namun perlu ditangani
mengikut ilmu tasawuf Islam.
Katanya, pendekatan itu bermaksud perbezaan pendapat tersebut perlu
disertakan dengan ketertiban, usaha menjaga aib pihak yang lain serta
mempunyai tatasusila tersendiri.
“Malah, dalam Islam sekali pun perbezaan pendapat ini dibenarkan dan ada
akhlaknya dalam Islam untuk menangani perbezaan pendapat ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengingatkan ahli-ahli UMNO melakukan
perubahan supaya selari dengan kehendak khalayak hari ini yang
disifatkan lebih sofistikated.
Antara yang ditekan beliau adalah keperluan untuk ahli-ahli UMNO
menguasai media sosial supaya tidak terus menjadi mangsa fitnah atau
mempercayai fitnah yang disebarkan menerusi medium tersebut.
“Ketika ini adalah zaman di mana maklumat dan fitnah berada hanya di
hujung jari. Maka untuk UMNO kekal relevan dan berdepan generasi Y, kita
perlu berubah ke arah tersebut,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali
Ibrahim berkata ahli UMNO perlu bersatu-padu untuk terus menjaga
kedudukan orang Melayu dan agama Islam di samping meneruskan
kesinambungan parti pada masa depan.
Menurutnya setiap anggota tidak boleh sewenang-wenangnya mendengar khabar angin yang boleh memecahbelahkan UMNO.
"Jangan ada orang UMNO yang cuba mengambil kesempatan untuk
melaga-lagakan kita kerana apa yang kita buat ini adalah untuk kukuhkan
kerajaan dan parti.
"Bila UMNO pecah, Melayu menjadi lemah kerana UMNO ditubuhkan disebabkan
oleh orang-orang Melayu," katanya ketika berucap pada majlis perasmian
serentak Mesyuarat Agung Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian
Larut 2015 Ahad.
Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
(KPDNKK) merangkap Anggota Parlimen Larut Datuk Hamzah Zainudin.
Razali turut mengulas rombakan kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak pada Selasa lepas, yang mencetus pelbagai reaksi dalam
kalangan rakyat mahupun anggota parti.
"Hakikatnya bohong orang yang tiada perasaan sahaja yang tidak marah.
Orang yang mahu tengok UMNO terus bercakaran sahaja tidak marah, tidak
sedih, namun keputusan yang dibuat adalah kuasa perdana menteri, tidak
ada masalah bagi saya.
"Kita harus bijak mengawal emosi kita mengenai isu tersebut kerana ini
bukanlah perkara yang dapat kita bawa ke hadapan. Jangan kita marah
sampai kita bakar segalanya," jelas beliau.
Razali, yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO, berkata jangan wujud
prasangka buruk dengan keputusan perdana menteri, dan sebagai rakyat
Malaysia, kita perlu menyokong pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan
(GST) yang akan mendatangkan hasil pada masa akan datang.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment