Wednesday, August 26, 2015
Jemaah Haji Diminta Jangan Terpedaya Dakyah Ringgit Tidak Laku Di Tanah Suci
JERANTUT : Jemaah haji Malaysia diminta tidak terpedaya
dengan khabar angin yang menyatakan Ringgit Malaysia (RM) tidak boleh
ditukar di Tanah Suci Mekah.
Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim
berkata, maklumat itu tidak benar dan sehubungan itu jemaah haji tidak
perlu panik dengan laporan yang tersebar dalam laman sosial itu.
“Maklumat yang terdapat dalam media sosial menyatakan duit kita tak
boleh ditukar tak boleh diguna pakai itu satu perkara yang palsu.
Saya telah berhubung dengan Pengarah Operasi Tabung Haji awal pagi
tadi (yang berada di tanah suci) dan beliau menyatakan tiada masalah
mengenai perkara itu.
“Duit kita walaupun duit kecil RM10, RM5 dia orang pun ada (untuk
ditukar),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan
kepada keluarga jemaah haji Allahyarham Zaleha Yasin di Kota Gelanggi 4
di sini, hari ini.
Turut hadir Ahli Lembaga Tabung Haji Tan Sri Abdul Shukor Husin dan
Anggota Parlimen Jerantut Ahmad Nazlan Idris yang kemudian bersama-sama
menyertai majlis tahlil Allahyarham Zaleha, 63 yang meninggal dunia di
Madinah.
Allahyarham Zaleha yang tiba di Madinah bersama suaminya Jaafar
Deran,73, pada 18 Ogos meninggal dunia akibat serangan sakit jantung
pada 24 Ogos lepas.
Arwah sebelum itu mengadu sakit dada, dibawa ke Klinik Kesihatan TH
untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke ke Hospital King Fahd,
Madinah pada 20 Ogos.
Dalam pada itu Abdul Azeez turut menyangkal dakwaan kononnya
kejatuhan nilai ringgit telah menyebabkan pengurup wang di Makkah,
Jeddah dan Madinah tidak mahu menerima duit Malaysia.
“Jangan sebar perkara tidak betul, saya faham kadangkala mereka nak
kongsi informasi yang diterima melalui telefon bimbit, tapi sekiranya
tidak sahih, jangan kongsi,” katanya.
Jemaah haji, selain itu turut diingatkan supaya tidak membawa duit
yang banyak sebaliknya menyimpan dalam akaun Tabung Haji masing-masing
kerana ia lebih terjamin.
Beliau berkata, setiap jemaah haji boleh mengeluarkan simpanan
sehingga RM10,000 sehari menerusi kaunter yang disediakan oleh Tabung
Haji di maktab penginapan masing-masing.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan pergerakan jemaah Malaysia ke
Tanah Suci berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.
Katanya, penerbangan akhir jemaah haji ke tanah suci dijadualkan pada 16 September ini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment