Tuesday, August 04, 2015

Kukuhkan Parti Dengan Penambahan Keahlian Dan Daftar Pengundi – Puteri Kedah

4 Ogos 2015, Kuala Lumpur : Mesyuarat perwakilan UMNO bahagian yang berlangsung kini mampu menjadi medan terbaik kepada ahli untuk mencambah minda serta mencerna pemikiran dalam memikirkan strategi terbaik bagi memperkukuh dan memperkuatkan parti, ujar Penolong Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Negeri Kedah, Rosliza Hassan.

Di dalam mendepani cabaran politik di negara ini yang semakin mencabar dengan pelbagai fitnah dan dakyah yang dibawa oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, beliau mengharapkan mesyuarat tersebut mampu menyatupadukan ahli-ahli parti bagi menangani unsur-unsur negatif meresapi parti.

“Apa yang saya lihat, situasi politik hari ini bukan sahaja cabaran yg perlu ditangani oleh UMNO tetapi juga parti politik yg lain.
UMNO10_261114_PUTERI
“Memang ada sesetengah pihak yang tidak suka melihat parti kita kuat, yang tidak suka melihat kita bersatu padu, tetapi atas semangat solidariti saya percaya ahli-ahli parti mampu bersikap matang dengan mementingkan kekuatan parti terutama bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

“Selain itu, kita juga perlu mempromosikan parti kita adalah yang terbaik, yang terbaik memberi khidmat kepada rakyat, yang sentiasa membuat dasar demi kepentingan rakyat sama ada untuk jangka pendek mahupun jangka panjang,” katanya kepada UMNO-Online.

Menurut Ketua Puteri UMNO Bahagian Kubang Pasu itu lagi, tidak salah ahli-ahli menyuarakan pandangan dan berlaku perbezaan pendapat sesama sendiri, namun tidak perlu senada dengan pembangkang yang memang diketahui umum sering menggambarkan sisi negatif UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Tempoh bersidang Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian bermula sejak 27 Julai lalu hingga 31 Ogos ini.

Tetapi menurutnya, segala usaha ke arah pengukuhan parti perlulah seiring dengan gerakan menambah keahlian, penubuhan cawangan baru dan daftar pengundi.

Bagi memastikan kelangsungan parti untuk masa hadapan juga, adalah menjadi satu cabaran kepada pemimpin-pemimpin golongan muda menarik seramai mungkin pengundi yang memihak kepada BN, tambahnya lagi.

“Justeru itu, semua jentera parti tanpa mengira peringkat perlulah bersama-sama menggembleng tenaga mempergiatkan usaha menarik seramai mungkin untuk menjadi ahli dan seterusnya menjadi pengundi kita.

“Pada ruang yang ada ini, semua pihak mampu membincangkan kaedah yang terbaik bagi menggalakkan pendaftaran ahli menjadi pemilih serta mendaftar pengundi baru terutama golongan muda,” ujarnya lagi.

Menurutnya lagi, pilihan raya adalah sistem yang akhirnya angka menjadi penentu dan disebabkan itu usaha penambahan pengundi adalah amat penting dan perlu menjadi fokus kepada jentera parti.

“Tidak guna mempunyai ramai ahli jika tidak mengundi, tidak guna kita gah mempunyai ahli yang paling ramai jika akhirnya ketika hari mengundi, hanya menjadi pemerhati dan tukang sorak tetapi tidak mengundi,” katanya.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment