Thursday, August 06, 2015

PAS Letak Calon Bukan Islam Bertanding Di Kawasan DAP - Tuan Ibrahim

PAS akan menampilkan lebih ramai calon kalangan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata calon daripada DHPP kemungkinan besar akan diletak di kawasan yang ditandingi DAP bagi memberi pilihan kepada pengundi.

“Kita memberi pilihan kepada pengundi Islam yang tidak berminat kepada DAP. Kita akan buat analisa lanjut mengenainya,” kata beliau.

DAP dan PAS sebelum ini berperang besar mengenai beberapa perkara dalam Patan Rakyat sebelum ianya dibubarkan.

Sebahagian pemimpin PAS yang kalah dalam pemilihan parti itu Jun lalu dilaporkan sedang berusasha mendaftarkan parti baru bagi menggantikan PAS.

Sementara itu, mengulas mengenai Gerakan Harapan Baru (GHB) Lembaga Disiplin PAS kini menerima beberapa laporan daripada PAS cawangan terhadap pembabitan pemimpin parti itu dalam Gerakan Harapan Baru.

Menurut Tuan Ibrahim, laporan tersebut sedang diteliti oleh pihak terbabit sebelum diambil tindakan lanjut.

“Setakat ini belum lagi diambil apa-apa tindakan disiplin terhadap pemimpin PAS yang terbabit Harapan Baru.

“Tindakan yang bakal diambil bukan semata-mata berdasar kritikan mereka terhadap kepemimpinan PAS yang ada sekarang.

“PAS mengamalkan dasar terbuka sesiapa sahaja boleh menegur pemimpin. Namun kita lebih lihat jawatan yang dipegang mereka dalam wadah baru tersebut,” katanya dipetik dari portal Harakahdaily.

Tuan Ibrahim juga berkata PAS juga tidak mengambil tindakan di atas kehadiran pemimpin terbabit pada program anjuran Harapan Baru.

“Mereka masih lagi ahli PAS. Kita sebenarnya menggunakan kaedah pujuk dan bincang sebelum sebarang tindakan disiplin dikenakan.

"Dari segi peraturan parti sekiranya mana-mana wakil rakyat masuk parti lain secara automatik dia akan hilang keahlian dalam PAS.

"Lagi pun semua calon PAS terikat dengan baiah, dia mesti mengosongkan kerusi yang dimenangi dan beri semula mandat kepada rakyat. Kalau dia tak buat dia langgar baiahnya sendiri," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa hairan Harapan Baru berterusan menyerang pimpinan PAS di Kelantan dengan membuat pelbagai andaian, kerajaan PAS akan jatuh.

Menurutnya strategi itu merugikan pembangkang kerana secara tidak langsung memberi kelebihan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau juga berkata biarpun PAS dilihat bersendirian, namun parti itu merupakan pembangkang yang paling lama di negara ini.

“Kalau ada parti pembangkang yang menang namun tidak mencukupi majoriti untuk membentuk kerajaan, maka ketika itu mereka akan merujuk kepada PAS,” tambahnya. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment