Sunday, August 09, 2015
PAS Mahu Letak Calon Di Kerusi DAP Bertanding, PRU14 Akan Datang
SHAH ALAM : PAS akan meletakkan calon di kerusi-kerusi yang akan
ditandingi DAP pada Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU14) akan datang, tegas
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Keputusan itu dibuat selepas PAS dan DAP kini tidak lagi mempunyai
sebarang kerjasama politik dan tindakan parti dominasi Cina itu yang
sehingga kini terus menyerang peribadi presiden mereka, Datuk Seri Abdul
Hadi Awang, ujar Tuan Ibrahim.
"Kita buat keputusan, kita akan tanding tempat-tempat DAP bertanding,
sebab kalau kita bertanding, peluang kita menang ada. Kadang-kadang
tempat tu, pengundi bukan Islam mungkin dalam 45 peratus, atau 50
peratus, atau 60 peratus.
“Katakanlah, calon MCA lawan calon DAP, dua-dua Cina, pengundi Melayu
nak pergi mana? Silap-silap perhitungan, bila kita letak calon, kita
boleh menang. Ini kita akan analisa, kita akan buat kajian,” ujarnya
dalam satu kenyataan.
Tuan Ibrahim berkata, PAS sebelum ini menghormati DAP dan tidak
meletakan calon di kerusi-kerusi yang ditandingi parti itu, meskipun
yakin mampu menang di kawasan tertentu.
“Tempat DAP bertanding hari tu PAS tak boleh bertanding sebab kita
bincang satu sama satu. Tapi oleh kerana dia putus dengan kita, dia
kerat kita, kata macam-macam ke Presiden," Tuan Ibrahim dipetik sebegai
berkata.
Malah ujarnya PAS bersedia untuk meletakkan calon bukan Islam dalam
Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) bagi memenuhi tuntutan pengundi
bukan Islam di kerusi-kerusi yang dimenangi DAP.
PAS sebelum ini bertindak memutuskan hubungan dengan DAP selepas parti
pimpinan Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng itu berterusan
mengkritik Hadi, hanya disebabkan perbezaan pendapat berhubung isu
pelaksanaan hudud di Kelantan.
DAP mahu PAS menggugurkan hudud namun parti Islam itu bertegas,
pelaksanaan hukum itu sudah lama didokong dan mustahil akan digugurkan
begitu sahaja.
PAS juga meminta DAP menghormati hak demokrasinya untuk memperjuangkan agendanya itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Tuan Ibrahim berkata PAS tidak akan
menyerahkan kerusi yang dimenanginya dalam PRU13 lalu kepada Gerakan
Harapan Baru (GHB).
"Kalau dia bertanding kerusi DAP, DAP kata hari itu aku menang dah, beri
pada kamu pun tak tentu lagi menang. Nak tanding kerusi PAS? PAS takkan
bagi, kerusi ini kerusi PAS, takkan bagi. Kalau dia letak juga calon,
maknanya menyambung hayat Umno.
“Parti tak boleh ditubuhkan kerana kecewa, dan parti tak boleh tubuh
kerana semata-mata nak lepaskan geram, sebab tak ada nilai tambah, duduk
dalam tu juga, tarik menarik, akhir orang bawah jadi haru-biru habis”,
jelasnya lagi.
Sebelum ini, PAS menerusi Hadi Awang pada Muktamar ke 61 berkata parti
itu tidak pernah takut untuk bergerak bersendirian malah berpengalaman
luas untuk berbuat demikian.
Kenyataan Hadi kemudiannya disokong beberapa pemimpin PAS yang lain dan masing-masing bersedia untuk apa jua kemungkinan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment