Saturday, August 01, 2015

PAS Tolak Undi Tidak Percaya Najib Di Parlimen, Kata Hadi


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan ahli Parlimen PAS agar tidak menyokong usul undi tidak percaya jika diadakan di Dewan Rakyat bagi mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan.

Hadi berkata ahli Parlimen berkenaan perlu akur jika tidak mahu tindakan tegas diambil kerana PAS hanya akan melakukan perubahan melalui cara yang lebih sihat.

“PAS tidak akan menyertai agenda melakukan perubahan politik secara tidak sihat kerana cara itu akan menghuru-harakan negara.

“Kita mahukan perubahan tetapi kita akan lakukan secara sihat iaitu melalui pilihan raya umum.
“Perubahan kepimpinan negara seperti dicadangkan Gerakan Harapan Baru (GHB) boleh menghuru-harakan negara dan mengorbankan masa depan rakyat,” katanya seperti dilaporkan akhbar Berita Harian.

Pemimpin PKR, DAP dan GHB pada Selasa menggesa seluruh ahli Parlimen termasuk daripada Barisan Nasional (BN) bersatu bagi mengemukakan undi tidak percaya kepada Najib.

Mereka berkata ia perlu dilakukan susulan ketidaktentuan politik dan sosial dalam negara serta pendedahan terbaru skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB) melibatkan Najib secara langsung seperti didedah akhbar Wall Street Journal (WSJ) sebelum ini.

Pengerusi GHB, Mohamad Sabu menjelaskan tindakan itu perlu bagi menyelamatkan masa depan negara.

“Seluruh negara kini menjadi mangsa apabila urusan pentadbiran negara dan pembangunan dikorbankan demi percaturan politik Najib.

“Kedegilan Najib untuk terus berkuasa akan mengheret negara dengan ketidaktentuan selagi ia tidak diselesaikan segera,” katanya.


Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment