Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, usaha itu bukan sesuatu yang baharu kerana sejak dahulu lagi, pelbagai cara digunakan untuk melemahkan Pas sama ada dari luar atau dari dalam.
Menurut beliau, sejarah membuktikan Pas terus gagah sejak ditubuhkan pada 1951 walaupun beberapa pemimpin tertingginya meninggalkan parti berkenaan pada 1982.
“Hal ini kerana kekuatan Pas adalah pada dasar Islam yang dipegang serta rujukan al-Quran, sunnah, ijma’ dan qiyas yang memandu hala tuju serta gerak kerja Pas.
“Pemimpin serta ahli boleh datang dan pergi, namun parti berasaskan Islam yang membawa cahaya kebenaran Islam akan terus berjalan dan berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan melalui laman Facebook beliau hari ini.
Semalam, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud dan 183 pemimpin serta ahli Pas Kawasan Kota Raja mengumumkan meletak jawatan dalam parti itu untuk menyertai parti baharu yang bakal ditubuhkan Gerakan Harapan Baru (GHB) penghujung bulan ini.
Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, tindakan keluar parti merupakan jalan penyelesaian terbaik untuk pemimpin dan ahli yang telah berpatah arang serta menyerang parti.
Beliau memberitahu, mereka seharusnya berbuat demikian kerana tiada lagi premis untuk mereka kekal dalam Pas.
“Daripada maklumat yang saya peroleh secara rasmi, masih ada yang belum isytihar. Untuk memudahkan, saya berharap mereka memilih jalan yang sama,” katanya dalam kenyataan melalui laman Facebook beliau.
Sementara itu, Nik Mohamad Abduh turut menghargai sikap istiqamah yang ditunjukkan Pas Johor, Selangor dan Perak dalam menolak fitnah serta tohmahan yang dilemparkan oleh GHB.
Dipetik daripada sumber : UTUSAN
No comments:
Post a Comment