Thursday, August 06, 2015
Pembangkang Dicabar Sokong Akta Sumbangan Dana Politik
Parti pembangkang dicabar membuat pendirian sama
ada bersetuju atau tidak dengan cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) supaya diwujudkan akta atau peruntukan undang-undang
khusus bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap mana-mana parti
politik di negara ini yang menerima dana daripada pelbagai pihak.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,
sekiranya parti pembangkang benar-benar bersikap jujur dan telus, mereka
tidak sepatutnya bimbang untuk mengisytiharkan sumber sumbangan politik
yang diterima.
Beliau berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai
masalah untuk berbuat demikian, malah kerajaan pernah mencadangkan
supaya cadangan tersebut dibuat, namun ditentang oleh parti pembangkang.
“Kerajaan memang bersetuju dari dahulu lagi, namun kerana tentangan
daripada pembangkang, kita tidak teruskan usul ini, disebabkan sekarang
timbul isu dana dan sumbangan untuk UMNO, jadi sudah tiba masa akta ini
diwujudkan.
“Kalau pembangkang jujur, mereka juga patut dedahkan sumber mereka.
Ketika pilihan raya umum (PRU) lalu parti DAP dan PKR berbelanja besar
jadi kita pun hendak tahu daripada mana mereka mendapat dana tersebut,”
katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di sini hari ini.
Semalam, SPRM menggesa akta tersebut yang pernah dicadangkan oleh
kerajaan pada tahun 2008 diwujudkan semula bagi membolehkan suruhanjaya
tersebut mendedahkan butiran-butiran terperinci identiti penyumbang dana
politik.
Cadangan tersebut ditimbulkan semula berikutan hasil siasatan SPRM
yang mendapati wang berjumlah RM2.6 bilion di dalam akaun peribadi
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan hasil sumbangan
dan bukan daripada wang 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).
Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
berkata, kerajaan berharap akta tersebut dapat diwujudkan sebelum PRU
yang akan datang dengan mewajibkan pengisytiharan derma termasuk jumlah
dan sumber diperoleh.
Ditanya punca pembangkang enggan menerima akta tersebut, katanya, ini
berikutan terdapat kemungkinan bahawa dana yang diperoleh oleh parti
pembangkang diterima daripada pihak luar yang mempunyai agenda tertentu.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment