Tuesday, August 04, 2015
Pembangkang Hipokrit, Kata Telus Tetapi Kenapa Tolak Cadangan Isytihar Sumber Dana Parti?
5 Ogos 2015, Kuala Lumpur : Pembangkang sering mewar-warkan kononnya
mereka sentiasa berpegang kepada prinsip telus dan berakauntabiliti
tetapi apabila sesuatu dasar itu dilihat mampu menggugat kedudukan parti
mereka, lantas mereka bersikap hipokrit, ujar Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Temenggor, Salbiah Mohamed.
Beliau berpandangan sedemikian ketika mengulas mengenai tindakan
pembangkang terutama Dap yang tetap tidak bersetuju ulangan cadangan
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengenai
peraturan yang menghendaki setiap parti politik mendedahkan sumber dana
yang diterima.
“Mereka heboh meminta Presiden kita mendedahkan sumber dana sumbangan
yang diterima, tetapi dalam masa yang menikus apabila mereka juga
disuruh membuat perkara yang sama bahkan menolak dengan alasan yang
remeh.
“Datuk Seri Najib juga telah memberi jaminan akan mendedahkannya,
tetapi dengan syarat parti-parti pembangkang juga turut bersetuju.
“Jelas mereka bersikap hipokrit, jika mereka ini benar-benar ikhlas
dan telus, pasti mereka terima cadangan tersebut, katanya kepada
UMNO-Online.
Menurutnya lagi, perkara ini bukan baharu kerana jika dilihat
baru-baru ini, Datuk Abdul Rahman Dahlan mendedahkan bahawa Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pernah mencadangkan mengenai
pengisytiharan dana sumbangan kepada parti politik tetapi mendapat
tentangan daripada PKR dan DAP.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu
turut menyatakan di dalam mesyuarat Transparency International-Malaysia
(TI-M) bersama ahli Parlimen pakatan pembangkang pada 1 Disember 2010
lalu, minit mesyuarat melaporkan Tian Chua sebagai berkata:
“Beliau bimbang pengisytiharan penuh akan menjejaskan penyumbang
dan seterusnya menjejaskan pembiayaan bagi parti pembangkang,
kebimbangan bahawa penyumbang mungkin didakwa oleh parti yang menang
kerana menyokong pakatan pembangkang dalam mana-mana pilihan raya umum.
Ini dengan sendirinya akan menyebabkan pengurangan sumber kewangan bagi
pakatan pembangkang.”
Begitu juga dengan reaksi ahli Parlimen Dap dari Rasah, Anthony Loke
turut menyuarakan perkara sama menerusi Forum Majlis Peguam mengenai
pembiayaan politik pada 29 September 2011.
“Sedangkan pada waktu itu lagi Perdana Menteri secara terbuka
menyokong usaha tersebut sebagai langkah yang amat baik di dalam Program
Transformasi Kerajaan (GTP), tetapi mereka? Awal-awal lagi telah
menolak.
“Kemudian, apabila isu dana sumbangan parti itu timbul, mereka tanpa
segan silu mendesak pula hendak tahu dari mana punca kewangan tersebut?
“Tidakkah kita boleh katakan kepada mereka ini sebagai mengata dulang
paku serpih, mengata orang sebenarnya dia yang lebih,” tambah Ketua
Puteri UMNO Negeri Perak itu lagi.
Sehubungan itu juga, beliau menyeru kepada ahli parti supaya tidak
terikut dengan rentak pembangkang yang sentiasa mencari kelemahan
pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Sememangnya pembangkang nampak kekuatan sebenar UMNO adalah
kesepaduan dan keutuhan sesama ahli, dan disebabkan itu mereka tidak
akan berhenti berusaha memporak-perandakan UMNO kerana ‘rumahtangga’
pakatan mereka yang telahpun punah, katanya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment