Saturday, August 22, 2015

Salleh Pertikai Motif Anjur Bersih 4.0 Di Dataran Merdeka

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Dr Mohd Salleh Said Keruak mempertikaikan motif penganjur perhimpunan Bersih 4.0 untuk mengadakan perhimpunan itu di Dataran Merdeka, ibu negara bersempena sambutan Hari Kebangsaan, pada 31 Ogos.
 
Mohd Salleh berkata timbul syak wasangka terhadap motif sebenar pihak penganjur yang berhasrat mengadakan perhimpunan berkenaan, sedangkan mereka sedia maklum bahawa Dataran Merdeka merupakan lokasi sambutan Hari Kebangsaan setiap tahun.

"Kalau kita mengadakan perhimpunan, kita memerlukan permit daripada pihak polis. Polis telah menyatakan bahawa Dataran Merdeka itu akan digunakan untuk meraikan Hari Kebangsaan kita pada 31 Ogos. Tetapi mereka (penganjur) sengaja berbuat demikian kerana matlamat mereka ialah untuk menggagalkan perayaan sedemikian (Hari Kebangsaan).

"Jadi di manakah semangat patriotik mereka? Kita katakan, kalau ingin membuat perhimpunan, silakan buat di tempat lain. Mereka boleh buat di stadium. Tidak salah. Tetapi jangan pula tujuan kita itu bukan untuk menyatupadukan rakyat...protes jalanan tidak selari dengan budaya politik negara kita," katanya.

Mohd Salleh berkata demikian ketika berucap pada majlis Kesyukuran Bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia di Kota Kinabalu,Jumaat.

Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Sabah itu dihadiri Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid dan Exco Penerangan Sabah Datuk Sapawi Ahmad.

Menurut Mohd Salleh, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang menerima perbezaan pendapat namun perbezaan pendapat perlu diraikan dan bukannya mendorong ke arah perpecahan serta ketidakstabilan politik negara dengan memecah-belahkan perpaduan rakyat.

Mengenai cadangan pindaan ke atas Akta Komunikasi dan Multimedia pada penghujung tahun ini, Mohd Salleh berkata ia demi kepentingan dan keselamatan negara.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment