Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi berkata, kebimbangan turut dizahirkan oleh ADUN dari Pas, DAP serta PKR sendiri.
"Bukan sahaja kebimbangan ini berlaku di peringkat Barisan Nasional (BN), Adun Pas (Hulu Kelang), Saari Sungip menzahirkan kebimbangan sehingga beliau minta hentikan dahulu DEIG tetapi Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali tetap uruskan.
"Turut sama adalah Adun Pas (Paya Jaras), Khairuddin Othman yang telah meminta perlaksanaan DEIG ditunda sehingga struktur yang jelas diketahui dan beliau minta perkara ini di bawah ke Sidang Dun.
"Malah ada Adun dari Pakatan Rakyat (PR) di Selangor yang menyatakan mereka tidak tahu mengenai kewujudan DEIG," katanya.
Beliau berkata demikian semasa Program Penerangan Khas Isu DEIG di Bangunan Umno Selangor di sini pada Khamis.
Budiman menjelaskan, tindakan itu menyebabkan persoalan tentang mungkin ada sesuatu yang hendak disorok dan diselindung mengenai objektif utama penubuhan DEIG.
Kebimbangan turut dizahirkan oleh Adun DAP (Damansara Utama), Yeo Bee Yin yang bimbang terhadap penglibatan DEIG di dalam pembangunan 2000 hektar tanah milik MBI.
Sementara itu, Adun PKR (Batu Tiga), Rodziah Ismail turut mempersoalkan penubuhan DEIG di bawah Akta Syarikat dan bukan badan berkanun menyebabkan kerajaan negeri Selangor tidak mampu mengawal perjalanan entiti swasta tersebut.

No comments:
Post a Comment