Monday, August 17, 2009

Anwar : "Stateman" atau "Estateman" - Kamarul Kamdiaz

Sememangnya propaganda, khabar angin dan sentimen amat cocok dengan nafsu kita sebagai seorang manusia.

Sesiapa yang pandai bermain dengan propaganda, sentiment dan khabar angin selalunya akan diterima dan mendapat sambutan hangat, sekurang-kurangnya untuk suatu tempoh tertentu.
Jika kena gaya dan cucuknya, sentiment rakyat akan segera bangkit. Kadang-kadang boleh mencapai tahap taksub.


Selalunya apabila sentimen berjaya dibangkitkan, rasional manusia akan bertukar menjadi emosional. Apabila pertimbangan rasional sudah hilang dari pemikiran, maka mudahlah mereka termasuk dalam perangkap dan dipandu ikut mana yang dikehendaki oleh si pembawa propaganda.


Tahun 1998 adalah tahun yang paling emosional. Ketika itu apa saja berita yang disebar tentang keburukan pemerintah diterima bulat-bulat tanpa perlu disemak kesahihannya.


Apa saja isu yang dilemparkan kepada khalayak akan diterima sehingga kredibiliti semua institusi termasuk kehakiman dan polis berada di tahap paling bawah.


Usaha menaik sentimen ini kembali dipromosi oleh pemimpin yang sama tatkala negara dipimpin oleh Perdana Menteri baru.


Tujuannya mudah dibaca. Jika segala perancangan dan pendekatan yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diterima oleh rakyat jelata, maka ia amat merbahaya kepada kedudukan barisan Pakatan Rakyat, khususnya pemimpin Raja Propaganda dan Putar Alam mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Jika konsep 1Malaysia diterima majoriti rakyat, ia sudah cukup untuk mematikan pengaruh pembangkang yang selama ini bergantung sepenuhnya kepada kelemahan pentadbiran kerajaan, di samping mainan propaganda yang tak berkesudahan untuk mendapat sokongan rakyat.


Maka jika DS Najib berjaya menghapus persepsi buruk rakyat melalui pendekatan kepimpinannya, sudah tentulah sentimen kebencian yang tidak berasas akan kembali rasional. Ini yang paling ditakuti oleh Anwar.


‘Style’ Anwar macam orang timba lubuk. Dia akan kocakkan air lubuk sampai keruh. Bila sudah keruh ikan pun mabuk. Masa tu barulah dia keluarkan tangguk dan jala.


Kalau air jernih susahlah dia nak tangkap ikan. Itu pasallah bagi Anwar, rakyat tidak boleh dibiarkan rasional dan berpijak di bumi nyata. Kalau keadaan kembali pulih, dia pasti akan cari jalan untuk keruhkan keadaan.


ISA, sejak hari pertama memegang jawatan PM, DS Najib sudah umumkan untuk dipinda, tapi Anwar masih mahu mengajak rakyat keluar di jalanraya.


Bukan kerana kasihankan rakyat tertindas. Bukan kerana memperjuangkan keadilan dan bukan untuk mendaulatkan rakyat….Dia hanya mahu pastikan rakyat terus mendaulatkan dirinya di persada negara ini.


Itulah Anwar Ibrahim ‘estateman’ bukan stateman.


Oleh : Kamarul Kamdiaz

No comments:

Post a Comment