Monday, August 17, 2009

Segmen Wawancara Wartawan islamhadhari.com bersama Johan Pidato Islam Hadhari Kebangsaan

20/06/2006


1) Apakah perasaan saudara apabila diumumkan sebagai johan pertandingan pidato perdana Islam Hadhari peringkat kebangsaan 2006?



Alhamdulillah, saya sangat bersyukur ke hadrat Allah S.W.T di atas kemenangan ini. Sebenarnya pada mulanya saya tak mahu masuk pertandingan ni kerana saya fikir saya sudah sampai kepada tahap dimana saya sepatutnya hanya menjadi jurulatih sahaja (ketawa). Tetapi tidak disangka ternyata bisa itu masih ada. Saya sebenarnya telah dipujuk oleh YB Dato’ Ishak Ismail (Ketua UMNO bahagian Seremban) untuk masuk pertandingan ini. Sewaktu saya mendapat tahu yang saya terpilih ke final, ketika itu saya berada di Taiping. Saya sebenarnya tak sempat pun untuk membuat sebarang persediaan ke final. Saya hanya sempat berlatih di dalam komuter sewaktu dalam perjalanan ke PWTC bersama sahabat baik saya, saudara Haniff Osman (ketawa). Saya tiada sebarang target sebenarnya untuk menang. Bagi saya hadiah yang paling besar sebenarnya apabila kita dapat bercakap dihadapan Perdana Menteri, menyampaikan gagasan Islam Hadhari yang diperjuangkan oleh Pak Lah mengikut persepsi, pandangan dan pemahaman kita sendiri. Ternyata tuah berpihak kepada saya. Apa yang paling penting, saya dapat memberikan persaingan kepada peserta lain. Bagi saya, kemenangan ini sebagai satu bonus kepada saya.



2) Apa pandangan saudara terhadap pertandingan Pidato Islam Hadhari yang diadakan ini?



Pada pandangan saya, pertandingan sebegini boleh dibuat setiap tahun tetapi kita letakkan syarat-syarat tertentu. Antaranya, sesiapa yang pernah pergi ke peringkat kebangsaan tidak boleh lagi dibenarkan bertanding kerana kita perlu memberi peluang kepada muka-muka baru untuk menonjolkan bakat mereka. Pertandingan begini tidak semestinya hanya dibuat di peringkat UMNO sahaja, tetapi kita boleh kembangkan pada kategori dewasa dan IPT. Pelajar IPT tentunya tentunya mempunyai pandangan yang tertentu tentang gagasan Islam Hadhari, begitu juga orang awam turut boleh menympaikan gagasan Islam Hadhari mengikut pandangan mereka yang tersendiri. Sebelum bertanding, seseorang peserta itu perlu memahami dengan mendalam gagasan Islam Hadhari yang dicetuskan Pak lah, bukan hanya mencari apa itu Islam Hadhari semata-mata untuk menyertai pertandingan. Jika ini dapat dilaksanakan, kita akan mendapat idea-idea baru berkaitan Islam Hadhari dan menjadikan Islam hadhari sentiasa segar sepanjang masa.



3) Sebahagian daripada peruntukan besar dalam RMK-9 terarah kepada usaha membina modal insan bagi memastikan negara ini dapat melahirkan generasi muda yang lebih cekap, tinggi nilai ilmu, mahir dalam melaksanakan tanggungjawab yang di amanahkan apabila menyertai pasaran kerja, oleh itu apakah sebenarnya yang harus dilakukan oleh golongan belia?



RMK-9 adalah satu platform untuk memajukan masyarakat Malaysia. Ianya bertujuan untuk membina rakyat Malaysia kearah mentaliti ataupun minda kelas pertama.Benda ini bukannya sesuatu yang terlalu besar ataupun sukar sebenarnya.Malangnya ramai dikalangan kita beranggapan bahawa RMK-9 ini sesuatu yang amat besar dan hanya mempunyai kaitan dengan pihak kerajaan serta menteri-menteri sahaja.Tanggapan ini salah.Oleh itu kita kena sedarkan kepada masyarakat tidak kiralah melalui media cetak seperti akhbar ataupun majalah atau media elektronik seperti laman-laman web dan sebagainya. Melalui media-media seperti ini kita kena sedarkan generasi muda ataupun belia ini apakah sumbangan yang boleh disalurkan oleh mereka kepada pembangunan ekonomi negara.Kebanyakkan generasi belia hari ini tidak sedar keupayaan serta kemampuan mereka kearah menjana pertambahan ekonomi negara.Contohnya bagi gadis-gadis serta pemuda-pemuda yang bekerja disektor perkilangan.Produktiviti mereka ini sebenarnya menyumbangkan kepada ekonomi negara tanpa mereka sedar dan sekiranya mereka sedar, sudah tentu produktiviti ini akan bertambah.



Terdapat dua masalah besar yang menjadi masalah kepada golongan-golongan belia ini.Pertamanya ialah masalah sosial.Masalah sosial ini telah berlaku dari dahulu lagi dan sekarang ini dilihat berada di dalam keadaan yang semakin tenat.Benda ni yang kita perlu atasi dahulu.Masyarakat kena ambil tahu.Contohnya masyarakat berperanan unutuk membantu polis seperti memberikan maklumat sekiranya mereka dapat mengesan gejala yang tidak baik berlaku disekeliling mereka.Ini adalah kewajipan masyarakat.



Masalah keduanya pula yang tidak henti-henti dibicarakan pada hari ini ialah masalah peluang kerja.Isu ini sebenarnya tidak patut timbul.Kita mempunyai tiga pilihan kerja iaitu samaada bekerja dengan pihak kerajaan, swasta mahupun kerja sendiri.Jika kita melihat statistik daripada Jabatan Sumber Manusia, berapa ramai belia pada hari ini bekerja diluar daripada bidang yang mereka ambil semasa di Universiti dahulu.Contohnya dengan membuka pusat-pusat tuisyen ataupun ladang-ladang tanaman sebagai petani moden.Jadi tidak timbul masalah peluang kerja sebenarnya.Apa yang lebih penting ialah kita perlu pandai mencari peluang-peluang kerja yang wujud itu. Begitu juga peruntukan besar yang disediakan oleh pihak kerajaan yang mencecah billion ringgit kepada kontraktor kelas F yang mana sebahagian besar daripada mereka adalah terdiri daripada golongan belia. Masalahnya timbul apabila sesetengah pihak yang tidak nampak akan hal ini maka orang akan mempertikaikan pihak kerajaan.



4) Rancangan-rancangan Malaysia sebelum ini dilihat sebagai kurang berjaya, pada pandangan saudara adakah RMK-9 akan turut menerima nasib yang sama?



Kejayaan itu sebenarnya adalah abstrak.Kejayaan sesebuah RMK itu bergantung kepada penilaian kita.Saya membawa satu analogi, tidak semestinya seseorang anak yang gagal dalam SPM itu akan turut gagal dalam hidupnya. Cuba kita lihat contoh anak cina, walaupun mereka gagal pelajaran tidak bermakna mereka gagal dalam kehidupan mereka.Ramai dikalangan mereka yang bangkit dari kegagalan dan berjaya menjadi usahawan yang berjaya.



Berbalik kepada tajuk perbicaraan kita dengan mengambil contoh Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menggariskan dasar pemilikan 30 peratus kepada bumiputera, walaupun ia tidak mencapai sasaran, sekurang-kurangnya ia berjaya meningkatkan penguasaan ekonomi oleh golongan bumiputera ini.



Contoh jelas yang boleh kita lihat ialah pada satu ketika dahulu kita dipisahkan mengikut sector ekonomi.Melayu bekerja di kampong, masyarakat cina berniaga di Bandar dan India di estet-estet getah.Sekarang keadaan ini sudah tidak berlaku lagi.Ini merupakan sebahagian daripada kesan penting daripada dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan.



Selain itu juga, Islam hadhari dan RMK-9 sebenarnya adalah merupakan kerangka untuk mempersiapkan masyarakat menuju wawasan 2020.Ianya bertujuan untuk memperbetulkan di dalam segenap aspek samaada ekonomi, politik, sosial dan sebagainya.



Contohnya seperti yang dilakukan oleh Malaysia baru-baru ini dengan menubuhkan institut kerjasama antarabangsa pelbagai hala untuk mengatasi ancaman siber, dimana ianya merupakan usaha yang belum pernah dilakukan oleh negara-negara lain.Kita sebenarnya sudah nampak kejayaan-kejayaan yang dicapai.



Oleh itu bagi saya ukuran gagal jaya adalah dapat dilihat jika sesuatu itu berjaya mengubah dari buruk kepada baik dan daripada baik kepada yang lebih baik.



5) Anjakan paradigma terutama dari segi perubahan cara pemikiran amat penting dalam menjayakan RMK-9. Bolehkah saudara ulas dengan lebih lanjut pernyataan tersebut?



Untuk merubah cara pemikiran ini, kita sebenarnya perlu berbalik semula kepada soal mentaliti masyarakat kita. Kita lihat masyarakat kita kadang-kadang terlalu taksub memegang sesuatu perkara, hingga takut untuk berubah kerana menganggap sesuatu perubahan itu menjadi sesuatu yang salah. Contohnya sebelum ini, mereka yang memakai kot dianggap telah hilang identiti diri sebagai orang melayu. Kita beranggapan kalau orang melayu itu mestilah memakai baju Melayu sahaja, sedangkan pakaian kot itu merupakan imej korporat dunia. Maka seorang melayu sebenarnya tidak akan hilang nilai ‘melayunya’ hanya kerana tidak memakai baju melayu. Untuk merubah mentaliti seperti ini persekitaran memainkan peranan penting. Kalau kita terlalu lama dalam sesuatu perkara, maka pemikiran kita akan menjadi beku.



6) Hari ini kita lihat pengganut agama Islam bertambah dari hari ke hari. Akan tetapi sayangnya pada masa yang sama Islam masih dikaitkan dengan pelbagai imej negatif seperti keganasan dan sebagainya. Apa komen saudara?



Inilah peranan Islam Hadhari yang mana dengan pendekatannya yang bertepatan dengan ajaran Islam sebenar kita harapkan dapat membuka minda semua pihak yang Islam itu merupakan agama yang baik, sempurna, yang sentiasa berhajatkan kepada keamanan dan kemakmuran. Islam tidak pernah menggalakkan perpecahan, peperangan dan keganasan. Ini amat berbeza dengan pelbagai label negatif yang diberikan oleh barat kepada umat Islam di seluruh dunia. Islam itu tidak ganas, yang ganas itu adalah manusia. Saya ambil satu contoh keadaan yang pernah saya alami sendiri di Pejabat daerah Gemas di mana terdapatnya satu kuil lama yang berusia lebih 50 tahun yang terletak atas rizab kerajaan ingin dibangunkan oleh pegawai daerah yang beragama Islam. Setelah ibuat perbincangan, ternyata perujuan dicapai untuk mengalihkan kuil berkenaan ke kawasan lain dan membolehkan projek terus dijalankan di situ. Ini membuktikan Islam menggalakkan toleransi dan pendekatan ini sesuai untuk semua tanpa mengira kaum dan bangsa.



7) Gagasan Islamhadhari bukan sahaja mendapat tempat dikalangan masyarakat Malaysia malah turut menarik perhatian masyarakat antarabangsa.Pada pendapat saudara, adakah islamhadhari mampu menggagalkan usaha barat untuk menakut-nakutkan umat dunia pada bangsa dan agama Islam?



Perkara itu bergantung kepada dua perkara iaitu pertamanya sejauhmana kita mampu membuktikan bahawa islam itu bukan agama keganasan iaitukita perlu mengawal semua perkara samaada ekonomi, sosial, politik dan sebagainya selain daripada menonjol imej Islam yang sebenarnya. Contohnya dengan penglibatan Malaysia dalam pelbagai pertubuhan seperti OIC, OPEC, NAM, PBB dan lain-lain.Begitu juga dengan aspek sosial iaitu penglibatan kita dalam badan-badan keamanan serta keupayaan kita menonjolkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang selamat serta maju.



Perkara keduanya yang perlu kita lakukan ialah sejauhmana rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini boleh bersatu menyokong dasar-dasar kerajaan.Ini diperkuatkan lagi oleh ucapan perdana menteri kita sebelum ini yang menegaskan semua agama di dunia ini tidak menerima perkara-perkara yang dianggap tidak elok, hatta agama yahudi sekalipun, ada diantara aspek-aspek ajaran agama mereka yang menekankan nilai-nilai murni ini.Ini adalah titik persamaan di antara agama yang boleh dicapai bagi mewujudkan keamanan serantau.



Oleh itu bagi pendapat saya, tiada sebab untuk rakyat perlu mempertikaikan gagasan Islam hadhari yang diperkenalkan oleh Pak Lah ini, kerana pertikaian demi pertikaian hanya akan membantutkan usaha murni ini.Seperti kata-kata hukama’ ini iaitu “ Orang yang bijak itu akan nampak jalan pada setiap masalah bukannya masalah dari setiap jalan”, itu yang perlu kita pegang.



Oleh itu saya amat berkeyakinan bahawa gagasan islam hadhari ini boleh membawa kejayaan kepada kita.



8) Tindakan Malaysia menghentikan pembinaan Jambatan Indah dianggap mencalar maruah negara sebaliknya tindakan meneruskan pula membuatkan Malaysia berhadapan dengan tindakan undang-undang. Sebagai seorang pengamal undang-undang, apakah tindakan sewajarnya dan seharusnya dilakukan oleh Malaysia dalam menghadapi kemelut ini?



Perkara ini adalah berkaitan dengan undang-undang kontrak iaitu kemunasabahan untuk mengadakan sesuatu kontrak.Sebenarnya dalam hal ini ada banyak perkara yang perlu di ambil perhatian.Ada sebab mengapa Pak Lah menghentikan projek yang menjangkau berbilion-bilion ringgit ini seperti yang diperkatakan oleh Dato’ Mohd Rahmat, bekas Menteri Penerangan, dalam satu wawancara bersama beliau.Ini kerana pada pandangan saya jika kita meneruskan projek ini adalah sesuatu tindakan yang tidak realistik dengan senario ekonomi yang kita hadapi sekarang ini. Kita perlu lihat kesan yang akan kita perolehi dari sesuatu keputusan yang kita ambil.Sedangkan kenaikan harga minyak 30 sen inipun sudah menimbulkan suatu ketidak senangan kepada rakyat walaupun hakikatnya harga minyak di negara ini jauh lebih murah berbanding harga minyak di negara-negara jiran.Inikan pula kesan daripada perlaksanaan projek tersebut.



Jika kita memberi alasan kesesakan lalulintas, perkara ini tidak timbul kerana kesesakan lalulintas telah berlaku sejak dari dahulu lagi dan ianya tidak bergantung kepada kekurangan laluan sahaja. Sebaliknya sikap rakyat kita sendiri juga menjadi penyumbang kepada permasalahan ini iaitu lebih selesa berkereta serta tidak sanggup untuk berkongsi kenderaan.Cuba kita lihat budaya masyarakat Jerman yang suka berjalan kaki dan juga masyarakat China yang lebih gemar berbasikal daripada menaiki kereta.Cuba kita fikirkan kembali.



SEDIKIT LATARBELAKANG PENCAPAIAN



En. Syamsul Amri bin Ismail dilahirkan pada 3 Ogos 1977, di Kg Ayer Dedali, Jempol Negeri Sembilan. Beliau memulakan persekolahannya di Sekolah kebangsaan Paroi (1983-1989) seterusnya Sekolah Menengah Agama Persekutuan, Labu (1990-1992). Beliau telah melanjutkan pengajian di Universiti teknologi Mara (UiTM) dalam diploma Pentadbiran awam dan seterusnya menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda undang-undang juga di UiTM. Beliau seorang yang sangat aktif dalam persatuan-persatuan pelajar sewaktu menuntut di UiTM, antaranya pernah menyandang jawatan Presiden Kelab Usahawan (MEDEC UiTM), Exco Jawatankuasa Perwakilan KOMSIS UiTM, Presiden Kelab Debat & Pidato UiTM Shah Alam dan juga Naib Presiden Persatuan Wawasan UiTM Shah Alam. Di antara pencapaian cemerlang En. Syamsul Amri sepanjang penglibatan beliau dalam dunia pidato dan debat ialah Johan Pidato UiTM Melaka (1998), Johan Debat Piala Provos UiTM Melaka (1998), tempat Ketiga Debat DiRaja di USM Pulau Pinang (Pendebat Terbaik Keseluruhan) (1999), Johan Pidato Kenegaraan Negeri Sembilan (2000), Johan Pidato Kenegaraan Peringkat Kebangsaan di Ipoh (2000), tempat ketiga Debat DiRaja di UUM (Ranking Pertama Pendebat Terbaik Seluruh Malaysia) (2002), Johan Debat Perdana anjuran Majlis Peguam Malaysia (2002), Johan Debat Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) (Pendebat Terbaik Keseluruhan) (2002), Johan Debat Komuniti Bestari Negeri Sembilan (2003), Johan Debat Komuniti Bestari (Pendebat terbaik pertandingan akhir) (2003) Johan Pidato KEMAS Negeri Sembilan (2003), Johan Pidato anjuran KEMAS Negeri Sembilan (2004). Beliau turut menjadi ketua hakim bagi pertandingan-pertandingan debat yang dianjurkan, jurulatih debat dan memiliki sijil Penghakiman Debat yang dikeluarkan oleh MADUM. Terkini, beliau baru sahaja menjadi Johan Pidato Perdana Islam Hadhari Peringkat Kebangsaan 2006.

No comments:

Post a Comment