Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Pilihanraya Umum, Permatang Pasir kini tiba. Suasana hangat semula. BN sedaya upaya ingin membuktikan bahawa pencapaian cemerlang di Manik Urai (meskipun tewas) tempoh hari bukanlah bersandarkan kepada nasib. Rata-rata penyokong BN merasakan bahawa pengaruh Najib selaku TPM sudah mula dirasai. PAS pula ingin membuktikan bahawa kemenangan tipis tempohari bukanlah ukuran mereka sudah tidak diterima. Pelbagai andaian, pelbagai harapan.
SUASANA HANGAT
Suasana menjadi hangat, tambahan pula pilihanraya ini bakal berlangsung di dalam bulan Ramadhan. Masing-masing menaruh harapan demi survivorship di dalam politik. Pertarungan yang seawalnya disangka bakal berlangsung dalam pertembungan 3 penjuru kini tinggal hanya 2 penjuru disebabkan kesilapan teknikal Calon Bebas yang lambat mengemukakan borang pencalonan. Satu kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku. Biarlah.
Pilihanraya yang bakal berlangsung pada 25 Ogos 2009 ini adalah berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Mohd. Hamdan Abdul Rahman daripada PAS. Pertembungan ini bakal menyaksikan apakah aura Najib benar-benar 'berkesan' dan 'terkesan' kepada sekalian pengundi DUN Permatang Pasir. Sesungguhnya, BN kini benar-benar belajar daripada kesilapan lalu. Kita boleh melihat, BN kini tidak lagi meletakkan calon secara 'semberono' dan membuta tuli. Malahan segalanya dikaji; anak tempatan, berpendidikan, mudah didekati rakyat, malahan calon kali ini juga merupakan seorang profesional. Paling penting sekali, calon ini tidak boleh ada sebarang rekod yang negatif yang medah untuk dipergunakan sebagai bahan kempen pihak pembangkang.
ISU-ISU MENARIK
Isu di Permatang Pasir juga menarik minat kita. Terbaru, Mursyidul Am PAS mengaitkan bahawa dengan mengundi PAS boleh masuk syurga. Di dalam UMNO belum tentu. Ayat-ayat sebegini benar-benar berbahaya buat PAS malahan berbahaya buat menguji kerasionalan ahli nya yang benar-benar Islam. Ini pastinya menjadi bahan serangan barisan jentera kempen Pemuda UMNO yang sudah turun sejak beberapa minggu lalu di Permatang Pasir. Isu arak di Selangor juga dijadikan bahan bantu di dalam kempen. Pendek kata, sebenarnya, apa sahaja yang sempat digunakan MESTI digunakan bagi menjatuhkan pihak lawan, hingga kan pengutaraan tentang setiap calon yang mesti dipilih tidak pernah dijadikan sebagai topik utama.
Menurut hemah saya, sewajarnya, peribadi serta tingkahlaku calon yang ingin kita ketengahkan perlu di utarakan supaya orang ramai akan dapat mengenali latarbelakang serta keupayaan clon-calon yang bertanding. Maka dengan demikian, masyarakat (pengundi) akan membuat pilihan berasaskan peribadi murni yang bagaimana yang diinginkan. Dan bukannya memilih seseorang berasaskan darjat kejahatan atau 'kerosakan' imej seseorang yang lain. Contohnya; pengundi memilih A disebabkan B lebih jahat daripada A. Bukankah lebih baik; pengundi memilih Calon A kerana Calon A ada kelebihan berbanding B tanpa menafikan B juga memiliki kelebihan tersendiri.
PILIHANRAYA KALI INI PERLU DIANGGAP SERIUS
Apa pun, walau siapa pun (BN atau PR), mereka tidak boleh memandang ringan pertandingan kali ini walaupun rekod lalu di Permatang Pasir mereka menang dengan majoriti selesa. Pada pilihanraya ke 12 yang lalu Mohd Hamdan menewaskan calon BN Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi. Pengerusi DAP negeri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow meminta PR supaya jangan mengambil mudah pilihan raya kecil kerusi DUN Permatang Pasir."Kita perlu berusaha keras bagi mengekalkan kerusi itu dan tidak terlalu yakin kerana pilihan raya kecil Permatang Pasir adalah berbeza dengan pilihan raya kecil DUN Penanti yang mudah dimenangi sebelum ini," katanya.
Hadi Awang mempertaruhkan pengalaman Salleh di dalam pilihanraya kali ini meskipun beliau belum pernah menang apa-apa kerusi sebelum ini
Barang diingat, tidak kira walau apa pun yang diceritakan oleh kedua-dua pihak, hakikatnya, semenjak kekalahan PRU 12 yang lalu, BN masih lagi belum berjaya memenangi sebarang pilihanraya kecil becuali di Batang Ai baru-baru ini. Ini perlu diambil perhatian. Meskipun berjaya mengurangkan majoriti pada pilihanraya di Manik Urai baru-baru ini, kekalahan tetap kekalahan.
Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat perlu melihat pilihanraya kali ini dengan serius saingan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir ini. PAS pula menurunkan calon yang berlatarbelakangkan pengajian syariah bagi membawa cabaran. Selang enam jam di DUN Permatang Pasir tempoh hari, PAS dan UMNO menamakan calon masing-masing. Umno membawa tiket BN. PAS melambangkan Perwakilan Pakatan (Pakatan Rakyat).
KEDUA-DUA PIHAK PUNYA SEBAB UNTUK YAKIN MENANG
Permatang Pasir, salah satu bahagian DUN dalam kerusi Parlimen Permatang Pauh, juga dianggap kubu kuat PAS yang menyandangnya sejak 1999. Pemimpin BN dan Pakatan Rakyat menerusi Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang - mengakui hakikat bahawa pertandingan yang bakal berlangsung di Permatang Pasir adalah sengit dan peluang 50:50. Mereka mengulas demikian ketika mengumumkan pemilihan calon masing-masing di Permatang Pasir tempoh hari. Muhyiddin yakin bersandarkan prestasi di DUN Manek Urai bulan lalu - kalah tipis yang mana BN hanya tewas 65 undi di kawasan yang menjadi kubu kuat PAS. Di satu pihak lagi. Hadi pula melihat peluang mereka berlandaskan kedudukan kerusi itu dipegang PAS sejak 1999. Lim dalam ucapannya menjelang pengumuman calon oleh Hadi memberitahu, Pakatan akan mengekalkan kerusi itu tetapi peluang hanya 50:50 jika BN menggunakan 'taktik-taktik tertentu'.
BN menurunkan Rohaizat Othman, 38, yang merupakan Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh dan Ketua Pemuda Umno Cawangan Mengkuang. PAS pula memutuskan untuk menurunkan Mohd. Salleh Man, 52, seorang ahli perniagaan dan pentadbir sekolah swasta di Pulau Pinang.
Rohaizat mempunyai kelulusan jurusan undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa manakala Salleh pula pemegang ijazah sarjana muda syariah dari Universiti Malaya. Pemilihan Rohaizat diumumkan oleh Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno petang semalam manakala Presiden PAS menamakan calonnya. Bagi Rohaizat ini merupakan pengalaman pertama bertanding pilihan raya termasuk pilihan raya kecil.
SALLEH TANDING SEJAK 1986
Bagaimanapun Salleh pernah bertanding kerusi Pinang Tunggal pada tahun 2004 dan Sungai Dua, Mac 2008. Pinang Tunggal dan Sungai Dua merupakan antara empat bahagian pilihan raya yang pernah ditandinginya sejak 1986. Pada pilihan raya umum 1995, Salleh bertanding di Parlimen Tasek Gelugor. Bagaimanapun beliau tidak pernah memenangi mana-mana kerusi. Salleh dilantik sebagai Pusuruhjaya PAS Pulau Pinang pada 2007. Beliau mempunyai seorang isteri dan lima orang anak.
Namanya diumumkan oleh Hadi di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Permatang Pasir, Kg. Permatang Pasir. "Kami harap beliau akan menang kali ini," kata Hadi sambil menambah, "saya berharap mendapat sokongan untuk mendapat majoriti yang lebih besar." Kerusi itu disandang oleh wakil PAS, Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman, yang telah meninggal dunia 31 Julai lalu. Beliau menyandangnya sejak 1999.
SEBAB BN PILIH ROHAIZAT
Kira-kira lima jam sebelumnya Barisan Nasional (BN) pula mengumumkan akan menurunkan Rohaizat yang beradal dari Mengkuang Titi. Rohaizat yang merupakan peguam syarie menyertai Umno pada 1996. Beliau mempunyai seorang isteri dan seorang anak. Rohaizat menerima pendidikan peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al Mashoor, Pulau Pinang.
Ketika mengumumkan pemilihan Rohaizat, Muhyiddin berkata: "Setelah ambil kira pandangan semua pihak, calon yang paling layak, boleh diterima rakyat, setelah dibincang dengan (Perdana Menteri) Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, yang kini berada di luar negara, didapati calon yang paling sesuai ialah Setiausaha Umno Permatang Pauh, Rohaizat Othman."
Muhyiddin turut melancarkan jentera BN di pusat gerakan induk BN di Bukit Merah, Permatang Pauh.
Apa pun kita menjangkakan saingan sengit ini akan berterusan meskipun sudah masuk ke Bulan Ramadhan nanti, cuma harapan kita, batas-batas berkempen akan dijaga oleh kedua-dua pihak. Bimbang juga nanti dengan kegahirahan berkempen, mereka terlupa yang kedua-dua mereka beragama Islam dan berpuasa. Usahlah dilayan kehendak dan amarah di dalam hati takut nanti, dah lah kalah, pahala puasa pun negatif! Harapnya tidaklah sampai begitu.
Bersama-samalah kita nantikan keputusan. Apakah benar BN masih relevan, atau apakah benar bahawa PAS akan tetap mengungguli pencapaian pilihanraya ini. Kita tengoklah nanti.
Disediakan oleh:
Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan UMNO
Kg. Pancor
No comments:
Post a Comment