KOTA BHARU 5 Jan. – Walaupun masalah tersebut cuba dinafikan, pergeseran dalam keluarga Istana Kelantan semakin tidak dapat ditutup lagi dan menarik perhatian rakyat.
Ia menjadi kemelut yang sukar dirungkai apabila ia mula berkait dengan masalah hak dan kuasa yang perlu ditafsirkan, malah hari ini sudah ada laporan polis dibuat oleh individu yang menggelar dirinya rakyat prihatin.
Menurut sumber, pertelingkahan yang membabitkan keluarga diraja kini telah meletakkan kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan para pegawai tadbir dalam keadaan tersepit.
Beberapa rombakan pegawai tadbir, pelantikan dan pengguguran keahlian dalam Majlis Perajaan Negeri, penarikan balik gelaran Datuk serta pembatalan pelantikan Jaksa Pendamai difahamkan sebahagian daripada punca pertelingkahan yang berlaku kini.
Ia dibuat selepas Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra yang menghidap serangan jantung berangkat menerima rawatan susulan di Singapura Mei tahun lalu dan putera sulung baginda, Tengku Muhammad Faris Petra dilantik sebagai Pemangku Raja.
Pelantikan itu bagi membolehkan Tengku Muhammad Faris Petra menjalankan tugas Sultan Kelantan mengikut perenggan (b) fasa (1) dan (3) Perkara 22A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).
Tengku Muhammad Faris kemudiannya mengambil beberapa tindakan yang juga melibatkan kedudukan adindanya Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry yang merupakan anakanda ketiga dalam keluarga itu.
Tengku Muhammad Fakhry telah digugurkan keahlian dalam Majlis Perajaan Negeri (MPN) bersama Tengku Mahmud Tengku Abdul Halim, Datuk Nik Sulaiman Datuk Nik Daud dan Datuk Yusof Mohd. Othman
Tengku Temenggong kemudiannya dilaporkan berkata, tindakan-tindakan yang dibuat oleh pihak pentadbiran negeri tidak sah dan tidak mendapat sebarang restu dan keizinan baginda yang dikatakan masih sedar untuk mengikuti segala perkembangan yang berlaku di negeri itu.
Tengku Muhammad Fakhry juga membayangkan terdapat motif-motif tertentu di sebalik kenyataan yang dibacakan oleh Menteri Besar semalam berhubung laporan panel perubatan yang diwujudkan oleh kerajaan negeri berkaitan dengan tahap kesihatan ayahandanya.
Tengku Muhammad Fakhry beralasan bahawa panel enam anggota itu tidak pernah melawat dan menjalankan pemeriksaan ke atas baginda dan laporan seumpama itu juga tidak sepatutnya didedahkan kepada umum kerana ia hak peribadi baginda.
Menurut sumber-sumber, ketiadaan pegawai-pegawai tinggi melawat baginda dan keengganan pihak berkuasa negeri menerima arahan berhubung isu yang mendesak, menimbulkan kemurkaan baginda.
Setiausaha sulit baginda juga tidak muncul bagi menjalankan arahan rasmi walaupun telah diminta menghadap secara lisan untuk menyelesaikan beberapa isu yang memberi gambaran buruk kepada istana.
Apatah lagi mula timbul bibit-bibit tidak menyenangkan di media termasuk isu bayaran tunggakan bayaran hospital ketika kerajaan negeri dipercayai telah meluluskan peruntukan untuk tujuan itu.
Utusan Malaysia semalam melaporkan pendedahan Tengku Muhammad Fakhry mengenai titah Sultan Kelantan menyentuh beberapa isu berkait dengan bidang kuasa baginda yang disampaikan dalam sepucuk surat melaluinya.
Surat yang didakwa sebagai mewakili baginda ditujukan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Aiseri Alias dan Setiausaha Majlis Perajaan Negeri Kelantan manakala salinannya kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Surat bertarikh 29 Disember yang ditandatangani oleh Tengku Temenggong itu menyebut bahawa disebabkan ketidakhadiran setiausaha sulit yang dipanggil menghadap, baginda telah memberi kuasa kepada anakandanya untuk menyampaikan arahan terbarunya.
Namun difahamkan Sultan Kelantan tidak lagi mempunyai setiausaha sulit selepas baginda berangkat menjalani rawatan susulan di Singapura Mei lalu.
Bekas Setiausaha Sulit baginda, Engku Rajhan Engku Ismail, 46, ditukarkan bertugas di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri tanpa sebarang portfolio oleh pihak pentadbiran negeri.
Difahamkan pertukaran itu dilakukan beberapa hari selepas baginda berangkat dalam satu rombakan yang turut melibatkan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.
Sehubungan itu, Engku Rajhan tidak dapat memenuhi permintaan Tuanku Ismail Petra untuk menghadap baginda di Singapura kerana tidak lagi mempunyai kaitan dengan pihak istana dengan jawatan barunya.
Difahamkan Engku Rajhan berkhidmat selama dua tahun sebagai setiausaha sulit baginda dan jawatan itu tidak lagi diperlukan kerana setiausaha sulit baru telah dilantik bagi berkhidmat di bawah Pemangku Raja.
Sementara itu, dalam surat yang dikeluarkan oleh Tengku Muhammad Fakhry yang didakwa dipersetujui Sultan Kelantan, baginda dikatakan tidak bersetuju, tidak mengiktiraf dan tidak mengesahkan apa-apa surat atau arahan bersabit dengan pembatalan dan pelantikan mana-mana pihak dalam MPN yang dibuat oleh Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra.
Surat itu juga menyatakan penarikan balik darjah-darjah kebesaran dan pembatalan pelantikan Jaksa Pendamai.
Surat itu turut menyebut baginda menitahkan darjah kebesaran ‘Datuk’ atau setaraf dengannya ditarik balik melibatkan lapan individu termasuk Mohd. Aiseri dan Pengelola Istana, Datul Abdul Halim Hamad.
Penarikan balik darjah kebesaran itu juga melibatkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi; seorang peguam, Datuk Sukri Mohamad; pemaju perumahan, Datuk Razali Daud; ahli perniagaan, Datuk Chai Kin Loong dan Tan Choon Hwa.
Menurut sumber-sumber, Tengku Temenggong berkemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya titah baginda tidak diendahkan oleh kerajaan dan pentadbiran negeri.
No comments:
Post a Comment