KOTA BAHARU, 13 Sept (Bernama) — Kerajaan PAS Kelantan telah menafikan hak 2,000 peneroka Kelantan untuk mendapatkan tanah dan meningkatkan pendapatan mereka apabila mengambilalih tanah tanaman sawit yang diusahakan Felcra Berhad, kata Pengerusi Felcra Berhad Datuk Tajudin Abdul Rahman.
Beliau berkata tanah termasuk tanaman di beberapa kawasan seluas 4,000 hektar bernilai RM200 juta itu diusahakan Felcra bagi rakyat Kelantan menambah pendapatan dan mencari peluang pekerjaan melalui tanaman sawit.
Katanya melalui hasil perolehan sawit itu, ia mampu memberikan pulangan RM17 juta setahun kepada peneroka yang menyertai program itu.
“Matlamat kita membuka kawasan itu pada 1982 untuk menyediakan tanah dan kerja untuk rakyat Kelantan. Tetapi geran tanah pada masa itu adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Selepas kita siap memajukan tanah-tanah berkenaan, kita menunggu kerajaan negeri memberikan nama peserta projek itu tetapi setelah sekian lama, mereka tidak serahkan sebaliknya mereka yang ambil alih,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan dividen kepada peserta Felcra, di sini pada hari Ahad.
Tajudin berkata tanah berkenaan yang dimajukan Felcra itu terletak di Kuala Krai, Gua Musang, Tanah Merah, Jeli dan Pasir Mas.
Beliau berkata Felcra, yang mengusahakan tanah mengikut skim pembangunannya, ketika itu percaya kerajaan negeri akan mengagihkan tanah kepada peserta yang dipilih mereka.
“Kita (Felcra) tidak meminta geran tanah kerana kerajaan negeri sepatutnya mencari peserta dan menyerahkan geran itu kepada peserta selepas kita (Felcra) selesai membangunkan kawasan itu,” katanya.
Sebaliknya tanah itu diserahkan kepada Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) untuk dimajukan dan bukan kepada peserta pada Januari 2008, katanya.
“Jadi kerajaan negeri telah menidakkan hak rakyat Kelantan yang tidak ada kerja mahupun yang berpendapatan rendah untuk mendapatkan tanah serta peluang rezeki yang sepatutnya mereka dapat.
“Kerajaan negeri nampaknya tidak berminat untuk memberikan kepada rakyat tetapi mereka ada agenda mereka,” katanya.
Oleh – BERNAMA
No comments:
Post a Comment