Tuesday, January 26, 2010

Kg. Buah Pala Sudah Tiada Lagi!

PULAU PINANG 14 Sept. – Kerja-kerja meroboh baki 15 rumah penduduk Kampung Buah Pala di Bukit Gelugor di sini berjalan dengan aman dan lancar tanpa sebarang kekecohan besar oleh mana- mana pihak, hari ini.

Operasi yang bermula pukul 11 pagi itu menyaksikan semua rumah berkenaan yang masih berpenghuni dirobohkan seramai 30 pekerja kontraktor menggunakan dua buah jentolak dengan kehadiran kira-kira 100 anggota polis.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, semua pekerja kontraktor daripada SRE Ventures dan jentolak yang menjalankan kerja berkenaan memasuki dan meroboh rumah penduduk kampung itu tanpa sebarang halangan.

Bagi mengelakkan kekecohan, polis termasuk Unit Tindakan Ringan menutup laluan masuk ke kampung itu seawal pukul 6.30 pagi bagi memastikan kerja meroboh berjalan lancar selepas ia tertangguh sebanyak empat kali.

Terdahulu, Pengarah Nusmetro Ventures (P) Sdn. Bhd. (Nusmetro), Garry Ho bersama tiga pegawai mahkamah dilihat masuk ke kampung itu setelah baki tujuh keluarga masih enggan berganjak dan meminta tempoh meroboh dilanjutkan.

Garry bagaimanapun dilihat menggeleng-gelengkan kepala serta menegaskan penduduk telah diberi tempoh selama 10 hari bermula 4 September lalu dan operasi meroboh dibuat mengikut arahan mahkamah.

Sehingga pukul 1 petang, lapan kediaman dirobohkan dengan rumah pertama diroboh pada pukul 11.10 pagi dan menjelang 4 petang semua rumah dirobohkan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abdul Hamid berkata, keputusan meroboh tersebut dijalankan hari ini selepas pihak pemaju dan wakil mahkamah mengadakan perbincangan.

”Selepas berbincang selama sejam, penduduk masih enggan dan terus memberi pelbagai alasan walaupun ada pihak pemaju menawarkan penempatan sementara di rumah milik Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

”Sebelum ini, pemaju sudah beri tempoh kepada penduduk untuk berpindah dan hari ini kerja-kerja merobohkan baki rumah-rumah berkenaan diteruskan dan tiada lagi tempoh lanjutan diberikan,” katanya.

Pihak pemaju sebelum ini gagal merobohkan sebarang rumah di kampung berkenaan pada 3 dan 13 Ogos lepas akibat bantahan ramai, namun dalam percubaan kali ketiga pada 3 September lalu, pemaju berjaya merobohkan empat buah rumah.

Walaupun tiada halangan daripada penyokong, keadaan menjadi sedikit tegang apabila seorang penduduk, M. Indrani, 60, menyimbah dirinya dengan minyak tanah sebagai tanda protes apabila rumahnya hendak dirobohkan.

Indrani turut memberitahu pemberita yang berada di tempat kejadian bahawa dia sanggup membunuh diri untuk mempertahankan rumah dan perkampungan tradisi itu.

Bagaimanapun, dia yang merupakan ibu kepada Penolong Setiausaha Pertubuhan Penduduk Kampung itu, C. Tharmaraj berjaya ditenangkan oleh beberapa anggota polis dan ahli keluarganya.

Difahamkan, tiga daripada 15 kediaman yang diroboh adalah rumah tidak bernombor, 10 rumah adalah penghuni yang memegang lesen pendudukan sementara (TOL) dan dua rumah penyambungan tambahan.

Ketika ditanya tentang tawaran pampasan kepada baki 11 keluarga itu, Gary berkata, Nusmetro bersedia menawarkan pampasan tunai berjumlah RM125,000 kepada keluarga yang menolak tawaran rumah teres dua tingkat.

”Rundingan bagi wang pampasan masih terbuka dan pada masa yang sama, keluarga yang inginkan rumah teres, mereka harus merujuk kepada kerajaan negeri untuk berbincang.

”Dengan selesainya kerja meroboh ini, kami menjangkakan kerja tanah projek Oasis bagi membina kira-kira 800 unit kediaman kondominium dan pangsapuri di atas tapak tanah kampung itu boleh dimulakan sedikit masa lagi,” jelasnya.

Oleh - BERNAMA

No comments:

Post a Comment