Wednesday, July 09, 2014
"The Edge" Salah Lapor, Ada Pula Yang "Menangguk Di Air Yang Keruh"?
“The Edge” secara tiba-tiba telah menyiarkan sebuah artikel tentang sebuah syarikat GLC yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, iaitu Khazanah Nasional Bhd, kononnya syarikat berkepentingan kerajaan itu akan membeli kepentingan pelabur Timur Tengah dalam empat syarikat.
Khazanah dituduh akan membeli kepentingan dalam empat syarikat itu termasuk Medini Iskandar Malaysia, dengan nilai pembelian RM3 bilion, hanya berdasarkan sumber tidak rasmi atau lebih layak disifatkan sebagai “cakap-cakap kedai kopi”.
Lebih memburukkan keadaan, artikel “The Edge” tersebut telah dijadikan bahan rujukan blogger berkenaan untuk menghina pengurusan tertinggi syarikat GLC itu dengan pelbagai gelaran yang menghina dan tidak sedap didengar.
Saya tidaklah mengatakan diri saya sempurna. Namun saya cuba perbaiki diri saya untuk tidak menggunakan kata-kata kesat dari masa ke masa memandangkan tindakan sebegitu tidak dianjurkan Islam dan tidak memberi sebarang kesan positif kepada mereka yang dihina.
Apa yang boleh kita peroleh dengan menggelar orang lain sebagai “monkeys” selain dosa percuma? Sebagai blogger berpengaruh, blogger tersebut sewajarnya menunjukkan contoh yang baik untuk diikut oleh penulis-penulis seperti saya, bukan?
Khazanah dalam kenyataannya yang terkini telah menegaskan bahawa segala fakta dan dakwaan “The Edge” itu tidak tepat dan salah. Malah maklumat dari “sumber” tersebut dikatakan sudah lapok!
Timbalan Presiden Khazanah, Mohd Asuki Abas dalam kenyataannya yang hari ini disiarkan oleh “The Edge” menafikan sekeras-kerasnya fitnah yang disampaikan “sumber” itu sekaligus menjadikan tohmahan yang dilemparkan itu seolah-olah layak dikategorikan sebagai fitnah.
Mungkin atas rasa bersalah, “The Edge” menyiarkan penafian tersebut sebagai timbal balas pada kesilapan dari sudut etika kewartawanan khususnya melibatkan sebuah GLC yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
Persoalannya, sanggupkah blogger yang menyifatkan Khazanah sebagai “cacat”, “dungu” dan menggelar mereka sebagai “monyet” itu menyusun sepuluh jari memohon maaf atas ketelanjurannya menghina mereka berdasarkan laporan yang tidak sah?
Atau beliau lebih memilih untuk meminta maaf sempena Hari Raya Aidilfitri nanti? Terserahlah, kerana saya lebih memilih untuk berlaku adil bagi semua pihak. Selamat menikmati Ramadhan dan marilah kita tingkatkan ibadah serta pahala di bulan yang penuh keberkatan ini. Wallahu’alam…
Dipetik daripada : www. mykmu. net
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment