Thursday, December 11, 2014
Naik Kelas Ekonomi Tak Semestinya Marhaen Tapi Tiket Bisnes Habis
12 Disember 2014 : KEBELAKANGAN ini ada digembar gemburkan tentang
seorang Menteri yang naik penerbangan kelas ekonomi. Dipuja pujilah
tindakan tersebut dan digambarkan dengan begitu berlebihan sekali
seolah-olah Menteri berkenaan adalah seorang yang marhaen dan
sebagainya.
Kebetulan Presiden baru Indonesia, Joko Widodo
baru-baru menggemparkan Indonesia apabila menggunakan duit sendiri untuk
menaiki penerbangank kelas ekonomi ke Singapura menghadiri konvokesyen
anaknya yang belajar di sana.
Mungkinlah kesempatan ini digunakan
banyak pihak (termasuk Menteri yang berkenaan) untuk menggunakan
penerbangan kelas ekonomi juga.
Walhal dalam setahun, berapa kali
Menteri berkenaan menggunakan kapal terbang untuk bergerak dan dari
jumlah tersebut, berapa kali dia naik kelas ekonomi? Ini tak pernah
dikaji, hanya satu kali ‘lakonan’ itu saja yang dijadikan rujukan zaman
berzaman.
Menurut sumber penulis pula, di negara ini bukanlah satu
kejanggalan untuk seorang Menteri naik kelas ekonomi, ada Menteri yang
naik Air Asia pun dalam mengadakan perjalanan, tapi tak dihebohkan sebab
beliau memang taknak heboh-heboh.
Lebih penting lagi menurut
sumber tersebut, pilihan untuk naik kelas ekonomi, Air Asia dan
sebagainya serta tidak menggunakan peruntukkan untuk naik kelas
perniagaan, tidak sama sekali berkaitan dengan Menteri berkenaan marhaen
atau tidak tapi dalam banyak hal sebab tiket penerbangan kelas
perniagaan habis dan program yang dijadualkan sudah tidak dapat dipinda
lagi.
Itu saja sebabnya, bukan sebab marhaen apa segala.
Sebetulnya
penulis nak kata, Menteri berkenaan belajar dari pengalaman sendiri
ketika pertama kali bertanding kerusi parlimen pada tahun 2008. Pada
ketika itu, dia dan pasukan kempennya menggunakan 3 buah kenderaan mewah
bercermin gelap ke hulu ke hilir berjumpa rakyat di kawasan Parlimen
yang boleh disifatkan sebagai kawasan parlimen luar bandar.
Tindakannya
itu menjelekkan orang kampung dan akhirnya dia masih menang (kerana
kawasan itu memang kubu kuat BN) tapi dengan majoriti hampir 3 kali
ganda lebih rendah dari orang sebelumnya yang menang disitu.
Sejak
itu dia mengubah pendekatan tersebut bermewah ini dan hasilnya, jumlah
undi yang diterimanya dalam PRU13 kembali meningkat sebab kawasan itu
memang seperti yang disebutkan di atas kubu kuat BN, cuma yang
diperlukan ialah calon yang sederhana perwatakannya.
Penjelasan
ini perlu – bukan sebab penulis nak menyerang pemimpin sendiri tapi bagi
membetulkan persepsi sesetengah pihak yang mengatakan Menteri seorang
ini marhaen sementara Menteri BN yang lain berlagak sebab tak naik kelas
ekonomi macam dia.
Bukan berlagak, tapi atas sebab-sebab yang disebutkan di atas.
Disediakan oleh : EDITOR
Dakwaan Rasuah RM 1.8 Juta: Ahmad Said buat laporan polis, “Jumpa Pemberi Rasuah”
9 Disember 2014, KUALA TERENGGANU – Bekas Menteri Besar,
Datuk Seri Ahmad Said hari ini tampil membuat laporan polis berhubung
penyalahgunaan namanya oleh individu bergelar ‘Datuk’ yang
memperdayakan seorang pengurus kilang melibatkan wang sebanyak RM1.8
juta.
Pengurus Kilang Papan Jaya Seberang Takir Sdn. Bhd yang
berasal dari Singapura itu dikatakan menyerahkan wang berkenaan untuk
mendapatkan kawasan pembalakan di bawah skim kilang papan oleh individu
terlibat iaitu ‘Datuk Gulam Fazillah Abd. Khalil’ yang kononnya rapat
dengan Ahmad.
Menurut Ahmad, ‘Datuk’ berkenaan memperdayakan
mangsa bahawa wang tersebut untuk diberikan kepada beliau yang ketika
itu masih memegang jawatan pemimpin negeri sebagai habuan bagi
mendapatkan kelulusan kawasan.
Tegasnya, beliau langsung tidak
mengenali atau tidak pernah berurusan dengan ‘Datuk Gulam Fazillah’ itu
namun percaya lelaki tersebut berasal dari Pulau Pinang berasaskan
nombor kad pengenalannya.
Beliau memberitahu, perkara itu hanya disedarinya pada September lalu iaitu selepas beliau tidak lagi menjadi Menteri Besar.
“Saya
dimaklumkan oleh seseorang bahawa ada seorang warga Singapura yang
marah setelah ditipu sebanyak RM1.8 juta untuk mendapatkan satu kawasan
pembalakan dengan menggunakan nama saya.
“Saya minta untuk
berjumpa dengan pengurus itu dan menerangkan perkara sebenar sambil
mengharapkan supaya dia membuat laporan polis. Bagaimanapun, setakat
ini, difahamkan dia masih belum berbuat demikian.
“Jadi, saya
terpaksa membuat laporan polis terlebih dahulu kerana perkara ini
mencemarkan nama baik dan reputasi saya,” katanya ketika ditemui di
pekarangan Ibu Pejabat Polis (IPD), di sini hari ini.
Beliau
berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan segera berhubung perkara
tersebut bagi membawa pihak yang terlibat ke muka pengadilan.
“Saya kena buat laporan juga sebab kalau tak buat, nanti orang ingat saya yang ambil duit itu,” katanya.
Utusan Online
Bible dicap elak diedar semula di Selangor.
12 Disember 2014 : 321 buah kitab Bible dan 30 salinan Gospel St
Luke yang dipulangkan bersama cap amaran adalah bagi mengelakkan ia
diedar di Selangor.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah
berkata demikian dalam satu temubual bersama akhbar The Star sempena
Hari Keputeraan baginda, pada Khamis.
Baginda bertitah bahawa Persatuan Gereja Sarawak (ACS), iaitu penerima bible berkenaan, sedia maklum tentang cap tersebut.
Sultan
memberitahu, Bible itu dicap kerana terdapat pelanggaran perundangan
tahun 1988 meskipun Peguam Negara memutuskan tiada perkara yang
menyalahi undang-undang.
Sultan juga menggesa masyarakat bukan
Islam menghormati dan melindungi sensitiviti agama orang Islam di
Malaysia, terutamanya di Selangor.
“Beta berharap pengedaran dan percetakan Bible yang mengandungi kalimah ‘Allah’ tidak lagi dilakukan di Selangor.
“Undang-undangnya
khusus dan jelas. Ia menjadi satu kesalahan mengikut Enakmen Ugama
Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.
“Tetapi,
pada masa sama kita harus ingat, Bible yang dirampas itu milik orang
Kristian. Ia mesti dipulangkan kepada pemilik sebenar,” baginda dipetik
sebagai berkata.
Terdahulu, Pertubuhan Bible Malaysia kecewa
apabila mendapati 321 buah kitab Bible dan 30 salinan Gospel St. Luke
yang dirampas oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 2 Januari
lalu dipulangkan kepada mereka dalam keadaan halamannya sudah dicap
dengan amaran.
Dalam sebuah kenyataan media yang ditandatangani
Presidennya, Bishop Datuk Ng Moon Hing, berkata bahawa tindakan itu
seolah-olah membelakangkan titah Sultan Selangor agar isu rampasan Bible
tersebut diselesaikan segera.
Cap amaran itu tertera: “Penggunaan
terhad kepada orang bukan Islam sahaja dan tidak boleh diterbitkan atau
digunakan di mana-mana bahagian di dalam negeri Selangor selaras dengan
Seksyen 9 (1) Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di
Kalangan Orang Islam) 1988.”
Sumber Awani
Ahli UMNO Jangan Terperangkap Dengan Maksud ‘Peremajaan’ Parti
KUALA
LUMPUR, 29 Nov – Pengerusi Perhubungan UMNO Melak,a Datuk Seri Idris
Haron, yang juga Ketua Menteri berkata, semua ahli UMNO harus ada satu
definasi menyeluruh terhadap perkataan ‘peremajaan’ parti UMNO.
Jelas
beliau, jika maksud perkataan tersebut difahami atas sifat usia maka
individu tersebut berada dalam ruang lingkup yang sangat kecil.
“Janganlah
kita hadkan pemikiran kita kepada ruang lingkup sebegini. Kita kena
faham bahawa maksud peremajaan itu bukan hanya tertakluk kepada usia
tetapi lebih kepada pendekatan gaya, skil, kemahiran, kumpulan-kumpulan
individu dan nilai-nilai untuk dikongsi bersama.
“Inilah
sebenarnya semangat sebenar peremajaan parti. Kalau katakan UMNO
dipimpin oleh orang muda sekalipun, tetapi nilai-nilainya masih tidak
dikongsi, perlu diingat bahawa gagasan UMNO meletakkan Islam sebagai
yang paling tinggi tidak akan tercapai,” katanya ketika ditemui selepas
pertemuan tertutup bersama ahli Kelab UMNO Luar Negara (KULN) bersempena
Perhimpunan Agung UMNO 2014.
Tambah beliau, kepimpinam muda yang
berpendapat dan mahu meremajakan UMNO tetapi membawa nilai-nilai yang
tidak bertepatan dengan semangat pertubuhan UMNO dahulu maka UMNO tidak
akan jadi relevan.
“Memang kita galakkan orang muda menyertai UMNO
tetapi perlu ditanamkan di dalam diri mereka bahawa nilai perjuangan
datuk nenek moyang itu serta idealisme perjuangan harus dikekalkan maka
barulah kita dapat satu parti yang seimbang dan akan dapat
mengantisipasikan apakah kehendak, keperluan dan harapan masyarakat di
masa akan datang.
“Kepada para mahasiswa luar negara juga, mereka
harus tanamkan dalam diri, apabila mereka menyertai kelab UMNO maka
mereka tidak boleh menjadi ‘penumpang’. Walaupun tanggungjawab ini
bukanlah satu kemestian tetapi ia harus ada dalam pemikiran.
“Bila
mereka melangkah untuk menyertai KULN maka sudah pasti gaya pemikiran
itu adalah bagaimana untuk mereka melakukan yang terbaik bagi menyumbang
kepada parti,” ujarnya.
Jelas beliau lagi sekiranya mahasiswa
menanamkan niat yang sebegini dan sentiasa berfikir mahu melakukan
perubahan yang baik kepada parti maka jelasnya, tidak mustahil parti
UMNO akan menjadi sebuah parti yang terbaik dan relevan sampai
bila-bila.
“Satu perkara yang harus diingat oleh golongan muda
adalah mereka ini bukan sahaja akan mewarisi parti keramat UMNO, tetapi
memegang parti ini sebagai amanah kepada mereka untuk dilepaskan pula
pada generasi seterusnya,” tambah Idris. – MediaUMNO
UMNO-ONLINE
Razif tempelak PAS berhubung isu Bukit Besi.
12 Disember 2014 : Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman
menegaskan, syarikat itu tidak mendapat sebarang kelulusan melombong
di negeri ini dan menempelak pembangkang yang cuba memburukkan
kepimpinan negeri apabila melemparkan tuduhan tidak berasas termasuk
melalui risalah dan ceramah selain membuat laporan kepada Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Merujuk kepada laporan tahunan
2013 CAA Resources, syarikat itu telah menandatangani perjanjian
persefahaman (MoU) dengan syarikat swasta yang kononnya mempunyai hak
perlombongan di Terengganu.
“Berasaskan penelitian dan siasatan,
CAA Resources mahu pun anak syarikatnya tidak pernah wujud di Bukit
Besi. Saya bimbang laporan yang dimaksudkan bukan di Terengganu, tetapi
Kelantan. Jadi memungkinkan timbul kekeliruan seperti ini.
“Oleh
itu, saya mohon pihak pembangkang buat juga siasatan di Kelantan
berkaitan dengan dua MoU yang dibentang dalam laporan tahunan syarikat
tersebut,” katanya semasa sesi penggulungan Bajet 2015 Terengganu dalam
sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Sebelum ini,
Ketua Eksekutif CAA Resourses, Li Yang dalam satu temu bual bersama New
York Times baru-baru ini memperincikan urusan perniagaan di Bukit Besi
dengan mendakwa sokongan yang diperoleh melalui sogokan wang tunai
kepada ahli-ahli politik untuk memudahkan operasi perlombongan.
Menurut
Ahmad Razif, berdasarkan laporan tahunan itu, dua MoU telah
ditandatangani di Kelantan membabitkan salah sebuah syarikat yang
dipercayai anak syarikat CAA Resources di kawasan seluas 1,940 hektar di
Kemahang 3 pada 1 Disember 2013 manakala yang kedua melibatkan kawasan
seluas 485 hektar di Tanah Merah pada 19 Disember tahun sama.
Bagaimanapun,
Ahmad Razif menegaskan, MoU itu bukan antara kerajaan negeri ini
sebaliknya membabitkan urusan dalam kalangan syarikat swasta sendiri
yang tidak kena mengena langsung dengan kerajaan negeri.
Katanya,
dalam sidang akhbar baru-baru ini juga, kerajaan negeri turut
mengesahkan syarikat berkenaan bukan subkontraktor atau operator kepada
mana-mana syarikat perlombongan di negeri ini terutama di Bukit Besi,
bahkan dakwaan syarikat tersebut memiliki tanah lombong di Bukit Besi
adalah bohong semata-mata.
“Boleh buat carian di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) atau mana-mana mana pejabat tanah mengenai pemilikan tanah syarikat-syarikat itu yang sememangnya tidak ada.
“Saya
sendiri sudah membuat sidang akhbar dan menafikan, malangnya pihak
pembangkang lebih percaya kepada fitnah orang luar sehingga sanggup
menubuhkan jawatankuasa bertindak dan mengadakan ceramah di merata
tempat kononnya untuk menyelamatkan Bukit Besi,” katanya.
Ahmad
Razif memberitahu, kerajaan negeri mengenakan caj royalti lima peratus
bukan sahaja kepada syarikat yang melombong bijih besi bahkan kepada
semua mineral-mineral lain dan caj itu merupakan gross pendapatan
melombong seperti yang ditetapkan dalam Enakmen Mineral (Terengganu)
2002.
“Untuk pengetahuan ahli-ahli Dewan, pendapatan royalti bijih
besi bagi keseluruhan Terengganu bagi dua tahun ini (2013-2014) adalah
sebanyak RM3.5 juta tidak termasuk bayaran yang belum diterima sebanyak
RM2.0 juta dengan jumlah jualan metrik tan bagi dua tahun berkenaan
sebanyak 1.4 juta tan metrik,” katanya.
Utusan
Akta Hasutan 1948 Sempadan Hak Kebebasan Melampau
11 Disember 2014 : Akta Hasutan 1948 masih diperlukan sebagai
sempadan bagi menghalang hak kebebasan bersuara tidak digunakan secara
melampau, kata bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah.
Beliau
berkata kepelbagaian di Malaysia, memungkinkan berlaku ‘pertembungan’,
jika terdapat satu pihak yang terlalu bebas menyatakan sesuatu, kononnya
atas hak kebebasan bersuara.
Beliau berkata hakikat inilah yang
orang luar seperti Naib Presiden Amerika Syarikat Joe Biden yang
mempersoalkan langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengekalkan
akta berkenaan.
“Mereka yang mengkritik (pengekalan akta
berkenaan) juga kena faham bahawa akta ini masih ada kelonggarannya,
seperti seseorang yang dituduh tidak boleh disabitkan jika tiada bukti
dan mesti ada saksi sokongan untuk mensabitkan beliau,” katanya.
Mohd
Noor berkata demikian pada sidang media selepas menutup Persidangan
Meja Bulat ‘Memperkasakan Orang Melayu di Bandar’, di Menara Felda di
sini pada Khamis.
Pada 27 Nov lalu, Najib dalam ucapan dasar
presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2014 berkata, Akta Hasutan
dikekalkan dengan cadangan pindaan untuk memasukkan dua peruntukan khas
bagi memperkukuh akta itu.
Kedua-dua peruntukan khas itu bertujuan
melindungi kesucian agama Islam dan agama lain serta mendakwa mereka
yang menghasut agar Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia.
Keputusan
Najib itu mendapat reaksi Duta Amerika di Malaysia Joseph Y.Yun yang
mengeluarkan kenyataan bahawa Amerika terkejut dengan keputusan Malaysia
mengekalkan akta itu.
Sehari sebelum itu, Biden turut mengulas tentang akta berkenaan.
Mohd
Noor berkata akta itu juga tidak seharusnya dilihat sebagai medium
untuk menutup mulut rakyat daripada menegur kepincangan yang berlaku,
namun teguran itu hendaklah dilakukan secara berhemah mengikut saluran
yang betul.
“Sebagai contoh, Sultan mendengar nasihat daripada
menteri besar dan jika ada berlaku kesilapan dalam nasihat itu,
kesilapan itu boleh dipertikaikan, namun jangan mempersoalkan kuasa
baginda. Itu salah.
“Begitu juga dalam pentadbiran keadilan. Jika
hakim pincang dalam melaksanakan undang-undang, beliau masih boleh
ditegur mengikut saluran undang-undang,” katanya.
BERNAMA
Kerajaan Kelantan diminta bertegas isu penerokaan tanah.
11 Disember 2014 : Kerajaan Negeri Kelantan diminta lebih bertegas
dalam menangani isu penerokaan tanah yang tidak terkawal bagi tujuan
pertanian di lebih 200 buah kebun sayur di Tanah Tinggi Lojing, Gua
Musang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan
Kassim berkata, hampir keseluruhan kawasan tanah pertanian yang telah
diberi kelulusan oleh Kerajaan Negeri tidak mengikut peraturan alam
sekitar yang sewajarnya dalam pembukaan tanah.
Beliau berkata,
tidak mustahil kawasan Lojing selepas ini akan berlaku bencana tanah
runtuh jika individu yang tidak bertanggungjawab terus dibiarkan
merosakkan alam sekitar.
“Kerajaan Negeri harus mengambil tindakan
yang lebih ketatlah supaya syarat-syarat pertanian itu mesti mengikut
tatacara yang dibenarkan, kalau tidak hancur semua ini.
“Ini bukan
perusahaan orang miskin tetapi ini perusahaan orang kaya. Sekarang kita
sedang menghadapi kumpulan orang kaya yang tidak peduli sama ada alam
sekitar hancur atau pun tidak,” katanya selepas melawat Tanah Tinggi
Lojing Gua Musang pada petang Rabu.
Dalam perkembangan lain,
Shahidan berkata, ketika ini pihak kerajaan memberi tumpuan kepada
pemantauan Pedatang Asing Tanpa Izin (PATI) Cameron Highlands yang
didakwa melarikan diri ke Lojing dari dicekup pihak berkuasa.
“Kita
akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi mengambil tindakan tegas
ke atas pekebun sayur yang tidak mengikut syarat pertanian yang
dibenarkan,” jelasnya.
Sebanyak tujuh buah syarikat swasta, dua
buah anak syarikat kerajaan negeri dan dua buah agensi kerajaan telah
memonopoli aktiviti pertanian di kebun sayur Lojing.
Sumber Awani
PAS parti cakap tak serupa bikin kata DAP
11 Disember 2014 : Ahli
Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohammad Abduh Nik Abdul Aziz berkata,
tindakan menuduh golongan ulama sebagai punca krisis dalam gerakan Islam
hanyalah satu perangkap musuh.
Beliau berkata, isu dan krisis
sebenar ialah kekentalan ahli gerakan Islam itu sendiri untuk terus
istiqamah memperjuangkan Islam di atas petunjuk agama.
“Politik Islam perlukan disiplin agama sebagaimana ia perlukan keterbukaan agama juga.
“Ia
perlukan kefahaman al-Quran dan al-Sunnah yang tinggi. Justeru mengapa
para ulama pula yang dianggap jahil perjuangan,” kata Ahli Parlimen
Pasir Mas itu melalui akaun Facebooknya, hari ini.
Semalam,
seorang lagi Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan menegaskan,
kepemimpinan golongan ulama dalam Pas merupakan institusi kolektif yang
memiliki ilmu untuk memimpin parti dan masyarakat.
Beliau berkata, atas sebab itu, menjadi satu kewajipan bagi semua pihak untuk menegakkan kepemimpinan golongan tersebut.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan terdapat parti ‘cakap tak serupa bikin’ dalam pakatan pembangkang yang bukan sahaja tidak menunaikan janji, malah tidak menunjukkan komitmen kepada pakatan berkenaan.
Walau bagaimanapun, Guan Eng tidak menyebut
nama parti tersebut, namun dipercayai sindiran itu merujuk kepada Pas
berhubung krisis Menteri Besar Selangor baru-baru ini.
Ketika
krisis itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura
Ulama Pas menolak pencalonan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin
Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar menggantikan Tan
Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Sumber Utusan.
Empat Nama Calon Ketua Pembangkang Selangor Yang Baharu?
9 Disember 2014 : Mengenali secara sepintas lalu Ahli Dewan
Undangan Sungai Burong, Dato Shamsudin Lias, perletakan jawatan sebagai
Ketua Pembangkang Selangor semalam bukanlah satu kejutan besar.
Bekas
Pegawai Daerah yang bertanggungjawab membantu Barisan Nasional merampas
DUN Sungai Burong dari tangan Pas pada 2004, Shamsuddin terkenal dengan
kelembutan dan kemesraan tetapi tegas sikapnya.
Justeru apabila
beliau mengumumkan menolak jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang
Awam (PAC) Negeri Selangor kerana merasakan ditipu oleh Kerajaan Negeri
persoalan perletakan jawatan sudah boleh dijangka. Apabila Speaker Dun
Selangor, Hanna Yeoh mencabar beliau melepaskan jawatan tersebut, maka
beliau tiada masalah melepaskannya.
Bagi Shamsudin, tindakan
kerajaan negeri mengubah peruntukan dengan mewajibkan Ketua Pembangkang
menjadi Pengerusi PAC, namun mengekalkan majoriti besar ADUN Kerajaan
Negeri dalam jawatankuasa tersebut adalah tidak masuk akal dan cuba
menjadikan beliau sebagai boneka mengesahkan apa sahaja perbelanjaan
kerajaan negeri.
PAC Negeri bakal mengandungi 2 ADUN BN dan 5 ADUN
Pakatan tidak akan memberi apa-apa erti dengan perlantikan beliau
sebagai Pnegerusi.
Namun persoalan lebih menarik ialah siapakah
bakal Ketua Pembangkang yang baharu akan dicadangkan oleh Barisan
Nasional menggantikan Shamsudin Lias?
Empat nama yang
disebut-sebut sebagai calon Ketua Pembangkang yang baharu ialah ADUN
Jeram, Amiruddin Sutero, ADUN Kuang (Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO
Selangor), Shukor Idrus, ADUN Sungai Panjang Budiman Mohd Zuhdi dan
ADUN Hulu Bernam, Rosni Sohar.
Apakah BN Selangor bakal membuat
kejutan memilih wanita sebagai Ketua Pembangkang yang baharu sebagai
satu langkah menawan semula Selangor atau memberi peluang kepada muka
baharu, Budiman Mohd Zuhdi.
Rosni terkenal sebagai seorang
penggerak jentera yang cekap dalam Wanita UMNO Malaysia, manakala
Budiman pula semakin dikenali dengan kekuatan pidato dan kemampuan
intelektual.
Budiman
merupakan wakil rakyat yang menempelak calon Menteri Besar Selangor, Dr
Wan Azizah Wan Ismail dalam sidang DUN yang lalu kerana berucap tidak
mengikut peraturan Dewan.
Bagaimanapun, Budiman dan Rosni
merupakan wakil rakyat penggal pertama yang belum biasa dengan sepak
terajang politik Pakatan yang telah berpengalaman.
Jika ini
diambil kira Shukor Idrus atau Amirudin harus dilantik sebagai Ketua
Pembangkang Selangor yang baharu dengan Budiman atau Rosni dilantik
sebagai Timbalan secara tidak rasmi bagi memberi pengalaman dan
pengetahuan yang lebih.
Namun BN akan membuat kejutan lebih besar
jika mengosongkan jawatan Ketua Pembangkang tersebut selagi peruntukan
mewajibkan Ketua Pembangkang menjadi Pengerusi PAC secara otomatik tidak
dimansuhkan atau ditukar korum PAC kepada 5 BN dan 2 PR.
Disediakan oleh : EDITOR
Seorang lagi pengebom berani mati IS Dari Malaysia dikenal pasti – PM
PUTRAJAYA 8 Dis. – Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak hari ini mendedahkan terdapat seorang lagi pengebom
berani mati militan Negara Islam (IS) yang dipercayai rakyat Malaysia
telah dikenal pasti.
Menurut beliau, pengebom berani mati yang
menyebabkan 50 orang terbunuh itu telah menggunakan nama samaran, tetapi
dia dipercayai sebagai orang Malaysia.
Najib berkata, individu tersebut dipercayai merupakan pengebom berani mati kedua dari Malaysia yang telah dikenal pasti.
Beliau
berkata demikian ketika berucap dalam perhimpunan bulanan Jabatan
Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
8 Disember 2014 : Sementara
petang tadi Polis mendedahkan identiti pengembom berani mati yang
disebut oleh Perdana Menteri pagi tadi sebagai Ahmad Affendi Abdull
Manaff, 27.
Beliau dipercayai memandu trak yang penuh dengan bom
ke dalam Infra Ketenteraan di Hons, Syria dan membunuh 50 orang askar
Syria yang setia kepada Presiden Bashar Al-Assad.
Ahamd Afendi dipercayai pergi ke Syria sejak 23 April lalu untuk menyertai IS.
Penolong Pengarah Bahagian Anti Keganasan Bukit Aman, Senior Asst Comm Datuk Ayub Khan mengesahkan kematian Ahmad Affendi.
“Menurut maklumat inteligen yang kami perolehi, beliau disahkan meninggal ketika serangan tersebut pada 8 atau 9 November lalu.
Disediakan oleh : EDITOR
Subscribe to:
Posts (Atom)