Thursday, December 11, 2014

Akta Hasutan 1948 Sempadan Hak Kebebasan Melampau

11 Disember 2014 : Akta Hasutan 1948 masih diperlukan sebagai sempadan bagi menghalang hak kebebasan bersuara tidak digunakan secara melampau, kata bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah.

Beliau berkata kepelbagaian di Malaysia, memungkinkan berlaku ‘pertembungan’, jika terdapat satu pihak yang terlalu bebas menyatakan sesuatu, kononnya atas hak kebebasan bersuara.

Beliau berkata hakikat inilah yang orang luar seperti Naib Presiden Amerika Syarikat Joe Biden yang mempersoalkan langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengekalkan akta berkenaan.

“Mereka yang mengkritik (pengekalan akta berkenaan) juga kena faham bahawa akta ini masih ada kelonggarannya, seperti seseorang yang dituduh tidak boleh disabitkan jika tiada bukti dan mesti ada saksi sokongan untuk mensabitkan beliau,” katanya.

Mohd Noor berkata demikian pada sidang media selepas menutup Persidangan Meja Bulat ‘Memperkasakan Orang Melayu di Bandar’, di Menara Felda di sini pada Khamis.

Pada 27 Nov lalu, Najib dalam ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2014 berkata, Akta Hasutan dikekalkan dengan cadangan pindaan untuk memasukkan dua peruntukan khas bagi memperkukuh akta itu.

Kedua-dua peruntukan khas itu bertujuan melindungi kesucian agama Islam dan agama lain serta mendakwa mereka yang menghasut agar Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia.

Keputusan Najib itu mendapat reaksi Duta Amerika di Malaysia Joseph Y.Yun yang mengeluarkan kenyataan bahawa Amerika terkejut dengan keputusan Malaysia mengekalkan akta itu.

Sehari sebelum itu, Biden turut mengulas tentang akta berkenaan.

Mohd Noor berkata akta itu juga tidak seharusnya dilihat sebagai medium untuk menutup mulut rakyat daripada menegur kepincangan yang berlaku, namun teguran itu hendaklah dilakukan secara berhemah mengikut saluran yang betul.

“Sebagai contoh, Sultan mendengar nasihat daripada menteri besar dan jika ada berlaku kesilapan dalam nasihat itu, kesilapan itu boleh dipertikaikan, namun jangan mempersoalkan kuasa baginda. Itu salah.

“Begitu juga dalam pentadbiran keadilan. Jika hakim pincang dalam melaksanakan undang-undang, beliau masih boleh ditegur mengikut saluran undang-undang,” katanya.

BERNAMA

No comments:

Post a Comment