Tuesday, December 02, 2014

Komunis Kembali Berkumpul Bila Anak Muda Terutama Melayu Kian Tertarik Padanya

2 Disember 2014 : Baru-baru ini, Parti Komunis Malaya atau PKM yang telah meletak senjata, menyerah kalah dan berikrar tidak akan memerangi Malaysia lagi dalam satu Perjanjian Damai di Hatyai pada tahun 1989, muncul semula dan berkumpul di Dewan Orang Ramai Chai Leng Park di Perai menerusi banner, makan malam Perajurit Parti Komunis Malaya.

Pengiktirafan pengganas komunis sebagai perajurit dan pejuang kemerdekaan hanya datang daripada DAP, kumpulan sosialis dan Pakatan Rakyat. Kebanyakan orang yang terlibat dengan Zaman Darurat beberapa tahun sebelum Merdeka sehinggalah selepas Merdeka, tidak pernah mengiktiraf Komunis sebagai pejuang kemerdekaan dan kebebasan.

Sebaliknya, PKM dari awal penubuhannya pada tahun 1930 oleh Mokhtaruddin Lasso, seorang komunis Indonesia tidak pernah berhajat mahu membebaskan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak daripada penjajahan Inggeris dan Jepun, sebaliknya sekadar mahu menjadikan Malaysia sebagai sebahagian daripada Empayar Komunis Mao Tze Tung.

Cita-cita pelebaran Empayar Komunis Mao Tze Tung terbatal pada tahun 1974 menerusi hubungan diplomatik dan lawatan pertama yang dibuat oleh Allahyarham Tun Abdul Razak ke negara China. Mao Tze Tung kemudiannya mengikrarkan bahawa Parti Komunis Malaya tidak lagi dilindungi oleh Parti Komunis China dan Kerajaan Malaysia bebas untuk mengambil sebarang tindakan perlu bagi melindungi Malaysia dan rakyatnya daripada kekacauan yang ditimbulkan oleh pengganas-pengganas PKM.

Selepas itu, PKM terumbang-ambing dan terpaksa bertindak sebagai kumpulan perompak dan penjarah setelah sumber kewangan, senjata, taktikal dan teknikal mereka diputuskan oleh Republik Rakyat China. Komunis Malaya dan Kalimantan akhirnya tersepit dan terhimpit. Sebahagian besar daripada pemimpin utamanya telah melarikan diri ke China tetapi kemudian dihalau keluar dari negara itu termasuklah Chin Peng. Sebahagian yang lain pula menyerah diri kepada Kerajaan Malaysia dan Thailand. Manakala sebahagian yang lain, mengambil keputusan untuk menetap di sempadan Malaysia-Thailand.

Saki-baki komunis masih lagi berusaha mewujudkan persepsi bahawa mereka adalah pejuang negara. Dibantu oleh DAP dan Pakatan Rakyat, kini Kerajaan Malaysia didesak agar mengiktiraf PKM dan Chin Peng pula perlu diiktiraf sebagai pejuang negara.

Pada 29 November lalu, PKM dan bekas-bekas anggotanya telah mengadakan satu majlis makan malam di Dewan Orang Ramai Chai Leng Park, Perai. Majlis makan malam tersebut turut menghimpunkan bekas anggota, penyokong dan ahli keluarga bekas anggota-anggota pengganas PKM.

Sebanyak 24 laporan polis telah dibuat berhubung majlis makan malam tersebut. Bagaimanapun, di sebalik laporan yang dibuat, majlis makan tersebut tetap diadakan. 

Malah walaupun Ahli Jawatankuasa Dewan Orang Ramai Chai Leng Park cuba menafikan kewujudan majlis makan membabitkan PKM di dewan berkenaan, ia bukanlah rahsia lagi kerana seramai hampir 900 orang bekas anggota, penyokong dan ahli keluarga bekas anggota pengganas PKM muncul.

Menariknya, majlis makan malam tersebut berakhir dengan resolusi yang mendesak dan meminta Kerajaan Malaysia membenarkan kemasukan abu mayat Chin Peng untuk disemadikan di negara yang pernah diperanginya.

Majlis makan malam itu telah dianjurkan oleh Persatuan Setiakawan Malaysia Abad Ke-21.
Bagi yang sering membaca pelbagai sumber tentang sejarah Parti Komunis Malaya, majlis makan malam seperti itu bukanlah taktik baru untuk mengembangkan pengaruh dan kekuatan untuk Parti Komunis Malaya sebelum mereka melakukan taktik perang gerila untuk menimbulkan ketakutan dan ancaman sekaligus tidak memberi pilihan kepada rakyat kecuali menyokong mereka.

PKM sepatutnya sudah lama berkubur namun disebabkan kebanyakan anggotanya pada zaman moden tidak lagi berada atau berselindung di dalam hutan serta menggalas senjata dan memerangi pasukan keselamatan Malaysia secara terbuka, mereka telah menggunakan kekuatan ekonomi yang dibina oleh kelompok mereka selain penguasaan ke atas politik untuk merealisasikan perjuangan mereka dari tahun 1930.
Ditambah pula dengan kebencian sebilangan Melayu kepada kerajaan yang memerintah dan akan menyokong sesiapa atau apa-apa sahaja yang akan menentang kerajaan, PKM kembali mendapatkan kekuatannya yang telah lama hilang.
Justeru, keputusan Polis Pulau Pinang untuk menyiasat majlis makan malam tersebut, disambut baik. Walaupun sudah terlewat dan dilihat lebih kepada retorik, tetapi yang pastinya masih ada harapan bagi kebanyakan rakyat Malaysia yang mencintai keamanan untuk tidak mengambil pusing tentang Parti Komunis Malaya yang disokong kuat oleh DAP dan Pakatan Rakyat.
Dipetik daripada : www. mykmu. net

No comments:

Post a Comment