Tuesday, December 02, 2014
Projek IC Sabah: Apakah Mahathir Bakal Dikambinghitamkan Oleh Najib?
3 Disember 2014 : Isu dan dakwaan Projek IC Sabah yang menjadi
antara kemelut terbesar politik Sabah sejak tahun 90-an akhirnya akan
menemui titik noktah petang ini, apabila keputusan Suruhanjaya Siasatan
Diraja (RCI) akan diumumkan kepada rakyat secara langsung.
Suruhanjaya ini ditubuhkan berikutan dakwaan bahawa Kerajaan, UMNO
dan Tun Dr Mahathir Mohamad secara sistematik dan tersusun telah memberi
kerakyatan kepada pendatang tanpa izin beragama Islam dari Indonesia
dan Filipina di Sabah dalam usaha meramaikan penduduk beragama Islam di
negeri tersebut.
Ini sudah menjadi satu bahan kempen politik sejak hampir dua dekad.
Ia bermula sebagai kempen memburukkan UMNO dan Barisan Nasional oleh
Parti Bersatu Sabah (PBS) yang menjadi pembangkang di Sabah suatu ketika
dahulu, akhirnya sudah menjadi kepercayaan generasi baharu di negeri
tersebut.
Sungguhpun ada tangkapan sindiket pemberian kewarganegaraan secara
salah di Sabah, namun ia tidak menutup kepercayaan bahawa projek ini
dilindungi dan dirancang oleh Tun Dr Mahathir.
Melihat barah yang makin membesar ini boleh menjadi satu api
kebencian antara Sabah dan Persekutuan, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd
Najib Tun Razak mengambil keputusan mencadangkan penubuhan Suruhanjaya
Siasatan Di Raja kepada Yang Di Pertuan Agong.
Setelah mendapat perkenan Yang Di Pertuan Agong, Mohd Najib
mengumumkan penubuhan RCI dan pelantikan anggota panel pada 11 Ogos
tahun lepas dan dianggao sebagai langkah murni untuk menyelesaikan
masalah pendatang tanpa izin di Sabah.
Dalam mengumumkan bidang kuasa suruhanjaya itu, Najib berkata antara
lain mereka akan menyiasat jumlah pendatang asing di Sabah yang telah
diberikan kad pengenalan (IC) atau kewarganegaraan.
Fokus siasatan adalah sama ada IC biru atau kewarganegaraan kepada
warga asing dibuat berdasarkan undang-undang dan sama ada mereka yang
memperoleh IC biru atau resit pengenalan sementara (biru) atau
kewarganegaraan secara haram didaftarkan dalam Senarai Pemilih.
Anggota pihak berkuasa relevan turut dipanggil memberi keterangan
dalam prosiding untuk menentukan sama ada mereka telah mengambil
sebarang tindakan atau usaha untuk menambahbaik prosedur operasi
standard, kaedah dan peraturan untuk mengelakkan ketidakpatuhan
undang-undang berhubung masalah itu.
Prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat masalah
pendatang asing tanpa izin di Sabah telah mengambil masa 9 bulan
membabitkan 211 saksi dari pelbagai pihak yang menjadi juara isu ini dan
yang dituduh terbabit dalam isu ini.
Siasatan itu menyaksikan beberapa ahli politik berprofil tinggi
memberi keterangan iaitu bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad
dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta beberapa pemimpin
negeri yang lantang menyuarakan isu itu seperti Timbalan Ketua Menteri
Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Anggota panel surhanjaya ini juga dianggotai oleh mereka yang bebas
dari politik semenanjung mahu pun UMNO. Ia diketuai oleh bekas Hakim
Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.
Anggota Pesuruhjaya yang lain ialah bekas Naib Canselor Universiti
Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr Kamaruzzaman Ampon; bekas Ketua
Polis Kuala Lumpur, Datuk Henry Chin Poy Wu; bekas Timbalan Ketua
Menteri Sabah, Tan Sri Herman J. Luping yang juga Peguam Besar negeri;
dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk KY Mustapha.
Pegawai pengendali sepanjang prosiding ialah Manoj Kurup, Datuk Azmi
Ariffin dan Jamil Aripin, mankala pasukan Persatuan Undang-undang Sabah
diketuai Datuk John Sikayun, bertindak sebagai pemerhati.
Rakyat pasti ternanti-nanti apakah benar dakwaan Tun Dr. Mahathir
Mohamad merancang pemberian kewarganegaraan di Sabah secara sistematik
sehingga ia di kenali sebagai Projek IC Mahathir!
Apakah benar jutaan pendatang asing diberi kewarganegaraan di Sabah
atas sebab politik dan agama bagi mengimbangi perkembagan agama
Kristian.
Melihat skop, keanggotaan panel siasatan dan saksi yang dipanggil
adalah mustahil untuk sesiapa sahaja menyatakan apa yang bakal diumukkan
petang ini sebagai satu keputusan politik bukannya fakta atau realiti.
Walau apa pun pengumuman petang ini ia merupakan satu pembongkaran mitos atau jenayah yang telah berdekad diperkatakan.
Akhir Mohd Najib ada keberanian mengadakan siasatan terbuka, telus dan berterus terang.
Oleh : Ab Jalil Backer (www. mykmu. net)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment