Tuesday, December 02, 2014
ADUN PAS, BN tolak cadangan DAP wujudkan jawatan timbalan speaker kedua
3 Disember 2014 : Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS dan
Barisan Nasional (BN) menolak cadangan DAP agar diwujudkan jawatan
timbalan speaker kedua untuk DUN Selangor.
Portal berita Malaysiakini melaporkan, ADUN Sabak Sallehen Mukhyi
berkata jawatan speaker daripada DAP dan timbalannya daripada PAS sudah
memadai.
“Keperluan timbalan speaker ini hanya untuk waktu bersidang sahaja.
Yang sedia ada cukup efektif dah. Jadi, untuk seorang lagi timbalan
speaker tidak perlu.
“Daripada guna duit itu untuk bayar (gaji) timbalan speaker, lebih
baik disalurkan kepada rakyat,” Sallehen dipetik sebagai berkata oleh
Malaysiakini.
Sementara itu, Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Shamsudin Lias
dilaporkan berkata, tindakan DAP menuntut jawatan timbalan speaker
menunjukkan parti itu tamak kuasa.
Shamsudin yang juga ADUN Sungai Burong dilaporkan mempersoalkan
keperluan mewujudkan jawatan timbalan speaker kedua dan menganggap ia
membazirkan wang rakyat.
“Saya nak nyatakan bahawa DAP ini tamak kuasa. Dah ada speaker daripada DAP, nak pula timbalan speaker. Apa lagi dia nak?
“Saya rasa tak perlu (jawatan timbalan speaker kedua). Sebab jika
tidak, kuranglah tugas mereka (speaker dan timbalan speaker) sebab nanti
akan dibahagi tiga, malah membazirkan wang rakyat,” katanya.
Isu ini timbul selepas Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua menyuarakan
hasrat untuk melobi jawatan timbalan speaker kedua selepas PAS memenangi
jawatan itu melalui undi rahsia yang dijalankan di DUN minggu lalu.
Sementara itu ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad pula berkata
perkara berhubung pertambahan jawatan timbalan speaker tidak pernah
dibincangkan sebelum ini.
Nik Nazmi berkata buat masa ini, beliau menyokong jika mengekalkan
kuota jawatan yang sedia ada tanpa perlu menambah seorang lagi timbalan
speaker.
“Isu itu tidak timbul sebab setakat ini kita tidak ada berbincang
untuk perkara itu (jawatan timbalan speaker kedua) diadakan. Buat masa
ini kita kekalkan apa yang ada pada hari ini iaitu satu timbalan speaker
sahaja.
“Sistem sekarang sudah terbaik. Jadi, pada saya untuk masa sekarang tidak ada keperluan untuk tambah,” katanya.
Sumber Oleh : Berita Awani
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment