Monday, December 01, 2014
CAA Resources Tidak Terlibat Dengan Perlombongan Di Bukit Besi, Terengganu
24 November 2014 - Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul
Rahman hari ini menafikan penglibatan syarikat CAA Resources dalam
aktiviti perlombongan bijih besi di Bukit Besi, Dungun.
Katanya dakwaan yang menyatakan syarikat CAA Resources kononnya
membuka semula lombong bijih besi awal tahun ini dan mengeluarkan bijih
sebanyak 500,000 tan setahun itu adalah tidak benar sama sekali.
Ahmad Razif menegaskan kerajaan negeri Terengganu tidak pernah
meluluskan kawasan lombong kepada syarikat itu dan hasil carian rekod
daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati syarikat itu tidak
diperbadankan di negara ini.
“Syarikat itu juga tidak pernah berurusan dengan mana-mana jabatan
kerajaan terutama Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) atau Lembaga
Tabung Amanah Warisan Negeri (LTAW) yang diamanahkan untuk mengawal
tanah lombong di Bukit Besi.
“Dakwaan kononnya tiada kajian penilaian impak alam sekitar (EIA)
dilakukan juga adalah tidak benar, kerana untuk sesebuah syarikat
mendapat pajakan lombong, terdapat 38 perkara yang perlu dipatuhi
mengikut Enakmen Mineral Terengganu 2002 melibatkan enam jabatan
kerajaan,” katanya dalam sidang media di Kuala Terengganu hari ini.
Enam jabatan itu ialah Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan
Saliran, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Perhutanan negeri,
Jabatan Bekalan Air dan PTG.
Sidang media khas itu diadakan berikutan satu artikel yang
dikeluarkan sebuah akhbar luar negara pada Jumaat lalu bertajuk ‘Chinese
Interests Look to Malaysia For Cheap Iron Ore, And Profits’.
Turut hadir ialah Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Azhar Abdul Hamid dan Pengarah PTG negeri, Mohamad Nor Ibrahim.
Ahmad Razif berkata kandungan artikel itu kemudian diterjemah ke
dalam Bahasa Melayu dan disiarkan dalam beberapa blog serta media sosial
dengan analisis berunsur fitnah dan beliau meminta semua pihak supaya
berhenti menyebarkan perkara itu.
“Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang menyebarkannya,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata mengikut rekod PTG, sebanyak
571,282.35 tan bijih besi telah dikeluarkan sepanjang tahun lalu oleh
enam syarikat manakala sepanjang tahun ini pula, hanya 327,724.16 tan
bijih besi dikeluarkan oleh lima syarikat.
Kerajaan negeri tegasnya memperoleh sebanyak RM1,6 juta iaitu lima
peratus royalti hasil pengeluaran bijih besi dari Ogos tahun lalu hingga
sekarang manakala melalui LTAW pula, setiap satu tan yang dikeluarkan
akan dikenakan caj sebanyak RM30.
“Dasar kerajaan negeri sebelum ini membenarkan syarikat lombong untuk
mengeksport keluar bahan mentah, namun berkuat kuasa April lalu, satu
dasar baharu diperkenalkan iaitu mana-mana syarikat yang mahu melombong
bijih di Terengganu perlu memprosesnya di negeri ini sahaja.
“Setakat ini Perwaja Steel Sdn Bhd sudah mempunyai kilang sendiri
manakala sebuah lagi kilang milik Eastern Steel Sdn Bhd (di Kemaman)
kini dalam pembinaan dan siap 80 peratus,” katanya.
Ketika ini, sebanyak tujuh kawasan lombong seluas 871 hektar dibuka di Bukit Besi.
Dipetik daripada : Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment