Monday, December 01, 2014

Adu kerosakan jalan melalui telefon pintar.

2 Disember 2014 : Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mewujudkan sebuah aplikasi telefon pintar bagi memudahkan rakyat menyalurkan aduan berhubung masalah jalan raya di negara ini, kata menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, melalui aplikasi itu, orang ramai boleh mengambil gambar kerosakan jalan raya dan infrastruktur di lokasi sebenar dan menghantarnya kepada kementerian untuk mengambil tindakan susulan.

“Ini adalah inisiatif yang kita akan jalankan dalam menzahirkan komitmen penuh kementerian untuk memberi khidmat terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Media Bersama Menteri Kerja Raya di sini, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Menterinya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Zohari Akob dan Ketua Eksekutif, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim.

Fadillah berkata, kementerian itu juga menggunakan media sosial untuk berinteraksi dengan masyarakat serta menyampaikan maklumat melalui Twitter dan Facebook.

Beliau juga berkata kementerian itu turut memberi komitmen sepenuhnya bagi memastikan perkhidmatan dapat diberikan kepada seluruh lapisan masyarakat, terutama dalam pengendalian lebuh raya dan jalan persekutuan yang tertakluk di bawah kuasa kementerian itu.

Tambahnya, kementerian itu bagaimanapun tidak bertanggungjawab terhadap jalan negeri dan jalan kampung kerana iannya terletak di bawah kuasa kerajaan negeri. 

Oleh : BERNAMA

No comments:

Post a Comment