Monday, December 01, 2014
Penduduk Mahu Kerajaan Selangor Kaji Semula Datum Jelatek
25 November 2014 - Sekumpulan penduduk Taman Keramat hari ini
menyerahkan memorandum kepada kerajaan Selangor mendesak projek
pembangunan Datum Jelatek di taman itu dihentikan.
Memorandum itu diserahkan kepada Setiausaha Akhbar kepada menteri
besar Radzi Razak ketika mereka berkumpul secara aman di hadapan pintu
masuk bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini.
Pengerusi Badan Bertindak Datum Jelatek Mohd Salehuddin Abdul Samad
berkata penyerahan memorandum itu adalah langkah terakhir penduduk untuk
memohon Menteri Besar Mohamed Azmin Ali membatalkan projek pembangunan
hartanah elit berkenaan.
“Projek hartanah itu memberi ancaman kepada penduduk, ini kerana
projek kondominium mewah yang dijangka dibangunkan di kawasan tersebut
turut dibuka kepada bangsa asing dari Singapura, Taiwan dan Indonesia.
“Kami tidak menghalang pembangunan ini sekiranya kerajaan negeri
melaksanakan projek pembangunan mampu milik untuk penduduk asal kawasan
berkenaan.
“Mereka terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan
sederhana,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu.
Projek Datum Jelatek yang bermula pada 2008 di atas tapak seluas 2.4
hektar di sebelah Stesen LRT Jelatek, melibatkan pembangunan empat blok
bangunan kondominium mewah, hotel, pejabat dan pusat membeli-belah.
Pembangunan hartanah itu dilapor akan diteruskan pada akhir bulan ini
selepas ditangguhkan sementara sebelum ini berikutan bantahan penduduk.
Dipetik daripada — BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment