Monday, December 01, 2014

Hina sangatkah Umno?

1 Disember 2014 : BERMULA dari sebelum, semasa dan selepas Perhimpunan Agung Umno 2014, boleh dikatakan tidak ada sedikit pun berita baik yang dilaporkan oleh media sosial anti-establishment.

Semuanya buruk, seolah-olah Umno ini sangat hina, yang suci adalah ultra kiasu. Ini tidak termasuk kejian, makian dan hinaan melalui komen pembaca.

Saya tidak kata Umno itu semuanya baik. Masih banyak perkara yang perlu diperbaiki, terutama dari sudut integriti. Tetapi liputan yang dibuat amat tidak adil. Kenapa tidak dibuat perkara yang sama kepada parti ultra kiasu? Berita sengaja diputar-belitkan untuk lariskan perniagaan.

Ketika semua parti yang ada memperjuangkan kaum masing-masing, apakah parti Melayu (Islam) perlu keluar dari kepompong itu? Siapa akan mempertahankan Melayu dan Islam jika Umno dan Pas menjadi liberal? Selama ini pun ultra kiasu tidak pernah percaya kepada Umno dan Pas.

Jika PKR yang didewakan sebagai parti untuk semua kaum, saya cadangkan mereka memberi laluan bukan Melayu untuk menjadi presiden selepas ini. Saya yakin parti ini akan terkubur. Seperti BN, bukan Melayu menggunakan PKR sebagai batu loncatan untuk mendapat kerusi dan jawatan Exco dalam negeri-negeri yang ditawani.

Sama seperti parti komponen BN. Kemenangan mereka di Semenanjung bergantung kepada undi Melayu. Trend pengundian membuktikan bukan Melayu memberikan undi kepada DAP ultra kiasu.

DAP, walaupun mendakwa mereka adalah parti untuk semua kaum, hakikat sebenar tidak. Itu hanya strategi untuk mengaburi dan memenangi hati orang Melayu dan secara halus meminggir dan menyingkirkannya. Malang sekali ada Melayu Islam yang tergoda dengan gula-gula ini.

Saya tidak nampak Perdana Menteri sebelum ini hingga kini, bertindak terlalu kepartian atau kemelayuan sehingga meminggirkan bangsa lain. Jika tidak sudah lama bangsa lain merempat.

Mereka tahu membezakan tanggungjawab selaku ahli politik dan negarawan. Apabila mereka telah memenangi pilihan raya dan menjadi pemimpin utama, maka ketika itu mereka adalah negarawan.

Peliknya, kenapa ultra kiasu menjadikan Umno (tidak ketinggalan Pas) sebagai sasaran?
Jawapannya mudah, kedua parti ini tidak dapat lari daripada Melayu dan Islam. Kedua parti tidak mahu negara ini diterajui ultra kiasu yang mahu meliberal dan mempluralkan bumi ini agar tidak beridentiti.

Mereka tidak mahu agenda Islam, Melayu dan Bumiputera mengakar. Lebih serius lagi, ada yang mahukan sejarah kemerdekaan negara ini ditulis semula, dengan menekankan sumbangan kaum secara sama rata. Tanpa memberikan lebih kredit kepada bangsa Melayu.
Sedangkan sejarah membuktikan, orang Melayulah paling banyak berkorban bermula dari negara ini dijajah sehinggalah mencapai kemerdekaan. Tidak dinafikan ada juga sumbangan kaum lain.

Sumbangan dan pengorbanan bukan Melayu terhadap kemerdekaan, muncul setelah Malayan Union dimansuhkan pada tahun 1946, hasil penentangan orang Melayu sehingga melahirkan Persekutuan Tanah Melayu (PTM) 1948.

Untuk makluman, PTM 1948 adalah cerminan kepada PTM 1957 yang dipersetujui British, yang masih mengekalkan kedudukan Islam, Melayu (termasuk bahasa), Raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu. Unsur-unsur tradisi inilah yang mengikat dalam kontrak sosial.

Sebab itu, saya amat pelik, kenapa dan mengapa sehingga ke hari ini ultra kiasu sengaja tidak mahu memahami hakikat ini. Terus-terang, saya amat mengagumi Henry Sackville Barlow, Ahli Lembaga Pengarah Sime Darby Berhad, yang kini dimiliki oleh PNB.

Barlow dan Sime Darby tidak dapat dipisahkan, kerana pertalian rapat ahli keluarganya. Sejarah Sime Darby bermula pada tahun 1910, ketika Tanah Melayu dijajah. Peniaga British William Middleton Sime dan Henry Darby menubuhkan Sime, Darby & Co.

Bermula dengan sektor perladangan getah, kemudian berkembang kepada sawit, koko dan pelbagai sektor, sehinggalah diambil alih PNB. Selaku orang yang tinggal lama di sini dan memahami budaya politik Melayu, Barlow sentiasa mengingatkan Sime Darby agar tidak melupakan agenda Melayu dan Bumiputera dalam setiap rancanga n ekonomi. Nyata sekali Barlow amat memahami sensitiviti dan budaya politik negara ini.

Peliknya anak penjajah British sangat sensitif dengan agenda Melayu dan Bumiputera, kenapa mereka yang sekian lama tinggal di sini sengaja tidak mahu memahaminya, malahan mendesak supaya ia dihapuskan. Lebih pelik lagi, kalangan kita sendiri turut bersekongkol?

Saya amat mengharapkan perhimpunan kali ini benar-benar memberikan keinsafan kepada Umno dalam usaha memartabatkan dan memperkasakan pembangunan negara bangsa tercinta ini.

Oleh : RIDHUAN TEE ABDULLAH

* Penulis ialah pensyarah di Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Islam, UniSZA

No comments:

Post a Comment