Tuesday, December 02, 2014
Jangan salah tafsir ucapan Zaidi, kita ada ‘problem’ dengan Guan Eng sahaja.
2 Disember 2014 : UMNO Pulau Pinang bertegas hanya bermasalah
dengan kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang disifatkan hipokrit,
angkuh dan sombong namun tidak pernah mengenepikan, apatah lagi menyemat
elemen kebencian kepada mana-mana kaum di negara ini.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Reezal
Merican Naina Merican berkata, walaupun isu Guan Eng itu tidak mampu
disorok dan dinafikan, ia tidak bermakna UMNO negeri itu bermasalah
dengan rakan bukan berbangsa Melayu dan Bumiputera yang lain.
“Itu hanya interpretasi dangkal seorang Ketua Menteri yang cetek akal
dan mencari ‘modal politik segera’,” katanya dalam satu kenyataan di
sini hari ini.
Reezal mengulas penjelasan yang diberikan Ketua UMNO Permatang Pauh,
Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkenaan ucapannya pada Perhimpunan Agung
UMNO minggu lalu.
Mohd Zaidi yang berucap di atas kapasiti perwakilan Pulau Pinang
diserang sejak Jumaat lepas kerana berkata kekuatan masyarakat Cina
datang daripada perniagaan haram seperti judi, pelacuran dan pusat
hiburan.
Ucapan itu sekaligus mengundang kemarahan beberapa pemimpin DAP Pulau
Pinang termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon
Wai, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan ADUN Bagan
Dalam A Tanasekharan yang membuat laporan polis di balai polis di negeri
itu hari ini.
Jelas Reezal lagi, penjelasan ikhlas dan jujur itu wajarlah diterima
sebagai asas kukuh sebelum mana-mana pihak terus memanipulasi secara
negatif ucapan wakil UMNO Pulau Pinang tersebut.
“Zaidi menjelaskan secara spesifik dalam kenyataan
akhbarnya…”Perkataan ‘kadang-kadang’ menunjukkan tidak semua (kaum Cina
di Pulau Pinang) begitu. Saya sebut dengan jelas dalam ucapan saya. Saya
tidak kata semua Cina di Pulau Pinang, saya kata ‘kadang-kadang ada
segelintir orang Cina di Pulau Pinang’ terlibat dalam aktiviti begitu”.
“Ayat ‘kadang-kadang ada segelintir orang Cina di Pulau Pinang’ itu
ada konteks waktu dan situasinya. Ianya bukan ayat yang semberono,”
katanya.
Dalam pada itu ujarnya, ucapan Mohd Zaidi perlu dilihat secara
menyeluruh dan tidak diambil secara khusus kepada elemen perniagaan
haram semata-mata.
“Sebagai pemimpin berpengalaman di peringkat akar umbi, saya tidak
fikir Zaidi akan mengambil jalan dan kenyataan politik yang membenci
kaum lain.
“Saya mengharapkan kenyataan akhbar Zaidi akan mengakhiri pelbagai
spekulasi dan salah tanggap masyarakat secara umumnya. Adat pemimpin
politik, adakalanya ‘niat asal’ ucapan disalahtafsir, namun ia tidak
memadamkan sama sekali ‘realiti’ tekanan ekonomi dan politik yang
terpaksa dihadapi oleh rakyat di Pulau Pinang pada saat dan ketika ini,”
jelasnya.
Sebuah portal melaporkan Mohd Zaidi di dalam sidang medianya
menyalahkan media kerana membuat beliau kelihatan bersifat perkauman
dengan mengatakan seolah-olah semua kaum Cina di Malaysia kaya dan
berpengaruh hasil kegiatan haram.
Sumber : Berita Awani
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment