Monday, December 01, 2014
Tiga elemen penting perkasa Akta Hasutan.
1 Disember 2014 : Kementerian Dalam Negeri menggariskan tiga elemen
yang akan diambil kira dalam meminda dan memperkasakan Akta Hasutan
1948 bagi memastikannya terus sesuai diguna pakai pada masa kini dan
akan datang.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiga elemen
itu berkaitan aspek media sosial berikutan perkembangan teknologi masa
kini, sensitiviti keagamaan serta isu Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, walaupun terdapat beberapa aspek lain yang perlu dilihat
bagi memperkasakan akta tersebut yang akan dibawa ke dalam sidang Dewan
Rakyat pada Mac tahun depan, namun tiga elemen tersebut merupakan isu
yang perlu diberi perhatian serius demi keselamatan dan keharmonian
negara.
“Saya bersama Penasihat Undang-undang kementerian akan mengadakan
perbincangan dengan Peguam Negara dan pengamal perundangan untuk melihat
beberapa aspek yang harus diperkasakan dan dipinda.
“Dalam 20 hingga 30 tahun akan datang mungkin istilah yang ada pada
hari ini tidak sesuai lagi, maka ini perlu dipersesuaikan untuk generasi
akan datang,” katanya.
Jelas Ahmad Zahid, semasa Akta Hasutan digubal, media sosial masih
belum wujud, malah beberapa medium komunikasi seperti yang ada pada masa
kini juga belum wujud.
Selain itu, katanya, terlalu banyak isu keagamaan yang sensitif
dibangkitkan pada masa kini bukan hanya oleh orang bukan Islam berkaitan
isu pokok kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, tetapi juga oleh
orang Islam yang memburukkan agama lain.
“Perkara ini tidak seharusnya dibiarkan begitu sahaja, tindakan mesti
diambil dengan segera terhadap mana-mana individu yang menyentuh agama
lain dengan niat untuk memburukkannya,” tegasnya.
Kata beliau, dalam soal Sabah dan Sarawak, sudah ada tindakan oleh
individu atau kumpulan yang mahu membawa keluar negeri tersebut dari
Malaysia, oleh itu perkara tersebut juga perlu disentuh di bawah Akta
Hasutan.
Menurutnya, apabila pindaan akta tersebut dipersetujui oleh Yang
di-Pertuan Agong serta diwartakan pada tahun hadapan, maka Polis Diraja
Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)
berupaya mengambil tindakan terhadap mana-mana individu atau kumpulan
yang melanggar kesalahan di bawah akta berkenaan.
Sumber daripada : Utusan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment