Tuesday, December 02, 2014
Ahli UMNO Jangan Terperangkap Dengan Maksud ‘Peremajaan’ Parti
KUALA LUMPUR, 29 Nov – Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri
Idris Haron, yang juga Ketua Menteri berkata, semua ahli UMNO harus ada
satu definasi menyeluruh terhadap perkataan ‘peremajaan’ parti UMNO.
Jelas beliau, jika maksud perkataan tersebut difahami atas sifat usia
maka individu tersebut berada dalam ruang lingkup yang sangat kecil.
“Janganlah kita hadkan pemikiran kita kepada ruang lingkup sebegini.
Kita kena faham bahawa maksud peremajaan itu bukan hanya tertakluk
kepada usia tetapi lebih kepada pendekatan gaya, skil, kemahiran,
kumpulan-kumpulan individu dan nilai-nilai untuk dikongsi bersama.
“Inilah sebenarnya semangat sebenar peremajaan parti. Kalau katakan
UMNO dipimpin oleh orang muda sekalipun, tetapi nilai-nilainya masih
tidak dikongsi, perlu diingat bahawa gagasan UMNO meletakkan Islam
sebagai yang paling tinggi tidak akan tercapai,” katanya ketika ditemui
selepas pertemuan tertutup bersama ahli Kelab UMNO Luar Negara (KULN)
bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2014.
Tambah beliau, kepimpinam muda yang berpendapat dan mahu meremajakan
UMNO tetapi membawa nilai-nilai yang tidak bertepatan dengan semangat
pertubuhan UMNO dahulu maka UMNO tidak akan jadi relevan.
“Memang kita galakkan orang muda menyertai UMNO tetapi perlu
ditanamkan di dalam diri mereka bahawa nilai perjuangan datuk nenek
moyang itu serta idealisme perjuangan harus dikekalkan maka barulah kita
dapat satu parti yang seimbang dan akan dapat mengantisipasikan apakah
kehendak, keperluan dan harapan masyarakat di masa akan datang.
“Kepada para mahasiswa luar negara juga, mereka harus tanamkan dalam
diri, apabila mereka menyertai kelab UMNO maka mereka tidak boleh
menjadi ‘penumpang’. Walaupun tanggungjawab ini bukanlah satu kemestian
tetapi ia harus ada dalam pemikiran.
“Bila mereka melangkah untuk menyertai KULN maka sudah pasti gaya
pemikiran itu adalah bagaimana untuk mereka melakukan yang terbaik bagi
menyumbang kepada parti,” ujarnya.
Jelas beliau lagi sekiranya mahasiswa menanamkan niat yang sebegini
dan sentiasa berfikir mahu melakukan perubahan yang baik kepada parti
maka jelasnya, tidak mustahil parti UMNO akan menjadi sebuah parti yang
terbaik dan relevan sampai bila-bila.
“Satu perkara yang harus diingat oleh golongan muda adalah mereka ini
bukan sahaja akan mewarisi parti keramat UMNO, tetapi memegang parti
ini sebagai amanah kepada mereka untuk dilepaskan pula pada generasi
seterusnya,” tambah Idris.
Media UMNO
UMNO-ONLINE
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment