Monday, December 01, 2014
Nelayan Vietnam Cuba Curi Khazanah Laut Negara
28 November 2014, KUANTAN – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Markas Wilayah Laut 1
(Mawilla 1) berjaya mematahkan cubaan sekumpulan nelayan asing dari
Vietnam yang cuba mencuri khazanah kapal perang British era Perang Dunia
Kedua kira-kira 60 Batu nautika dari Tanjung Gelang, dekat sini,
semalam.
Mawilla 1 dalam kenyataan di sini hari ini berkata, nelayan berkenaan
dipercayai mencuri khazanah dari dua buah kapal yang tenggelam itu
iaitu HMS Repulse dan HMS Prince Of Wales.
Kejayaan mematahkan kegiatan haram mencuri khazanah laut negara itu
adalah hasil maklumat daripada Persatuan Nelayan Pahang yang dimaklumkan
dalam satu program khas bersama pihaknya, minggu lalu, katanya.
“Aktiviti penyelaman haram oleh nelayan asing di perairan sekitar 60
batu nautika dari Tanjung Gelang itu dipatahkan oleh KD Perkasa yang
dalam pelayaran pulang selepas tamat latihan Malindo Jaya, pada 6.45
pagi".
“KD Perkasa menahan sebuah bot nelayan diubah suai menjadi bot
penyelaman dan sebanyak 17 kru rakyat Vietnam berada di atasnya dengan
sebahagian daripada mereka sedang menyelam di dasar laut dipercayai
untuk mengambil hasil tinggalan disyaki kapal perang yang tenggelam
semasa Perang Dunia Kedua,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pemeriksaan mendapati kesemua kru kapal itu
tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah kecuali tekong dan kesemua
tahanan dibawa ke Pangkalan TLDM Tanjung Gelang serta diserahkan kepada
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk tindakan lanjut.
“Mengikut sumber, kawasan itu adalah lokasi dua buah kapal perang
British tenggelam semasa Perang Dunia Kedua pada 10 Dis 1941 iaitu HMS
Repulse dan HMS Prince Of Wales,” katanya.
Kejayaan berkenaan membuktikan bahawa program mendekati masyarakat
khususnya komuniti maritim mampu memberi kesan dan membantu pelaksanaan
operasi Markas Wilayah Laut Satu TLDM, menurut kenyataan itu.
“Komuniti maritim seperti nelayan, pengusaha pusat peranginan dan
penduduk di pulau boleh menjadi mata dan telinga kepada pasukan
keselamatan khasnya TLDM".
“Mereka boleh melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan atau boleh
menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara,” katanya.
Sumber Oleh – BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment