Thursday, December 11, 2014

Demi Survival #MAS, Tidak Rugi Belajar Dari Yang Lebih Tahu

Christoph R Mueller MAS


















9 Disember 2014 : Baru-baru ini Khazanah Nasional Bhd mengumumkan perlantikan Ketua Pegawai Eksekutif MAS (NewCo), Christoph R Mueller, yang kini merupakan CEO Aer Lingus Plc, sebuah syarikat penerbangan nasional Ireland.

Sebetulnya, pencalonan Mueller sebagai peneraju utama MAS bukanlah suatu yang mengejutkan di mana media sebelum ini seolah dapat menghidu ura-ura memancing tokoh industri penerbangan yang terbukti pernah menyelamatkan beberapa syarikat penerbangan sebelum ini.

Lumrah seolah budaya orang Malaysia, bila suatu pengumuman yang melibatkan kepentingan negara, ada saja yang tidak kena dan perlantikan Mueller tidak terkecuali dari menjadi mangsa kritikan beberapa pihak.

Antara yang menolak pelantikan Mueller untuk menerajui MAS ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Reezal Merican, bekas CEO MAS yang pertama, Tan Sri Aziz Rahman, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan beberapa pihak lain lagi.

Antara hujah mereka, Mueller dikatakan tidak wajar dilantik mengemudi MAS memandangkan beliau merupakan seorang warga asing, bukan Melayu, bukan anak tempatan dan kononnya tidak memahami masalah yang berlaku di negara ini. Itu hujah utama mereka.

Reezal mahu agenda bumiputera terpelihara dalam MAS. Tan Sri Aziz pula merupakan peneraju Jentayu Danaraksa yang sebelum ini seolah cuba “memaksa” Khazanah bekerjasama dengan syarikatnya yang baru berusia 3 bulan, mungkin ada agenda yang “tersirat” di sebalik komen tersuratnya, bukan?

Begitu juga dengan Guan Eng dan DAP yang mahu anak tempatan seperti pengasas Air Asia, Tony Fernandes atau dua lagi orang kuat Air Asia, Kamaruddin Meranon atau Azran Osman Rani, untuk mengemudi MAS, sedangkan individu-individu inilah yang “dihalau” keluar oleh MASEU dalam insiden “swap share” dahulu.

Saya tidak pasti sebenarnya apa tujuan sebenar kenyataan mereka-mereka yang mahukan anak tempatan mengemudi MAS. Sama ada mereka mahu menyelamat MAS atau memperjuangkan nasib “anak tempatan” pada ketika MAS sedang tenat, itu saya tidak pasti.

Namun apa yang saya pasti, tindakan Khazanah melantik Mueller itu membuktikan betapa serius usaha memulihkan MAS yang “nazak”, hampir “mati” yang selama ini di bawah kepimpinan anak tempatan.

Dari zaman kepimpinan Tun Dr Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan hinggalah yang terkini, Datuk Seri Najib Tun Razak, usaha untuk memulihkan syarikat berkenaan diteruskan dengan melibatkan anak tempatan sebagai peneraju. Namun masih gagal dipulihkan sepenuhnya.

Justeru, saya berpandangan bahawa suntikan RM6 bilion itu adalah bertujuan untuk memulihkan MAS, dan bukan bertujuan untuk bermain emosi dengan sentimen “anak tempatan” atau tidak.

Anak tempatan telah pun menerajui MAS tetapi syarikat penerbangan negara itu masih terus masih belum bangun. Kenapa perlu menolak pengalaman dan kepakaran yang dimiliki Mueller?

MAS lebih utama “diselamatkan” oleh tangan yang lebih berkaliber, terbukti berpengalaman dalam menguruskan survival syarikat penerbangan serta bebas dari kongkongan ideologi politik mahupun sentimen “anak tempatan”.

Pemilihan Mueller sebagai CEO MAS (NewCo) sewajarnya tidak perlu dipertikai. Berlatar belakangkan prestasi yang terbukti relevan dan hebat, sewajarnya warga Jerman itu wajar diberi sokongan untuk memulihkan MAS.

Bila berdepan dengan situasi terdesak mahu menyelamatkan “nyawa”, kita tidak perlu memainkan sentimen anak tempatan.

Secara sakarstik atau tidak, mungkin benar kata Tun M yang mengatakan orang Malaysia bodoh kerana gagal memulihkan MAS biarpun telah diberi peluang berkali-kali.

Justeru itu, biarlah mereka yang terbukti mampu memulihkan MAS mengemudi syarikat itu. Kita anak tempatan belajar dari kesilapan dan mungkin dengan berkongsi pengalaman dengan Mueller akan membantu anak tempatan meneruskan survival MAS kemudian hari nanti.

Tidak rugi berkongsi ilmu dan pengalaman dari mereka yang lebih tahu, bukan?

Semoga MAS kembali gagah di angkasa membawa maruah negara…

Disediakan oleh : EDITOR

No comments:

Post a Comment