Wednesday, December 03, 2014
Kegiatan Membenteras Rasuah Berhasil.
4 Disember 2014 : Ketegasan kerajaan bagi membanteras amalan rasuah
telah membuahkan hasil apabila kedudukan Malaysia dalam indeks persepsi
rasuah (CPI) bertambah baik dengan bergerak dua mata daripada skor 50
pada tahun lalu kepada 52 tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng (gambar) Kuan
berkata, indeks yang dikeluarkan Transparency International (TI) itu
turut meletakkan Malaysia di tempat ke-50 dalam kalangan 175 negara pada
tahun ini berbanding tangga ke-53 pada 2013.
Katanya, purata skor CPI Malaysia dalam kalangan negara Asia Pasifik adalah 43.
“Memerangi rasuah dan membaiki ketirisan dalam pentadbiran kerajaan
merupakan fokus utama kita kerana perkara itu mempengaruhi tarikan
pelaburan langsung asing (FDI) dalam usaha meningkatkan ekonomi negara.
“Oleh itu, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak komited untuk melakukan transformasi rasuah di semua
peringkat sekali gus dapat menangkis persepsi rasuah dalam kalangan
rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Paul memberitahu, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang
menggunakan indeks yang dikeluarkan oleh TI sebagai petunjuk prestasi
utama (KPI) bagi mengukur kejayaan dalam usaha memerangi rasuah dan
menangani penyelewengan.
Katanya, ekoran pengumuman indeks itu, kerajaan akan meneruskan
penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan amalan rasuah dan
penyelewengan tidak berlaku di setiap peringkat kementerian dan agensi
kerajaan.
“Pada tahun hadapan, langkah membanteras rasuah akan terus
diperkukuhkan dengan beberapa langkah susulan bagi memastikan Malaysia
bersih daripada amalan rasuah.
“Walau bagaimanapun langkah memerangi rasuah tidak wajar diletakkan
di bahu kerajaan semata-mata, semua pihak termasuk badan politik dan
korporat perlu sama-sama menyokong usaha murni berkenaan,” katanya.
Dipetik daripada : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment