Thursday, December 11, 2014

Razif tempelak PAS berhubung isu Bukit Besi.

12 Disember 2014 : Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman menegaskan, sya­rikat itu tidak mendapat se­ba­­rang kelulusan melombong di ne­geri ini dan menempelak pembangkang yang cuba memburukkan kepimpinan negeri apabila melemparkan tuduhan tidak berasas termasuk melalui risalah dan ceramah selain membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Merujuk kepada laporan tahunan 2013 CAA Resources, syarikat itu telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan syarikat swasta yang kononnya mempunyai hak perlombongan di Terengganu.

“Berasaskan penelitian dan siasatan, CAA Resources mahu pun anak syarikatnya tidak pernah wujud di Bukit Besi. Saya bimbang laporan yang dimaksudkan bukan di Terengganu, tetapi Kelantan. Jadi memungkinkan timbul kekeliruan seperti ini.

“Oleh itu, saya mohon pihak pembangkang buat juga siasatan di Kelantan berkaitan dengan dua MoU yang dibentang dalam laporan tahunan syarikat tersebut,” katanya semasa sesi penggulungan Bajet 2015 Terengganu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Eksekutif CAA Resourses, Li Yang dalam satu temu bual bersama New York Times baru-baru ini memperincikan urusan perniagaan di Bukit Besi dengan mendakwa sokongan yang diperoleh melalui sogokan wang tunai kepada ahli-ahli politik untuk memudahkan operasi perlombongan.

Menurut Ahmad Razif, berdasarkan laporan tahunan itu, dua MoU telah ditandatangani di Kelantan membabitkan salah sebuah syarikat yang dipercayai anak syarikat CAA Resources di kawasan seluas 1,940 hektar di Kemahang 3 pada 1 Disember 2013 manakala yang kedua melibatkan kawasan seluas 485 hektar di Tanah Merah pada 19 Disember tahun sama.

Bagaimanapun, Ahmad Razif menegaskan, MoU itu bukan antara kerajaan negeri ini sebaliknya membabitkan urusan dalam kala­ngan syarikat swasta sendiri yang tidak kena mengena langsung de­ngan kerajaan negeri.

Katanya, dalam sidang akhbar baru-baru ini juga, kerajaan ne­geri turut mengesahkan syarikat berkenaan bukan subkontraktor atau ope­rator kepada mana-mana syarikat perlombongan di negeri ini terutama di Bukit Besi, bahkan dakwaan syarikat tersebut memiliki tanah lombong di Bukit Besi adalah bohong semata-mata.

“Boleh buat carian di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) atau mana-mana mana pejabat ta­nah mengenai pemilikan tanah syarikat-syarikat itu yang sememangnya tidak ada.
“Saya sendiri sudah membuat sidang akhbar dan menafikan, malangnya pihak pembangkang lebih percaya kepada fitnah orang luar sehingga sanggup menubuhkan jawatankuasa bertindak dan mengadakan ceramah di merata tempat kononnya untuk menyelamatkan Bukit Besi,” katanya.

Ahmad Razif memberitahu, kerajaan negeri mengenakan caj royalti lima peratus bukan sahaja kepada syarikat yang melombong bijih besi bahkan kepada semua mineral-mineral lain dan caj itu merupakan gross pendapatan melombong se­perti yang ditetapkan dalam Enakmen Mineral (Terengganu) 2002.

“Untuk pengetahuan ahli-ahli Dewan, pendapatan royalti bijih besi bagi keseluruhan Terengganu bagi dua tahun ini (2013-2014) adalah sebanyak RM3.5 juta tidak termasuk bayaran yang belum diterima sebanyak RM2.0 juta dengan jumlah jualan metrik tan bagi dua tahun berkenaan sebanyak 1.4 juta tan metrik,” katanya.

Utusan

No comments:

Post a Comment