Thursday, August 06, 2015
Ahli UMNO Jangan Terbawa-bawa, Terperangkap Taktik Provokasi Pembangkang
5 Ogos 2015, Masjid Tanah : Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Mas
Ermieyati Samsudin berkata, ahli UMNO jangan terbawa-bawa dengan cara
pembangkang yang sering menggunakan kaedah provokasi, membakar sentimen
perkauman atau ekstremisme demi kepentingan sendiri.
Ujarnya, jika cara ini ditiru oleh ahli UMNO maka parti keramat ini
akan rosak dan kredebiliti yang dibina selama 69 tahun bakal musnah.
“Ahli UMNO perlu berfikir dan bertindak sebagai ‘ahli organisasi’
yang matang, jujur dan bersifat objektif. Ini amat penting terutama
sekali kepada golongan muda dan pemimpin muda UMNO. Kita harus sedar
bahawa parti yang kita dukung ialah parti yang memerintah.
“Justeru setiap ahli parti ini perlu dipupuk sikap bertolak ansur,
ikhlas dan jujur. Janganlah kita terbawa-bawa dengan cara pimpinan
pembangkang yang menggunakan kaedah provokasi demi kepentingan peribadi.
“Kita perlu ada dan kekalkan solidariti iaitu kefahaman kerukunan,
ketertiban dan keluhuran perjuangan dalam bentuk kekeluargaan secara
keseluruhannya,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Tambah Mas Ermieyati yang juga merupakan Timbalan Menteri Pelancongan
dan Kebudayaan, sekiranya solidariti mampu dikekalkan dengan baik maka
tiada apa yang perlu dibimbangkan. UMNO akan terus kuat dan mendapat
kepercayaan rakyat sebagai pemerintah.
“Kita lihat bagaimana pembangkang menggunakan cara yang tidak
sepatutnya sehingga menyebabkan rakyat bertelagah sehingga sanggup
memberontak di jalanan. Rakyat negara ini yang dikenali dengan sikap
lemah lembut dan penuh kerukunan seakan hilang pertimbangan apabila
terpengaruh dengan fitnah-fitnah pembangkang.
“Jadi kita sebagai ahli UMNO harus kekal bersatu dan jangan
terpengaruh dengan agenda jahat pembangkang. Mereka memang mahu melihat
UMNO jatuh kerana bila UMNO jatuh maka mudahlah mereka menguasai
kerajaan dengan membawa agenda politik sempit mereka,” katanya lagi.
Apatah lagi ujarnya, Pilihan Raya Umum (PRU-14) sudah semakin hampir
maka pelbagai cara akan digunakan oleh mereka yang tidak
bertanggungjawab untuk meraih undi serta memecahbelahkan ahli UMNO.
“Mereka ini ingin melemahkan jentera UMNO tetapi saya yakin dan
percaya kita semua bijak dan tidak mudah terpengaruh. Kita akan terus
pentingkan parti demi masa hadapan anak bangsa kita,” ujarnya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment