Thursday, August 06, 2015
Pemuda Pulau Pinang Cabar DAP Dedah Sumber Kewangan Bina Bangunan Jutaan Ringgit
6 Ogos 2015, Bukit Bendera : Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang hari ini
mencabar kepimpinan Dap negeri itu untuk mendedahkan sumber kewangan
yang mereka perolehi untuk membina pejabat baru parti itu yang bernilai
jutaan ringgit hanya dalam tempoh dua tahun Lim Guan Eng menjadi Ketua
Menteri.
Ujar ketuanya, Rafizal Abdul Rahim, ini berikutan desakan kepimpinan
Dap sendiri yang mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib mendedahkan
sumber pembiayaan politik bagi Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
Dek kerana kelantangan Dap yang kononnya mahu BN dan UMNO bersikap
telus maka tegas beliau Dap juga harus bersikap sedemikian dan bermula
dengan mendedahkan bagaimana mereka mampu memperolehi wang membina
bangunan Dap sedangkan parti Gerakan dahulu mengambil masa 12 tahun
untuk membina ibu pejabat sendiri itupun sekadar sebuah premis biasa.
“Mereka mahukan ketelusan jadi mereka sendiri harus telus. Bagaimana
hanya dalam tempoh dua tahun mereka mampu membina ibu pejabat yang gah.
Daripada mana sumber dana mereka?
“Oleh itu, Pemuda Pulau Pinang hari ini mencabar mereka untuk
menjawab persoalan ini. Sekiranya mereka enggan menjawab persoalan ini
maka adalah lebih baik mereka sendiri tutup mulut dan jangan sibuk nak
tahu sumber kewangan orang lain,” Ujar Rafizal kepada UMNO-Online.
Tambah Rafizal, Dap juga seharusnya mencermin diri sendiri sebelum
mendesak untuk mengetahui sumber pembiayaan politik BN dan UMNO kerana
ketika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu membuat
transformasi dari segi pembiayaan politik, pemimpin Dap begitu lantang
membantah.
Kerana bantahan tersebut jugalah maka inisiatif perubahan pembiayaan politik terpaksa dilupakan tanpa sempat dimulakan.
“Kini Perdana Menteri sekali lagi menyatakan hasrat ingin
membentangkan semula perkara ini. Adakah Dap berani untuk bersetuju…
jadi mari kita tunggu dan lihat apakah permainan politik Dap kali ini
bagi mengelak perkara ini dilaksanakan.
“Namun buat permulaan, Dap harus menjawab cabaran Pemuda Pulau Pinang
terlebih dahulu. Jangan pula menjawab dengan menyaman saya sebagai
langkah tutup mulut,” sindirnya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment