Tuesday, August 04, 2015
Beberapa Pemimpin PAS Melaka Didakwa Bakal Sertai GHB
MELAKA : Gerakan Harapan Baru (GHB) Melaka mendakwa beberapa pemimpin PAS
di negeri ini bakal menyertai gerakan itu, kata Koordinatornya Adli
Zahari.
Beliau yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka berkata, antara
pemimpin yang bakal menyertai GHB itu ialah dirinya sendiri dan seorang
lagi bekas pesuruhjaya PAS di negeri ini.
Sehubungan itu, katanya pemimpin PAS yang terlibat akan mengumumkan
hasrat mereka menyertai GHB kepada umum pada 'program jelajah' yang
dianjurkan gerakan itu pada Jumaat ini di sini.
"Program tersebut akan turut disertai beberapa pemimpin parti politik
pembangkang daripada DAP dan PKR serta pemimpin NGO (badan bukan
kerajaan)," katanya di sini, Selasa.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang turut disertai Anggota
Dewan Undangan Negeri Duyong dari DAP, Goh Leong San yang juga bekas
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Melaka.
Ditanya tentang tindakan oleh PAS pusat terhadap anggota PAS Melaka yang
menyertai GHB, Adli berkata, setakat ini tiada isu pemecatan dalam
kalangan pemimpin atau anggota PAS di negeri ini kerana menyertai
gerakan itu.
"Ia terpulang kepada kepimpinan PAS untuk mengambil tindakan terhadap
mana-mana ahlinya (sekiranya menyertai GHB)," katanya.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment